Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 14 >> 

Nubuat tentang Raja Yerobeam

1Pada masa itu Abia anak Yerobeam jatuh sakit.

2Kata Yerobeam kepada isterinya, “Berkemaslah, menyamarlah supaya jangan diketahui orang bahawa engkau isteri Yerobeam, lalu pergilah ke Silo. Di sana ada nabi Ahia yang dahulu mengatakan bahawa aku akan menjadi raja atas bangsa ini.

3Bawalah sepuluh buku roti, beberapa ketul kuih kering, dan sekendi air madu lalu pergilah mendapatkannya. Dia akan memberitahu kamu apakah yang akan terjadi kepada anak ini.”

4Isteri Yerobeam pun berbuat demikian. Dia berkemas lantas pergi ke Silo dan tiba di rumah Ahia. Pada waktu itu Ahia tidak dapat melihat lagi. Matanya telah kabur kerana dia sudah tua.

5Namun demikian, TUHAN berfirman kepada Ahia, “Ketahuilah, isteri Yerobeam datang untuk mencari petunjuk daripada kamu mengenai anaknya, kerana anak itu sakit. Beginilah harus kaukatakan kepadanya. Waktu dia datang, dia akan berpura-pura menjadi orang lain.”

6Apabila Ahia mendengar bunyi langkah kaki perempuan itu memasuki pintu, berkatalah ia, “Masuklah, wahai isteri Yerobeam. Mengapakah engkau berpura-pura menjadi orang lain? Aku disuruh menyampaikan kepadamu khabar yang menyusahkan.

7Pulanglah, katakanlah kepada Yerobeam, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, “Aku telah mengangkat engkau daripada kalangan bangsa itu dan menjadikan engkau pemimpin atas umat-Ku Israel.

8Aku telah mengoyakkan kerajaan itu daripada keluarga Daud dan memberikannya kepadamu. Tetapi engkau tidak seperti hamba-Ku Daud, yang berpegang teguh pada segala perintah-Ku dan yang hidup mengikuti Aku dengan segenap hatinya, sehingga dia hanya melakukan apa yang benar di mata-Ku.

9Sebaliknya, engkau telah berbuat jahat, lebih daripada semua orang yang ada sebelum engkau. Engkau pergi membuat bagi dirimu sembahan-sembahan lain serta patung-patung tuangan sehingga engkau membangkitkan murka-Ku, sementara Aku kaucampakkan ke belakangmu.

10Maka sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka kepada keluarga Yerobeam. Aku akan melenyapkan daripada kaum Yerobeam setiap lelaki, baik orang kurungan mahupun orang merdeka, di Israel. Aku akan menyingkirkan keluarga Yerobeam seperti orang menyingkirkan kotoran sampai habis.

11Setiap orang daripada Yerobeam yang mati di kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan oleh burung di udara, kerana TUHAN telah berfirman.” ’

12Segeralah pulang ke rumahmu. Pada waktu kakimu memasuki kota, anak itu akan mati.

13Seluruh Israel akan meratapi dia dan menguburkannya. Daripada keturunan Yerobeam, dan antara keluarga Yerobeam, hanya dialah yang akan masuk ke dalam kubur kerana dalam dirinya didapati sesuatu yang baik di mata TUHAN, Allah Israel.

14TUHAN akan membangkitkan bagi diri-Nya seorang raja atas Israel yang akan melenyapkan keluarga Yerobeam pada hari ini. Ya, sekarang ini juga.

15TUHAN akan mengajar Israel seperti mensiang yang bergoyang-goyang di air. Dia akan mencabut Israel daripada tanah yang baik ini, yang telah dikurniakan-Nya kepada nenek moyangnya. Dia akan menyerakkan mereka ke seberang Sungai Efrat, kerana mereka telah membuat patung-patung Asyera dan membangkitkan murka TUHAN.

16Dia akan lepas tangan terhadap orang Israel kerana dosa-dosa Yerobeam yang dilakukannya sendiri, dan yang menyebabkan orang Israel turut sama berdosa.”

17Isteri Yerobeam segera pulang lalu sampai di Tirza. Ketika dia memasuki ambang pintu rumah, meninggallah anak itu.

18Seluruh Israel menguburkan bayi itu dan meratapinya selaras dengan firman yang disampaikan TUHAN dengan perantaraan hamba-Nya, nabi Ahia.

19Riwayat Yerobeam selebihnya fasal bagaimana dia berperang dan bagaimana dia bertakhta, sesungguhnya semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel.

20Yerobeam bertakhta selama dua puluh dua tahun, lalu dia dibaringkan bersama dengan nenek moyangnya. Maka Nadab, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikannya.

Sambungan riwayat Raja Rehabeam

21Rehabeam anak Salomo bertakhta di Yehuda dan dia berusia empat puluh satu tahun pada waktu dia menaiki takhta. Tujuh belas tahun lamanya dia bertakhta di Yerusalem, kota yang dipilih TUHAN daripada kalangan suku Israel untuk menegakkan nama-Nya di sana. Ibunya bernama Naama, seorang Amon.

22Orang Yehuda melakukan apa yang jahat di mata TUHAN dan membangkitkan kecemburuan-Nya dengan dosa-dosa yang dilakukan mereka, lebih daripada semua yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.

23Mereka juga membina tempat-tempat penyembahan, tiang-tiang berhala, dan patung-patung Asyera di atas setiap bukit yang tinggi dan di bawah setiap pokok yang rimbun.

24Bahkan ada kaum lelaki yang menjadi pelacur kuil di negeri itu. Mereka melakukan pelbagai kekejian sebagaimana dilakukan oleh bangsa-bangsa yang diusir TUHAN daripada orang Israel.

25Pada tahun kelima zaman pemerintahan Raja Rehabeam, majulah Sisak, raja Mesir, menyerang Yerusalem.

26Dia merampas perbendaharaan Bait TUHAN dan perbendaharaan istana raja. Segala sesuatu dirampasnya. Dia juga merampas semua perisai emas yang dibuat oleh Salomo.

27Lalu sebagai gantinya Raja Rehabeam membuat perisai gangsa dan mempercayakannya kepada para pemimpin bentara yang menjaga pintu istana raja.

28Apabila sahaja raja masuk ke Bait TUHAN, para bentara akan membawa perisai-perisai itu dan kemudian mengembalikannya ke bilik pengawal.

29Riwayat Rehabeam selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?

30Antara Rehabeam dengan Yerobeam selalu sahaja ada peperangan.

31Lalu Rehabeam dibaringkan bersama nenek moyangnya. Dia dimakamkan bersama nenek moyangnya di Kota Daud. Nama ibunya ialah Naama, orang Amon. Maka Abiam , anaknya, menaiki takhta untuk menggantikan dia.



 <<  1 Raja-raja 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel