Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 14 >> 

Amazia bertakhta di Yehuda

1Pada tahun kedua zaman pemerintahan Yoas anak Yoahas, raja Israel, Amazia anak Yoas, raja Yehuda, menaiki takhta.

2Umurnya dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Nama ibunya ialah Yoadan, dari Yerusalem.

3Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, tetapi tidak seperti Daud, leluhurnya. Diikutinya segala sesuatu yang dilakukan oleh Yoas, ayahnya.

4Hanya, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan itu.

5Sesudah kerajaan itu kukuh di tangannya, dia menghukum mati pegawai-pegawai yang dahulu membunuh raja, iaitu ayahnya.

6Tetapi anak-anak mereka tidak dijatuhkan hukum mati; hal itu sejalan dengan apa yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan melalui Musa. Di sana TUHAN memberikan perintah: “Seorang ayah tidak boleh dihukum mati kerana anaknya, dan anak tidak boleh dihukum mati kerana ayahnya. Hendaklah setiap orang dihukum mati atas dosanya sendiri.”

7Dia menewaskan sepuluh ribu orang Edom di Lembah Garam dan merebut Sela dalam peperangan itu. Lalu dinamainya kota itu Yokteel; demikianlah nama kota itu sampai hari ini.

8Suatu waktu Amazia mengirim beberapa orang utusan kepada Yoas anak Yoahas anak Yehu, raja Israel, dengan pesan, “Mari kita beradu tenaga.”

9Tetapi Yoas, raja Israel, mengirim utusan kepada Amazia, raja Yehuda, “Duri di Lebanon mengirim pesan kepada pokok araz di Lebanon, ‘Berikanlah anak perempuanmu untuk menjadi isteri anakku.’ Akan tetapi, seekor binatang liar di Lebanon berlalu dan menginjak-injak duri itu.

10Engkau memang telah mengalahkan orang Edom, dan kerana itu engkau menjadi bangga diri. Bermegahlah, tetapi tetaplah tinggal di istanamu! Apakah gunanya menentang malapetaka sehingga engkau harus jatuh bersama-sama orang Yehuda?”

11Namun demikian, Amazia tidak mahu mendengarkannya. Oleh sebab itu majulah Yoas, raja Israel, untuk berhadapan dengan Amazia, raja Yehuda, di Bet-Semes di Tanah Yehuda.

12Orang Yehuda dikalahkan di hadapan orang Israel, sehingga mereka lari ke khemah masing-masing.

13Yoas, raja Israel, menangkap Amazia, raja Yehuda, anak Yoas, anak Ahazia, di Bet-Semes dan membawanya ke Yerusalem. Dibongkarnya tembok Yerusalem dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut, sepanjang empat ratus hasta.

14Diambilnya semua emas, perak, dan segala alat kelengkapan yang ada dalam Bait TUHAN serta dalam perbendaharaan istana raja, demikian pula para tawanan. Lalu pulanglah dia ke Samaria.

15Riwayat Yoas selebihnya, apa yang dilakukannya, kejayaannya, dan bagaimana dia berperang melawan Amazia, raja Yehuda, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?

16Lalu Yoas dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di Samaria, di permakaman raja Israel. Maka Yerobeam, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

17Amazia anak Yoas, raja Yehuda, masih hidup lima belas tahun selepas kematian Yoas anak Yoahas, raja Israel.

18Riwayat Amazia selebihnya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?

19Ada pihak yang bersekongkol untuk melawan dia di Yerusalem, sehingga dia lari ke Lakhis. Tetapi mereka mengerahkan orang untuk mengejar dia ke Lakhis, lalu membunuhnya di sana.

20Jenazahnya diangkut dengan kuda lalu dimakamkan di Yerusalem, di sisi nenek moyangnya di Kota Daud.

21Maka seluruh rakyat Yehuda menobatkan Azarya yang berusia enam belas tahun itu menjadi raja menggantikan ayahnya, Amazia.

22Sesudah raja dibaringkan bersama nenek moyangnya, dia membina Elat dan mengembalikannya kepada Yehuda.

Yerobeam anak Yoas, raja Israel

23Pada tahun kelima belas zaman pemerintahan Amazia anak Yoas, raja Yehuda, Yerobeam anak Yoas, raja Israel, menaiki takhta di Samaria. Dia bertakhta selama empat puluh satu tahun lamanya,

24dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Dia tidak menjauhkan diri daripada segala dosa Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.

25Dikembalikannya daerah Israel dari jalan masuk Hamat sampai ke Laut Araba, selaras dengan firman TUHAN, Allah Israel. Firman itu disampaikan Allah dengan perantaraan hamba-Nya, nabi Yunus anak Amitai dari Gat-Hefer,

26kerana TUHAN melihat betapa getirnya kesusahan orang Israel, baik orang kurungan mahupun orang yang merdeka, dan tidak ada penolong bagi Israel.

27Namun TUHAN tidak berfirman bahawa Dia akan menghapuskan nama Israel dari kolong langit, sebab itu Dia menyelamatkan mereka dengan perantaraan Yerobeam anak Yoas.

28Riwayat Yerobeam selebihnya, semua yang dilakukannya dan kejayaannya, bagaimana dia berperang dan bagaimana dia mengembalikan Damsyik dan Hamat-Yehuda kepada Israel, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?

29Lalu Yerobeam dibaringkan bersama nenek moyangnya, raja-raja Israel. Maka Zakharia, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.



 <<  2 Raja-raja 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel