Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 18 >> 

Hizkia bertakhta di Yehuda

1Pada tahun ketiga zaman pemerintahan Hosea anak Ela, raja Israel, Hizkia anak Ahas, raja Yehuda, menaiki takhta.

2Umurnya dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Nama ibunya ialah Abia anak Zakharia.

3Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, seperti semua yang dilakukan oleh Daud, leluhurnya.

4Disingkirkannya bukit-bukit pemujaan, dihancurkannya tiang-tiang berhala, dan ditebangnya patung-patung Asyera. Dia pun menghancurkan ular gangsa yang dibuat oleh Musa, kerana sampai pada masa itu orang Israel masih membakar dupa bagi ular gangsa itu, yang dinamai Nehustan.

5Hizkia meyakini TUHAN, Allah Israel. Tidak ada yang seperti dia antara semua raja Yehuda, sebelum ataupun sesudahnya.

6Dia berpaut kepada TUHAN, tidak menyimpang melainkan terus mengikuti Dia, serta berpegang teguh pada perintah-perintah yang diberikan TUHAN kepada Musa.

7Maka TUHAN menyertainya. Ke mana-mana pun dia pergi, dia berjaya. Dia memberontak melawan raja Asyur dan tidak lagi tertakluk kepadanya.

8Dialah yang mengalahkan orang Filistin sampai ke Gaza serta daerah-daerahnya, dari menara tinjau sampai ke kota yang berkubu.

9Pada tahun keempat zaman pemerintahan Hizkia, iaitu tahun ketujuh zaman pemerintahan Hosea anak Ela, raja Israel, majulah Salmaneser, raja Asyur, menyerang Samaria dan mengepungnya.

10Setelah tiga tahun berlalu, direbutnya kota itu. Jadi, Kota Samaria direbut pada tahun keenam zaman pemerintahan Hizkia, iaitu tahun kesembilan zaman pemerintahan Hosea, raja Israel.

11Raja Asyur membuang orang Israel ke Asyur dan menempatkan mereka di Halah serta di Habor, iaitu sungai di Gozan, serta di kota-kota orang Madai.

12Hal itu terjadi kerana mereka tidak mahu mematuhi TUHAN, Allah mereka. Sebaliknya, mereka melanggar perjanjian-Nya, iaitu segala sesuatu yang diperintahkan oleh Musa, hamba TUHAN itu. Mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu melakukannya.

Raja Sanherib mengepung Yerusalem

13Pada tahun keempat belas pada zaman Raja Hizkia, majulah Sanherib, raja Asyur, menyerang semua kota berkubu di Yehuda, lalu menawannya.

14Kemudian Hizkia, raja Yehuda, mengutus orang menemui raja Asyur di Lakhis dengan pesan, “Hamba telah berbuat salah. Harap tuanku undur diri daripada hamba. Apa pun yang tuanku tanggungkan kepada hamba akan hamba pikul.” Maka raja Asyur menanggungkan kepada Hizkia, raja Yehuda, tiga ratus talenta perak dan tiga puluh talenta emas.

15Hizkia memberinya semua perak yang ada di dalam Bait TUHAN serta di dalam perbendaharaan istana raja.

16Pada waktu itu Hizkia, raja Yehuda, mengerat emas daripada pintu-pintu Bait Suci TUHAN serta dari tiang-tiang pintu yang telah disalutnya, lalu memberikannya kepada raja Asyur.

17Kemudian raja Asyur mengutus Tartan, Rabsaris, dan Rabshakeh disertai suatu pasukan yang besar dari Lakhis untuk menemui Raja Hizkia di Yerusalem. Mereka pun berangkat lalu sampai di Yerusalem. Setelah sampai, mereka mengambil tempat dekat saluran kolam atas, iaitu di jalan raya menuju Padang Dobi.

18Setelah mereka berseru memanggil raja, keluarlah Elyakim anak Hilkia, ketua istana, Sebna, jurutulis negara, dan Yoah anak Asaf, pencatat sejarah, untuk menemui mereka.

19Rabshakeh berkata kepada mereka, “Katakanlah kepada Hizkia, ‘Beginilah titah raja agung, iaitu raja Asyur: Keyakinan seperti apakah yang kaupegang ini?

20Kaufikir perancangan rapi dan kekuatan untuk berperang memadai dengan kata-kata sahaja? Sekarang, siapakah yang kauandalkan sehingga engkau memberontak terhadap aku?

21Ketahuilah, engkau berharap kepada Mesir, tongkat buluh yang patah terkulai itu. Mesir akan menusuk tembus tangan orang yang bertopang kepadanya. Demikianlah Firaun, raja Mesir itu, bagi semua orang yang mengandalkannya.

22Tetapi jika engkau berkata kepadaku, “Kami mengandalkan TUHAN, Allah kami,” bukankah Dia itu yang bukit-bukit pemujaan-Nya dan mazbah-mazbah-Nya, telah disingkirkan oleh Hizkia sambil berkata kepada orang Yehuda dan Yerusalem, “Kamu harus sujud menyembah di depan mazbah di Yerusalem ini”?

23Maka sekarang, marilah bertaruh dengan tuanku, raja Asyur: Aku akan memberikan dua ribu ekor kuda kepadamu kalau engkau sanggup menyediakan penunggang-penunggangnya.

24Bagaimanakah mungkin engkau dapat menangkis hingga mundur seorang perwira biarpun daripada antara pegawai tuanku yang paling kecil, sedangkan engkau berharap kepada Mesir untuk rata dan pasukan berkuda?

25Tambahan pula, masakan aku maju di luar kehendak TUHAN untuk menyerang tempat ini dan memusnahkannya? TUHAN telah berfirman kepadaku: Majulah, seranglah negeri itu dan musnahkannyalah!’ ”

26Lalu Elyakim anak Hilkia, Sebna, dan Yoah berkata kepada Rabshakeh, “Harap tuan bercakap kepada hamba-hambamu ini dalam bahasa Aram kerana kami memahami bahasa itu. Janganlah tuan berkata-kata kepada kami dalam bahasa Ibrani, kerana rakyat yang berada di atas tembok itu dapat mendengarnya.”

27Tetapi kata Rabshakeh kepada mereka, “Adakah tuanku mengutus aku untuk menyampaikan kata-kata ini hanya kepada tuanmu dan kepadamu? Bukankah juga kepada orang yang duduk di atas tembok itu, yang akan makan tahi dan minum air kencing mereka sendiri bersama-sama kamu?”

28Kemudian Rabshakeh berdiri lalu berseru dengan suara nyaring dalam bahasa Ibrani. Katanya, “Dengarlah titah raja agung, iaitu raja Asyur!

29Beginilah titah sang raja: Jangan biarkan Hizkia menipu kamu, kerana dia tidak sanggup melepaskan kamu daripada tanganku.

30Jangan biarkan Hizkia mengajak kamu berharap kepada TUHAN dengan berkata, ‘TUHAN pasti melepaskan kita. Kota ini tidak akan diserahkan ke dalam tangan raja Asyur.’

31Jangan dengarkan Hizkia, kerana beginilah titah raja Asyur: Adakanlah perjanjian damai denganku dan temuilah aku, maka setiap orang daripada kamu akan makan hasil pokok anggur dan pokok ara masing-masing serta minum air perigi masing-masing,

32sampai aku datang dan membawa kamu ke sebuah negeri seperti negerimu, iaitu sebuah negeri yang mempunyai gandum dan air anggur, roti serta kebun anggur, minyak zaitun dan madu. Maka, kamu tidak akan mati melainkan hidup. Jangan dengarkan Hizkia apabila dia memperdayakan kamu dengan berkata, ‘TUHAN akan melepaskan kita.’

33Pernahkah tuhan bangsa-bangsa melepaskan negeri masing-masing daripada tangan raja Asyur?

34Di manakah tuhan-tuhan negeri Hamat dan Arpad? Di manakah tuhan-tuhan negeri Sefarwaim, Hena, dan Iwa? Adakah mereka telah melepaskan Samaria daripada tanganku?

35Siapakah antara semua tuhan negeri-negeri itu yang telah melepaskan negerinya daripada tanganku, sehingga TUHAN dapat melepaskan Yerusalem daripada tanganku?’ ”

36Tetapi rakyat berdiam diri sahaja dan tidak menjawabnya walau sepatah kata pun, kerana ada perintah raja yang berbunyi, “Jangan menjawab dia.”

37Lalu Elyakim anak Hilkia, ketua istana, Sebna, jurutulis negara, dan Yoah anak Asaf, pencatat sejarah, pergi menghadap Hizkia dengan pakaian yang dikoyakkan. Mereka menyampaikan perkataan Rabshakeh itu kepada raja.



 <<  2 Raja-raja 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran