Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 19 >> 

Raja Hizkia meminta nasihat daripada Nabi Yesaya

1Setelah Raja Hizkia mendengar hal itu, dia pun mengoyakkan pakaiannya, mengenakan kain kabung, lalu masuk ke Bait TUHAN.

2Kemudian dia mengutus Elyakim, ketua istana, Sebna, jurutulis negara, dan para tua-tua antara para imam untuk menemui Nabi Yesaya anak Amos dengan mengenakan kain perkabungan.

3Kata mereka kepadanya, “Beginilah titah Hizkia, ‘Hari ini hari kesesakan, hukuman, dan kenistaan, kerana anak sudah hampir dilahirkan, tetapi kekuatan untuk melahirkannya tidak ada pula.

4Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, mendengar semua yang dikatakan Rabshakeh , yang telah diutus oleh tuannya, raja Asyur, untuk mencela Allah yang hidup. Mudah-mudahan TUHAN, Allahmu, menjatuhkan hukuman selaras dengan kata-kata yang telah didengar-Nya. Oleh sebab itu, panjatkanlah doa bagi saki-baki orang yang masih ada.’ ”

5Setelah para pegawai Raja Hizkia menyampaikan pesan kepada Yesaya,

6berkatalah Yesaya kepada mereka, “Beginilah harus kamu katakan kepada Tuanmu, ‘Beginilah firman TUHAN, “Jangan takut dengan kata-kata yang kaudengar itu, yang diucapkan oleh hamba-hamba raja Asyur untuk mengkufuri Aku.

7Sesungguhnya, Aku akan menaruh suatu roh dalam dirinya, sehingga dia mendengar suatu khabar lalu pulang ke negerinya. Aku akan membuat dia tewas oleh pedang di negerinya sendiri.” ’

Ancaman lain daripada orang Asyur

8Ketika Rabshakeh kembali, didapatinya raja Asyur sedang berperang melawan Libna, kerana dia memang telah mendengar bahawa raja sudah berangkat dari Lakhis.

9Pada waktu itu raja menerima laporan tentang Tirhaka, raja Kush, demikian, “Ketahuilah, dia sedang mara untuk berperang dengan tuanku.” Lalu dikirimnya semula para utusan kepada Hizkia dengan pesan,

10“Beginilah harus kamu katakan kepada Hizkia, raja Yehuda, ‘Jangan biarkan Allahmu yang kauandalkan itu menipu kamu dengan janji, “Yerusalem tidak akan diserahkan ke dalam tangan raja Asyur.”

11Sesungguhnya, engkau telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja-raja Asyur terhadap semua negeri. Negeri-negeri itu telah ditumpaskan mereka sama sekali. Masakan engkau akan terlepas?

12Dapatkah tuhan-tuhan bangsa-bangsa yang dimusnahkan oleh nenek moyangku, iaitu bangsa Gozan, Haran, Rezef, dan bani Eden yang tinggal di Telasar melepaskan mereka?

13Di manakah raja Hamat, raja Arpad, raja kota Sefarwaim, Hena, dan Iwa?’ ”

Doa Hizkia

14Hizkia menerima surat itu daripada tangan para utusan lantas membacanya. Kemudian Hizkia pergi ke Bait TUHAN dan membentangkan surat itu di hadapan TUHAN.

15Lalu berdoalah Hizkia kepada TUHAN, “Ya TUHAN, Allah Israel, yang bersemayam di atas malaikat-malaikat kerubin! Hanya Engkaulah Allah atas segala kerajaan di bumi. Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi.

16Berikanlah perhatian, ya TUHAN, dan dengarlah. Sudilah, memandang, ya TUHAN, dan lihatlah. Dengarlah kata-kata Sanherib yang telah dikirimnya untuk mencela Allah yang hidup.

17Ya TUHAN, memang benar bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan bangsa-bangsa itu dan negeri mereka

18dan mencampakkan tuhan mereka ke dalam api, kerana semua itu bukan Allah melainkan buatan tangan manusia, daripada kayu dan batu, sehingga dapat dibinasakan.

19Sekarang ya TUHAN, Allah kami, selamatkanlah kami daripada tangannya, supaya semua kerajaan di bumi tahu bahawa hanya Engkaulah Allah, ya TUHAN.”

Pesan Yesaya kepada Raja Hizkia

20Kemudian Yesaya anak Amos menghantar seorang utusan kepada Hizkia untuk mengatakan, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah mendengar apa yang telah kaudoakan kepada-Ku tentang Sanherib, raja Asyur.’

21Inilah firman yang disampaikan TUHAN mengenai dia, ‘Anak dara, iaitu puteri Sion, menghina dan mengolok-olokkan engkau. Yerusalem menggeleng-gelengkan kepala di belakangmu.

22Siapakah yang kaucela dan kaukufuri? Terhadap siapakah engkau meninggikan suara dan melayangkan pandang dengan sombong? Terhadap Yang Maha Suci, Allah Israel!

23Dengan perantaraan para utusanmu engkau telah mencela TUHAN dan engkau berkata, “Dengan rataku yang banyak aku naik ke gunung-gunung yang tertinggi, ke hujung-hujung Lebanon. Aku menebang pokok-pokok araznya yang tinggi, pokok-pokok sanubarnya yang terpilih. Aku telah memasuki tempat persinggahannya yang terjauh dan hutannya yang lebat.

24Aku telah menggali perigi di negeri asing dan minum air di sana. Dengan telapak kakiku kukeringkan semua anak sungai di Mesir.”

25Belum pernahkah kaudengar, bahawa Aku telah menetapkannya sejak dahulukala, dan menentukannya sejak zaman purbakala? Sekarang Aku mewujudkannya, bahawa engkau meruntuhkan kota-kota berkubu sehingga menjadi timbunan puing.

26Penduduknya yang tidak berdaya menjadi kecut hati dan malu. Mereka menjadi seperti tumbuh-tumbuhan di padang, seperti rumput muda yang hijau, seperti rumput di atas bumbung rumah, yang layu sebelum bertumbuh.

27Tetapi Aku tahu ketika engkau duduk, dan ketika engkau keluar masuk, dan amarahmu terhadap Aku.

28Kerana engkau marah kepada-Ku, dan kerana ketakburanmu telah sampai kepada pendengaran-Ku, maka Aku akan memasang kelikir-Ku pada hidungmu dan kekang-Ku pada mulutmu. Aku akan mengembalikan engkau melalui jalan yang kautempuh ketika engkau datang.’

29Inilah tandanya bagimu, wahai Hizkia: Pada tahun ini kamu akan makan apa yang tumbuh dengan sendirinya, dan pada tahun kedua, apa yang tumbuh daripada tanaman tadi. Tetapi pada tahun ketiga, kamu harus menyemai, menuai, menanami kebun anggur, dan memakan buahnya.

30Kalangan yang terselamat daripada keturunan kaum Yehuda, iaitu orang yang tertinggal, akan berakar ke bawah dan berbuah lagi ke atas.

31Kerana dari Yerusalem akan keluar saki-baki kalangan itu, dan dari Gunung Sion orang yang terselamat. Semangat TUHAN alam semesta akan membuat hal ini terwujud.

32Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN mengenai raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke dalam kota ini dan tidak akan menembakkan anak panah di sini. Dia tidak akan maju menghampiri kota ini dengan perisai dan tidak akan menimbunkan tanggul pengepung terhadapnya.

33Dia akan kembali melalui jalan yang ditempuhnya ketika dia datang dan tidak akan masuk ke kota ini,’ demikianlah firman TUHAN.

34‘Aku akan melindungi kota ini dan menyelamatkannya demi diri-Ku sendiri dan demi Daud, hamba-Ku.’ ”

Kekalahan Asyur dan tewasnya Sanherib

35Pada malam itu malaikat TUHAN keluar dan menewaskan 185,000 orang di perkhemahan Asyur. Apabila orang bangun pada pagi esoknya, didapati mayat-mayat belaka!

36Maka berangkatlah Sanherib, raja Asyur, berjalan pulang, lalu dia tinggal di Niniwe.

37Pada suatu hari, ketika dia sedang bersembahyang di dalam kuil Nisrokh, tuhannya, Adramelekh dan Sarezer, anak-anaknya, membunuhnya dengan pedang lalu mereka melarikan diri ke Tanah Ararat. Maka Esarhadon, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.



 <<  2 Raja-raja 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran