Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 2 >> 

Elia diangkat ke syurga

1Maka apabila TUHAN hendak mengangkat Elia ke syurga dalam angin puting beliung, Elia dan Elisa sedang dalam perjalanan dari Gilgal.

2Kata Elia kepada Elisa, “Tinggal sajalah di sini, kerana TUHAN menyuruh aku ke Betel.” Jawab Elisa, “Demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan sendiri, hamba tidak akan meninggalkan tuan.” Lalu pergilah mereka ke Betel.

3Lantas keluarlah rombongan nabi di Betel untuk menemui Elisa lalu bertanya kepadanya, “Tahukah engkau bahawa hari ini TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu?” Jawabnya, “Aku tahu. Diamlah!”

4Kata Elia kepadanya, “Elisa, tinggal sajalah di sini, kerana TUHAN menyuruh aku ke Yerikho.” Jawabnya, “Demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan sendiri, hamba tidak akan meninggalkan tuan.” Lalu sampailah mereka di Yerikho.

5Rombongan nabi di Yerikho pun mendekati Elisa dan bertanya kepadanya, “Tahukah engkau bahawa hari ini TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu?” Jawabnya, “Aku tahu. Diamlah!”

6Kata Elia kepadanya, “Tinggal sajalah di sini, kerana TUHAN menyuruh aku ke Sungai Yordan.” Jawabnya, “Demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan sendiri, hamba tidak akan meninggalkan tuan.” Lalu berjalanlah kedua-dua orang itu.

7Lima puluh orang daripada rombongan nabi juga ikut berjalan, tetapi mereka berdiri jauh-jauh di seberang sementara Elia dan Elisa berdiri di tepi Sungai Yordan.

8Elia mengambil jubahnya, menggulungnya, dan memukulkannya ke air sungai itu. Maka air itu pun terbelah ke sebelah kiri dan kanan, lalu kedua-dua orang itu menyeberang di tengah-tengah iaitu di atas tanah kering.

9Setelah mereka sampai di seberang, Elia berkata kepada Elisa, “Mintalah apa yang patut kulakukan kepadamu sebelum aku diambil daripadamu.” Jawab Elisa, “Wariskanlah hamba dua bahagian daripada roh tuan.”

10Kata Elia, “Yang kauminta itu sukar. Akan tetapi, jika engkau dapat melihat aku ketika aku diambil daripadamu, maka hal itu akan berlaku ke atasmu. Jika tidak, maka hal itu tidak akan berlaku.”

11Sementara mereka berjalan terus dan berbicara, tiba-tiba muncullah sebuah rata berapi dengan kuda berapi memisahkan kedua-duanya. Elia pun naik ke syurga dalam puting beliung.

12Melihat hal itu, berserulah Elisa, “Bapaku, bapaku! Rata Israel dengan pasukan berkudanya!” Setelah itu, dia tidak melihatnya lagi. Direnggutnya pakaiannya dan dikoyakkannya menjadi dua.

13Lalu dipungutnya jubah Elia yang terjatuh, dan kembali berdiri di tepi Sungai Yordan.

14Setelah dia mengambil jubah Elia yang terjatuh itu, dipukulkannya jubah itu ke air dan berkata, “Di manakah TUHAN, Allah Elia?” Apabila air itu dipalu, terbelahlah air itu ke sebelah kiri dan kanan, lalu Elisa pun menyeberang.

15Ketika rombongan nabi dari Yerikho melihat dia dari seberang, berkatalah mereka, “Roh Elia tinggal pada Elisa.” Mereka pun datang menemui dia dan sujud memberi hormat kepadanya.

16Kata mereka kepada Elisa, “Lihat, ada lima puluh orang lelaki yang kuat dalam kalangan hambamu ini. Suruhlah mereka pergi mencari tuanmu, jangan-jangan Roh TUHAN mengangkat dia lalu mencampakkannya ke sesuatu gunung atau lembah.” Kata Elisa, “Jangan suruh mereka pergi.”

17Akan tetapi, mereka mendesak dia sampai dia berasa malu untuk menolaknya. Lalu katanya, “Suruhlah mereka pergi!” Maka mereka mengutus lima puluh orang untuk mencari Elia. Namun demikian, setelah tiga hari lamanya mereka mencari, mereka tidak juga menemukannya.

18Sekembalinya mereka kepada Elisa yang masih tinggal di Yerikho, berkatalah dia kepada mereka, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, ‘Jangan pergi’?”

Elisa menyihatkan air di Yerikho

19Tidak lama kemudian penduduk Kota Yerikho berkata kepada Elisa, “Lihat! Letaknya kota ini baik, seperti yang tuanku lihat. Namun demikian, airnya tidak baik dan tanahnya pun tidak subur.”

20Kata Elisa, “Ambilkan aku sebuah mangkuk baru dan bubuhlah garam ke dalamnya.” Lalu mereka membawa mangkuk itu kepadanya.

21Elisa pun pergi ke sebuah mata air lalu melemparkan garam itu ke situ sambil berkata, “Beginilah firman TUHAN, ‘Air ini sudah Kusihatkan, sehingga tidak lagi menyebabkan kematian atau ketidaksuburan’ ”

22Maka air itu pun menjadi sihat sampai hari ini, selaras dengan kata-kata yang diucapkan Elisa.

Kanak-kanak Betel mengolok-olokkan Elisa

23Dari sana Elisa pergi ke Betel. Sewaktu dia mendaki jalan, sekelompok kanak-kanak keluar dari dalam kota dan mengolok-olokkan dia dengan berkata, “Naiklah, wahai gondol! Naiklah, wahai gondol!”

24Dia pun berpaling ke belakang. Dipandangnya mereka lalu dikutuknya mereka dengan nama TUHAN. Maka keluarlah dua ekor beruang betina dari dalam hutan dan mencabik-cabik empat puluh dua orang kanak-kanak daripada antara mereka.

25Kemudian Elisa meneruskan perjalanan ke Gunung Karmel, dan dari situ dia kembali ke Samaria.



 <<  2 Raja-raja 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel