Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 20 >> 

Raja Hizkia sakit dan disembuhkan

1Pada waktu itu Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Datanglah Nabi Yesaya anak Amos menemuinya dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Uruskanlah rumah tanggamu, kerana engkau akan mati dan tidak akan sembuh lagi.”

2Kemudian Hizkia memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN, katanya,

3“Ya TUHAN, semoga Engkau ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati, serta melakukan apa yang baik di mata-Mu.” Lalu Hizkia menangis tersedu-sedu.

4Yesaya belum keluar dari pelataran tengah ketika firman TUHAN datang kepadanya demikian,

5“Kembalilah dan katakanlah kepada Hizkia, pemimpin umat-Ku, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah Daud, leluhurmu, “Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya, Aku akan menyembuhkan engkau. Pada hari ketiga engkau akan pergi ke Bait TUHAN.

6Aku akan menambah umurmu lima belas tahun lagi. Aku pun akan melepaskan engkau dan kota ini daripada tangan raja Asyur. Aku akan melindungi kota ini demi diri-Ku sendiri dan demi Daud, hamba-Ku.” ’

7Lalu berkatalah Yesaya, “Ambillah ramasan buah ara.” Kemudian orang mengambilnya dan menaruhnya pada bisul Hizkia itu, maka dia pun sembuh.

8Sebelumnya Hizkia bertanya kepada Yesaya, “Apakah tandanya bahawa TUHAN akan menyembuhkan aku dan bahawa aku akan pergi ke Bait TUHAN pada hari ketiga?”

9Jawab Yesaya, “Inilah tanda bagimu daripada TUHAN, bahawa TUHAN akan melaksanakan firman yang telah disampaikan-Nya itu. Yang mana kaukehendaki: Bayang-bayang itu maju sepuluh tapak atau mundur sepuluh tapak?”

10Jawab Hizkia, “Tentunya mudah bagi bayang-bayang itu memanjang sepuluh tapak. Kalau begitu, biarlah bayang-bayang itu mundur ke belakang sepuluh tapak.”

11Maka Nabi Yesaya pun berseru kepada TUHAN, dan Dia memundurkan bayang-bayang penanda yang jatuh pada penunjuk matahari buatan Ahas, sepuluh tapak ke belakang.

Raja Hizkia dan para utusan dari Babel

12Pada waktu itu, Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babel, mengirim surat serta pemberian kepada Hizkia, kerana dia mendengar bahawa Hizkia sakit.

13Hizkia bergembira atas kedatangan mereka. Diperlihatkannya kepada mereka seluruh gedung harta bendanya, perak dan emas, rempah-ratus dan minyak yang berharga, seluruh gedung persenjataannya dan segala sesuatu yang terdapat dalam perbendaharaannya. Tidak ada barang dalam istana dan seluruh daerah kekuasaannya yang tidak diperlihatkan kepada mereka oleh Hizkia.

14Setelah itu, Nabi Yesaya datang menghadap Raja Hizkia dan bertanya kepadanya, “Apakah yang dikatakan orang itu? Dari manakah mereka datang?” Jawab Hizkia, “Mereka datang dari negeri yang jauh, dari Babel.”

15Tanya Yesaya lagi, “Apakah yang dilihat mereka di dalam istanamu?” Jawab Hizkia, “Segala sesuatu yang ada dalam istanaku telah mereka lihat. Tidak ada barang dalam perbendaharaanku yang tidak kuperlihatkan kepada mereka.”

16Lalu kata Yesaya kepada Hizkia, “Dengarlah firman TUHAN,

17‘Sesungguhnya, akan datang harinya apabila segala sesuatu yang ada dalam istanamu dan yang disimpan oleh nenek moyangmu sampai hari ini akan diangkut ke Babel. Tidak ada barang yang akan ditinggalkan,’ demikianlah firman TUHAN.

18Selain itu, daripada kalangan anak yang akan dilahirkan bagimu, iaitu keturunanmu, beberapa orang akan diambil untuk menjadi para sida di istana raja Babel.”

19Kata Hizkia kepada Yesaya, “Firman TUHAN yang kausampaikan itu baik.” Kerana fikirnya, “Bukankah itu bererti ada kedamaian dan keamanan pada zamanku?”

20Riwayat Hizkia yang selebihnya, segala kejayaannya, dan bagaimana dia membuat kolam serta saluran air dan mengalirkan air ke dalam kota, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?

21Lalu Hizkia dibaringkan bersama nenek moyangnya. Maka Manasye, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.



 <<  2 Raja-raja 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel