Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 21 >> 

Manasye bertakhta di Yehuda

1Manasye berumur dua belas tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama lima puluh lima tahun di Yerusalem. Nama ibunya ialah Hefzibah.

2Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, mengikuti kekejian bangsa-bangsa yang telah dihalau TUHAN dari hadapan orang Israel.

3Dia membina kembali bukit-bukit pemujaan yang sudah dimusnahkan oleh Hizkia, ayahnya, lalu didirikannya pelbagai mazbah iaitu tempat pembakaran korban bagi Baal serta dibuatnya patung Asyera seperti yang dilakukan Ahab, raja Israel. Dia sujud menyembah segala benda langit dan beribadat kepadanya.

4Dia juga membina pelbagai mazbah di dalam Bait TUHAN, padahal TUHAN telah berfirman, “Di Yerusalem akan Kutegakkan nama-Ku.”

5Di dua pelataran Bait TUHAN, dia membina mazbah-mazbah bagi segala benda langit.

6Dia mempersembahkan anaknya pula sebagai korban yang dibakar, dan mengamalkan kegiatan ramal, nujum, serta menghubungi pemanggil arwah dan ahli sihir. Banyak kejahatan dilakukannya di mata TUHAN, sehingga dia membangkitkan murka-Nya.

7Dia menempatkan patung ukiran Asyera yang telah dibuatnya di dalam Bait, padahal TUHAN telah berfirman kepada Daud dan kepada Salomo, anaknya, “Di dalam Bait ini dan di Yerusalem, yang telah Kupilih daripada kalangan semua suku Israel, Aku akan menegakkan nama-Ku untuk selama-lamanya.

8Aku tidak akan membiarkan kaki orang Israel berganjak lagi dari tanah yang telah Kukurniakan kepada nenek moyang mereka, asal sahaja mereka tetap melakukan segala sesuatu yang telah Kuperintahkan kepada mereka dan segala hukum yang telah diperintahkan kepada mereka oleh hamba-Ku Musa.”

9Akan tetapi, mereka tidak mematuhi segala perintah-Nya itu manakala Manasye pula menyesatkan mereka sehingga mereka melakukan apa yang jahat, lebih daripada bangsa-bangsa yang telah dipunahkan TUHAN dari hadapan orang Israel.

10Kemudian dengan perantaraan hamba-hamba-Nya, para nabi, TUHAN berfirman,

11“Kerana Manasye, raja Yehuda, telah melakukan pelbagai kekejian ini, melebihi segala kejahatan yang dilakukan orang Amori sebelumnya, dan telah menyebabkan orang Yehuda turut berdosa dengan segala berhala mereka,

12maka beginilah firman TUHAN, Allah Israel: Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka atas Yerusalem dan Yehuda, sehingga akan berdengung kedua-dua telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya.

13Aku akan merentangkan atas Yerusalem tali pengukur yang digunakan terhadap Samaria dan tali ladung yang digunakan terhadap keluarga Ahab. Aku akan mencucikan Yerusalem sebagaimana orang menggosok pinggan, iaitu menggosok sambil membalikkannya hingga menonggeng.

14Aku akan membuang sisa harta pusaka-Ku dan menyerahkan mereka ke dalam tangan para musuh mereka, sehingga mereka menjadi rampasan dan jarahan bagi semua musuh mereka,

15kerana mereka telah melakukan segala kemungkaran di mata-Ku dan telah membangkitkan murka-Ku, sejak hari nenek moyang mereka keluar dari Mesir sampai hari ini.”

16Apatah lagi, Manasye menumpahkan banyak sekali darah orang yang tidak bersalah, sehingga Yerusalem dipenuhi darah dari hujung ke hujung, belum termasuk dosanya yang menyebabkan orang Yehuda turut berdosa sehingga mereka melakukan apa yang jahat di mata TUHAN.

17Riwayat Manasye yang selebihnya, semua yang dilakukannya, dan dosa yang diperbuatnya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?

18Lalu Manasye dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di taman istananya, iaitu di taman Uza. Maka Amon, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

Amon, Raja Yehuda

19Amon berumur dua puluh dua tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama dua tahun. Nama ibunya ialah Mesulemet anak Harus, dari Yotba.

20Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN seperti yang dilakukan oleh Manasye, ayahnya.

21Segala jalan yang ditempuh ayahnya diturutinya. Dia beribadat kepada berhala-berhala yang disembah ayahnya dan sujud menyembah semua itu.

22Dia meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyangnya, dan tidak hidup menurut jalan TUHAN.

23Maka para pegawai Amon bersekongkol melawannya dan membunuh raja di istananya.

24Tetapi rakyat negeri itu membunuh semua orang yang bersekongkol melawan Raja Amon. Lalu rakyat negeri itu menobatkan Yosia, anaknya, menjadi raja menggantikannya.

25Riwayat Amon selebihnya, apa yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?

26Lalu dia dimakamkan dalam makamnya di taman Uza. Maka Yosia, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.



 <<  2 Raja-raja 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel