Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 8 >> 

Wanita Sunem mendapat harta miliknya semula

1Dahulu Elisa pernah berbicara kepada perempuan yang anaknya dihidupkan kembali, katanya, “Pergilah segera bersama-sama keluargamu dan tinggallah sebagai pendatang di mana sahaja engkau boleh tinggal, kerana TUHAN akan mendatangkan bencana kebuluran atas negeri ini selama tujuh tahun.”

2Perempuan itu pun segera bertindak selaras dengan kata-kata hamba Allah itu. Dia pergi bersama-sama keluarganya, lalu tinggal sebagai pendatang di negeri orang Filistin selama tujuh tahun.

3Setelah tujuh tahun berlalu, kembalilah perempuan itu dari negeri orang Filistin. Kemudian dia pergi menghadap raja untuk mengadukan perkara mengenai rumah dan ladangnya.

4Pada waktu itu raja sedang berbicara dengan Gehazi, pembantu hamba Allah, katanya, “Ceritakanlah padaku segala perbuatan besar yang dilakukan Elisa.”

5Sementara dia bercerita kepada raja bagaimana Elisa menghidupkan seorang anak yang telah mati, tiba-tiba perempuan yang anaknya dihidupkan kembali itu datang hendak mengadukan perkara perihal rumah dan ladangnya kepada raja. Kata Gehazi, “Ya Tuanku Raja, inilah perempuan itu dan inilah anaknya yang dihidupkan kembali oleh Elisa.”

6Raja pun bertanya kepada perempuan itu, dan perempuan itu bercerita kepadanya. Kemudian raja menunjuk seorang pegawai istana untuk menolong perempuan itu, katanya, “Kembalikanlah kepadanya semua yang menjadi miliknya dan semua hasil ladang sejak dia meninggalkan tanah itu sampai sekarang.”

Hazael membunuh Raja Benhadad

7Suatu ketika, Elisa pergi ke Damsyik ketika Benhadad, raja Aram, sedang sakit. Kemudian kepada raja dikhabarkan demikian, “Hamba Allah itu sudah datang ke mari.”

8Maka kata raja kepada Hazael, “Bawalah persembahan dan pergilah, serta songsonglah hamba Allah itu. Carilah petunjuk TUHAN daripada dia dan tanyakanlah, ‘Adakah aku akan sembuh daripada penyakit ini?’ ”

9Hazael pun pergi menyongsong Elisa dengan membawa persembahan, iaitu segala barang yang indah dari Damsyik sebanyak muatan empat puluh ekor unta. Dia datang lalu berdiri di hadapan Elisa dan berkata, “Anak tuan, Benhadad, raja Aram, menyuruh hamba menemui tuan untuk bertanya, ‘Adakah aku akan sembuh daripada penyakit ini?’ ”

10Jawab Elisa kepadanya, “Pergilah, katakanlah kepadanya, ‘Engkau pasti sembuh.’ Namun demikian, TUHAN sudah memperlihatkan kepadaku bahawa dia akan mati.”

11Kemudian Elisa menatap dia lama-lama, sampai Hazael berasa malu. Lalu menangislah hamba Allah itu.

12Hazael bertanya, “Mengapakah tuanku menangis?” Jawabnya, “Sebab aku tahu malapetaka yang akan kaudatangkan atas orang Israel. Kota-kotanya yang berkubu akan kaumusnahkan dengan api, pemuda-pemudanya akan kaubunuh dengan pedang, bayi-bayinya akan kauhempaskan, dan perut kaum perempuannya yang mengandung akan kaubelah.”

13Kata Hazael, “Tetapi siapakah hambamu ini sehingga dapat melakukan hal sebesar itu? Hamba hanyalah seekor anjing!” Jawab Elisa, “TUHAN telah memperlihatkan kepadaku bahawa engkau akan menjadi raja atas Aram.”

14Maka pergilah Hazael meninggalkan Elisa lalu kembali kepada tuannya. Tanya raja kepadanya, “Apa kata Elisa kepadamu?” Jawabnya, “Dia mengatakan kepada hamba bahawa tuanku pasti sembuh.”

15Akan tetapi, keesokan harinya Hazael mengambil sehelai selimut, mencelupnya ke dalam air, dan menyapukannya pada muka raja sehingga dia mati. Maka Hazael menaiki takhta menggantikannya.

Yoram, raja Yehuda

16Pada tahun kelima zaman pemerintahan Yoram anak Ahab, raja Israel, Yoram anak Yosafat menaiki takhta menjadi raja Yehuda menggantikan Yosafat, raja Yehuda ketika itu.

17Umurnya tiga puluh dua tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama lapan tahun.

18Dia hidup mengikuti jejak raja-raja Israel seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab, kerana isterinya ialah anak Ahab, dan dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN.

19Meskipun begitu, TUHAN tidak mahu membinasakan Yehuda kerana Daud, hamba-Nya. Allah memang telah berjanji kepada Daud bahawa Dia akan mengurniakan sebuah pelita kepada Daud dan kepada keturunannya sepanjang masa.

20Pada zaman Yoram, orang Edom memberontak untuk menentang kekuasaan Yehuda dan mengangkat seorang raja atas mereka sendiri.

21Oleh sebab itu Yoram menyeberang ke Zair dengan seluruh ratanya. Kemudian orang Edom mengepungnya dan para panglima pasukan ratanya, tetapi pada malam harinya dia bangun lalu menyerang mereka. Meskipun begitu, pasukannya melarikan diri pulang ke khemah masing-masing.

22Demikianlah orang Edom memberontak menentang kekuasaan Yehuda sampai hari ini. Pada waktu yang sama pula, Libna memberontak.

23Riwayat Yoram selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?

24Lalu Yoram dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud. Maka Ahazia, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

Ahazia, raja Yehuda

25Pada tahun kedua belas zaman pemerintahan Yoram anak Ahab, raja Israel, Ahazia anak Yoram menaiki takhta menjadi raja Yehuda.

26Ahazia berumur dua puluh dua tahun ketika dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama satu tahun. Nama ibunya ialah Atalya anak Omri, raja Israel.

27Dia hidup mengikuti jejak keluarga Ahab dan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab, kerana dia seorang menantu dalam kalangan keluarga Ahab.

28Ahazia pergi menyertai Yoram anak Ahab untuk berperang melawan Hazael, raja Aram, di Ramot-Gilead. Tetapi orang Aram melukakan Yoram.

29Maka kembalilah Raja Yoram ke Yizreel untuk mendapat perubatan bagi luka-luka akibat serangan orang Aram di Rama ketika dia berperang melawan Hazael, raja Aram. Kemudian Ahazia anak Yoram, raja Yehuda, pergi menjenguk Yoram anak Ahab di Yizreel kerana dia sakit.



 <<  2 Raja-raja 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel