Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 9 >> 

Panglima Yehu menjadi raja Israel

1Nabi Elisa memanggil seorang daripada rombongan nabi dan berkata kepadanya, “Ikatlah pinggangmu, bawalah kendi berisi minyak ini dan pergilah ke Ramot-Gilead.

2Sesampainya engkau di sana, carilah Yehu anak Yosafat anak Nimsi. Masuklah, ajak dia bangkit dari tengah-tengah teman-temannya, dan bawalah dia ke ruang dalam.

3Kemudian ambillah kendi berisi minyak ini, curahkanlah minyak ke atas kepalanya dan katakanlah, ‘Beginilah firman TUHAN, “Aku melantik engkau menjadi raja atas Israel.” ’ Setelah itu, bukalah pintu dan larilah, jangan berlengah sedikit pun.”

4Maka pergilah nabi muda itu ke Ramot-Gilead.

5Sesampainya dia di sana, tampak para panglima pasukan sedang duduk-duduk. Lalu dia berkata, “Aku membawa pesan untukmu, ya panglima.” Tanya Yehu, “Untuk siapakah antara kami sekalian ini?” Jawabnya, “Untukmu, ya panglima.”

6Maka bangkitlah Yehu dan masuk ke dalam rumah. Kemudian nabi muda itu menuangkan minyak ke atas kepalanya dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku melantik engkau menjadi raja atas umat TUHAN, iaitu atas Israel.

7Engkau harus membunuh keluarga Ahab, tuanmu, supaya Aku dapat membalas atas Izebel darah hamba-hamba-Ku, para nabi, dan darah semua hamba TUHAN.

8Seluruh keluarga Ahab akan binasa. Daripada Ahab akan aku lenyapkan setiap lelaki, baik orang kurungan mahupun orang merdeka antara orang Israel.

9Aku akan menjadikan keluarga Ahab sama seperti keluarga Yerobeam anak Nebat dan keluarga Baesa anak Ahia.

10Mayat Izebel akan dimakan anjing di wilayah Yizreel dan tidak ada orang yang akan memakamkannya.” Kemudian nabi muda itu membuka pintu lalu lari.

11Ketika Yehu keluar mendapatkan para pegawai tuannya, bertanyalah seseorang kepadanya, “Adakah semuanya baik-baik sahaja? Mengapakah orang gila itu datang kepadamu?” Jawab Yehu kepada mereka, “Kamu tahulah orang seperti itu dan hal-hal yang dikatakannya.”

12Kata mereka, “Ah, bohong! Ayuh, beritahulah kami!” Kata Yehu, “Inilah yang dikatakannya kepadaku, ‘Beginilah firman TUHAN, “Aku melantik engkau menjadi raja atas Israel.” ’

13Mereka pun segera mengambil pakaian masing-masing dan menghamparkannya di tangga sebagai pijakan kakinya. Mereka meniup sangkakala dan berseru, “Yehu menaiki takhta!”

14Demikianlah Yehu anak Yosafat anak Nimsi bersekongkol melawan Yoram. Sementara itu, Yoram sedang berjaga-jaga bersama semua orang Israel di Ramot-Gilead menghadapi Hazael, raja Aram.

15Tetapi Raja Yoram sendiri telah kembali ke Yizreel untuk mendapat pemulihan daripada luka-luka akibat serangan orang Aram ketika dia berperang melawan Hazael, raja Aram. Kata Yehu kepada para penyokongnya, “Kalau demikian niat hatimu, jangan biarkan seorang pun keluar menyelamatkan diri dari kota untuk pergi memberitahukan hal ini ke Yizreel.”

Raja Yoram dan Raja Ahazia dibunuh

16Yehu menaiki ratanya lalu pergi ke Yizreel, kerana Yoram terbaring sakit di sana. Juga Ahazia, raja Yehuda, pergi ke sana untuk menjenguk Yoram.

17Ketika pengawal yang berdiri di atas menara Yizreel melihat pasukan Yehu datang, berserulah dia, “Aku melihat suatu pasukan!” Kata Yoram, “Suruhlah seorang penunggang kuda pergi menemui orang itu dan bertanya, ‘Khabar baikkah?’ ”

18Seorang penunggang kuda pun pergi menemuinya dan berkata, “Beginilah titah raja, ‘Khabar baikkah?’ ” Jawab Yehu, “Apakah urusanmu dengan khabar baik? Ikutlah aku!” Lalu pengawal itu melaporkan, “Pesuruh itu sudah sampai di tempat mereka, tetapi dia tidak kembali.”

19Kemudian raja menyuruh seorang penunggang kuda yang lain. Dia sampai di tempat mereka dan berkata, “Beginilah titah raja, ‘Khabar baikkah?’ ” Jawab Yehu, “Apakah urusanmu dengan khabar baik? Ikutlah aku!”

20Lalu pengawal itu melaporkan, “Dia sudah sampai di tempat mereka, tetapi dia tidak kembali. Caranya mengenderai ratanya seperti cara Yehu cucu Nimsi, kerana dia membawa kenderaan seperti orang gila.”

21Kata Yoram, “Sediakan rataku!” Lalu ratanya pun disediakan. Keluarlah Yoram, raja Israel, dan Ahazia, raja Yehuda, dengan rata masing-masing. Mereka pergi menyongsong Yehu dan menjumpai dia di tanah milik Nabot, orang Yizreel itu.

22Ketika Yoram melihat Yehu, bertanyalah ia, “Khabar baikkah, Yehu?” Jawabnya, “Bagaimanakah mungkin ada khabar baik selagi ibumu Izebel melakukan begitu banyak perbuatan kafir dan sihir?”

23Dengan segera Yoram memutar arah ratanya dan melarikan diri sambil berkata kepada Ahazia, “Ini pengkhianatan, Ahazia!”

24Yehu menarik busurnya sekuat tenaga dan memanah Yoram di antara kedua-dua bahunya sehingga anak panah itu menembus jantungnya. Maka tersungkurlah dia di dalam ratanya.

25Kata Yehu kepada Bidkar, perwiranya, “Angkat dan campakkanlah dia ke ladang milik Nabot, orang Yizreel itu. Ingatlah, ketika aku dan engkau berdampingan menunggang kuda mengikuti Ahab, ayahnya, TUHAN telah menyampaikan pernyataan ilahi ini terhadap dia,

26‘Sesungguhnya, kelmarin Kulihat darah Nabot dan darah anak-anaknya, demikianlah firman TUHAN. Aku akan membalas engkau di ladang ini, demikianlah firman TUHAN.’ Jadi, angkat dan campakkanlah dia ke ladang itu, selaras dengan firman TUHAN.”

27Melihat hal itu Ahazia, raja Yehuda, lari menuju jalan ke Bet-Hagan. Tetapi Yehu mengejar dia dan berkata, “Panahlah dia juga!” Maka dia dipanah di atas ratanya, di Tanjakan Gur dekat Yibleam. Dia lari ke Megido lalu mati di sana.

28Para pegawainya mengangkut jenazahnya ke Yerusalem, lalu memakamkan dia dalam makamnya sendiri bersama nenek moyangnya di Kota Daud.

29Ahazia menaiki takhta atas Yehuda pada tahun kesebelas zaman pemerintahan Yoram anak Ahab.

Izebel dibunuh

30Sampailah Yehu di Yizreel. Ketika Izebel mendengar hal itu, dia mencelak matanya, menghiasi kepalanya, lalu menengok dari jendela.

31Ketika Yehu memasuki pintu gerbang, berkatalah Izebel, “Khabar baikkah, wahai Zimri, pembunuh tuannya?”

32Yehu menengadah ke jendela itu lalu berkata, “Siapakah yang berpihak kepadaku? Siapakah?” Kemudian dua tiga orang sida menengok ke bawah.

33Kata Yehu, “Jatuhkanlah dia!” Mereka pun menjatuhkan dia sehingga darahnya memercik ke dinding serta ke kuda-kuda yang kemudian menginjak-injaknya.

34Yehu masuk ke dalam, lalu makan dan minum. Katanya, “Uruslah mayat perempuan terkutuk itu dan makamkanlah dia, kerana dia anak raja juga.”

35Mereka pergi untuk menguburkan dia, tetapi mayatnya tidak ditemui, kecuali tengkorak, kedua-dua belah kaki, dan kedua-dua telapak tangannya.

36Mereka kembali memberitahu Yehu. Kata Yehu, “Memang begitulah firman yang disampaikan TUHAN dengan perantaraan hamba-Nya Elia, orang Tisbe itu, bunyinya, ‘Di wilayah Yizreel anjing akan memakan daging Izebel.

37Mayat Izebel akan seperti baja kandang di permukaan ladang di wilayah Yizreel, sehingga tidak ada orang yang mengenalinya dapat berkata: Ini Izebel.’ ”



 <<  2 Raja-raja 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel