Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 32 >> 

Raja Sanherib mengepung Yerusalem

1Sesudah hal-hal yang dikerjakan Hizkia dengan penuh kesetiaan itu, datanglah Sanherib, raja Asyur, memasuki Tanah Yehuda. Dia berkhemah mengepung kota-kota berkubu dan berniat menaklukkannya bagi dirinya.

2Ketika Hizkia melihat bahawa Sanherib datang dan berniat memerangi Yerusalem,

3berundinglah dia dengan para pembesarnya dan kesaterianya untuk menutup mata air yang ada di luar kota. Mereka pun membantunya.

4Maka ramailah orang yang berkumpul lalu mereka menutup semua mata air dan sungai yang mengalir di tengah-tengah negeri itu. Fikir mereka, “Mengapa raja-raja Asyur harus mendapat banyak air kalau mereka datang?”

5Hizkia pun menguatkan hati lalu membina kembali semua bahagian tembok yang pecah, meninggikan menara-menara di atasnya, dan membina tembok lain di luarnya. Dia memperkuat Milo di Kota Daud dan membuat banyak senjata serta perisai.

6Dia melantik para panglima perang atas bangsa itu dan dikumpulkannya mereka menghadapnya di lapangan dekat pintu gerbang kota. Lalu dia meneguhkan hati mereka dengan berkata:

7“Kuatkanlah dan teguhkanlah hatimu! Janganlah takut dan janganlah kecut hati terhadap raja Asyur dan terhadap seluruh pasukan yang menyertainya, kerana yang menyertai kita lebih besar daripada yang menyertainya.

8Yang menyertainya hanyalah tangan manusia, sedangkan yang menyertai kita ialah TUHAN, Allah kita, yang membantu kita dan bertempur dalam peperangan kita.” Bangsa itu pun diyakinkan oleh perkataan Hizkia, raja Yehuda.

9Setelah itu, ketika Sanherib, raja Asyur, sedang mengepung Lakhis dengan seluruh tentera kerajaannya, dia mengutus para pegawainya ke Yerusalem menemui Hizkia, raja Yehuda, serta semua orang Yehuda yang ada di Yerusalem, dengan pesan:

10“Beginilah titah Sanherib, raja Asyur: Kepada apakah yang kamu bergantung sehingga kamu tetap tinggal di Yerusalem yang terkepung ini?

11Bukankah Hizkia memujuk kamu, supaya kamu mati kelaparan dan kehausan, dengan berkata, ‘TUHAN, Allah kita, akan melepaskan kita daripada tangan raja Asyur’?

12Bukankah Hizkia ini yang menyingkirkan bukit-bukit pemujaan-Nya serta mazbah-mazbah-Nya sambil berkata kepada orang Yehuda dan Yerusalem, ‘Kamu harus sujud menyembah di depan sebuah sahaja mazbah dan membakar dupa di atasnya sahaja’?

13Tidakkah kamu tahu apa yang dilakukan olehku dan oleh nenek moyangku kepada semua suku bangsa negeri lain? Apakah tuhan bangsa-bangsa negeri itu dapat melepaskan negeri mereka daripada tanganku?

14Siapakah antara semua tuhan bangsa-bangsa yang ditumpaskan oleh nenek moyangku itu dapat melepaskan bangsanya daripada tanganku, sehingga Allahmu pun dapat melepaskan kamu daripada tanganku?

15Sekarang, jangan mahu ditipu oleh Hizkia dan jangan mahu dipujuknya seperti itu. Jangan percaya kepadanya, kerana tidak ada tuhan daripada bangsa atau kerajaan mana pun yang dapat melepaskan bangsanya daripada tanganku dan daripada tangan nenek moyangku. Apa lagi Allahmu! Dia tidak akan dapat melepaskan kamu daripada tanganku.”

16Masih banyak lagi yang dikatakan oleh para pegawai Sanherib untuk menentang Tuhan Allah, dan menentang Hizkia, hamba-Nya.

17Selain itu, dia menulis beberapa pucuk surat pula untuk mencela TUHAN, Allah Israel, dan menghujah-Nya, bunyinya, “Seperti tuhan bangsa-bangsa negeri lain tidak dapat melepaskan bangsanya daripada tanganku, demikian juga Allah Hizkia tidak akan melepaskan bangsa-Nya daripada tanganku.”

18Mereka berseru-seru dengan suara nyaring dalam bahasa Ibrani kepada penduduk Yerusalem yang ada di atas tembok untuk menakut-nakuti dan menggentarkan mereka, supaya kota itu dapat direbut mereka.

19Mereka berbicara tentang Allah Yerusalem seperti tentang tuhan suku-suku bangsa di bumi ini, buatan tangan manusia.

Yerusalem terselamat daripada tangan Raja Sanherib

20Maka Raja Hizkia dan Nabi Yesaya anak Amos berdoa dan berseru ke syurga.

21Lalu TUHAN mengutus malaikat yang melenyapkan semua kesateria gagah perkasa, pemimpin, dan panglima yang ada di perkhemahan raja Asyur, sehingga dia pulang ke negerinya dengan muka yang diaibkan. Ketika dia masuk ke dalam kuil dewanya, anak-anak kandungnya sendiri membunuhnya dengan pedang di sana.

22Demikianlah TUHAN menyelamatkan Hizkia dan penduduk Yerusalem daripada tangan Sanherib, raja Asyur, dan daripada tangan semua orang. Dia mengurniakan ketenteraman kepada mereka di segala penjuru.

23Ramai orang membawa persembahan bagi TUHAN ke Yerusalem, dan barang-barang berharga untuk Hizkia, raja Yehuda. Sejak itu dia diagungkan di hadapan mata semua bangsa.

Tahun-tahun terakhir pemerintahan Raja Hizkia

24Pada waktu itu, Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Lalu dia berdoa kepada TUHAN, lalu Allah berfirman kepadanya dan memberinya suatu tanda ajaib.

25Akan tetapi, Hizkia tidak membalas kebaikan yang ditunjukkan kepadanya, kerana hatinya menjadi sombong. Itulah sebabnya murka menimpanya dan turut menimpa Yehuda serta Yerusalem.

26Kemudian Hizkia merendahkan diri daripada kesombongan hatinya, begitu pula penduduk Yerusalem, sehingga murka TUHAN tidak menimpa mereka pada zaman Hizkia.

27Hizkia memiliki kekayaan dan kehormatan yang sangat besar. Dia membuat perbendaharaan bagi perak, emas, permata, rempah-ratus, perisai, dan segala alat kelengkapan yang indah-indah.

28Dia juga membuat gudang-gudang perbekalan untuk hasil gandum, air anggur, dan minyak, serta kandang untuk segala jenis haiwan besar, juga untuk kawanan ternakan.

29Selain itu, dia membuat kota-kota baginya dan memperoleh kawanan domba dan kawanan lembu dalam jumlah yang besar kerana Allah mengurniakan banyak sekali harta benda kepadanya.

30Hizkia jugalah yang membendung mata air Gihon di hulu dan mengalirkannya ke hilir, ke sebelah barat Kota Daud. Hizkia berhasil dalam segala pekerjaannya.

31Ketika utusan para pembesar Babel diutus kepadanya untuk menanyakan tanda ajaib yang terjadi di negeri itu, Allah membiarkan dia bertindak sendiri untuk menguji dan mengetahui segala isi hatinya.

32Riwayat Hizkia yang selebihnya dan perbuatan baiknya, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab penglihatan Nabi Yesaya anak Amos, dalam kitab raja-raja Yehuda dan Israel.

33Lalu Hizkia dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di pendakian, di permakaman keturunan Daud. Pada masa kematiannya semua orang Yehuda dan penduduk Yerusalem memberikan penghormatan kepadanya. Maka Manasye, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.



 <<  2 Tawarikh 32 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel