Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Daniel 11 >> 

1Seterusnya pada tahun pertama dalam pemerintahan Darius, orang Media itu, aku telah bangkit untuk menguatkan dan melindungi dia.”

Raja negeri utara dan raja negeri selatan

2“Sekarang aku akan memberitahukan kebenaran kepadamu. Ketahuilah, tiga orang raja lagi akan muncul di Parsi, dan yang keempat akan mendapat kekayaan besar melebihi mereka semua. Setelah dia menjadi kuat kerana kekayaannya, dia akan mengerahkan semua orang untuk melawan kerajaan Yunani.

3Kemudian akan muncul seorang raja yang perkasa. Dia akan memerintah dengan kuasa yang besar dan berbuat sesuka hati.

4Tidak lama selepas kemunculannya, kerajaannya akan terpecah dan terbahagi menurut empat arah mata angin. Tetapi kerajaan itu tidak akan menjadi milik keturunannya dan tidak akan berkuasa sebagaimana dia berkuasa, kerana kerajaannya akan dicabut dan diberikan kepada orang lain selain keturunannya itu.

5Kemudian raja negeri selatan akan menjadi kuat, tetapi seorang daripada pembesarnya akan menjadi lebih kuat daripadanya. Orang itu akan memerintah kerajaannya sendiri dengan kuasa yang besar.

6Setelah beberapa tahun berlalu, kedua-duanya akan bersekutu. Puteri raja negeri selatan akan datang menemui raja negeri utara untuk membuat persetujuan. Tetapi puteri itu tidak akan dapat mempertahankan kekuasaannya, dan sang raja dengan kekuasaannya pun tidak akan bertahan. Pada waktu itu sang puteri akan diserahkan bersama dengan orang yang menghantarnya, ayahnya, dan orang yang menyokongnya.

7Tetapi suatu tunas daripada akar puteri itu akan muncul menggantikan kedudukan sang raja. Dia akan maju menyerang pasukan raja negeri utara dan memasuki bentengnya. Dia akan bergerak menentang mereka dan akan berkuasa.

8Bahkan dewa-dewa mereka, patung-patung tuangan mereka, serta barang-barang mereka yang indah iaitu yang dibuat daripada perak dan emas akan dibawanya sebagai jarahan ke Mesir. Dia akan berhenti menyerang raja negeri utara selama beberapa tahun.

9Raja negeri utara akan memasuki kerajaan raja negeri selatan, tetapi kemudian kembali ke tanahnya sendiri.

10Anak-anaknya akan bergerak untuk berperang dan mengerahkan pasukan tentera besar yang akan menyerbu, melanda, dan menerobos. Mereka akan kembali menyemarakkan api peperangan sampai ke benteng lawan.

11Lalu marahlah raja negeri selatan lalu keluar berperang melawan pasukan perang raja negeri utara yang telah mengerahkan pasukan yang besar. Akan tetapi pasukan itu akan diserahkan ke dalam tangan raja negeri selatan.

12Penyingkiran pasukan lawannya itu membuatnya menjadi angkuh. Dia akan menewaskan puluhan ribu orang, tetapi tidak akan menang.

13Raja negeri utara akan kembali mengerahkan pasukan besar, yang lebih besar daripada yang terdahulu. Setelah beberapa tahun berlalu, dia akan menyerbu dengan pasukan yang besar dan dengan alat kelengkapan dan bekalan yang amat banyak.

14Pada waktu itu, ramailah yang akan bangkit menentang raja negeri selatan. Orang yang ganas daripada kalangan bangsamu akan bangkit memberontak sehingga ternyatalah penglihatan itu, tetapi mereka akan gagal.

15Kemudian akan maralah raja negeri utara dan dia akan menimbuni tanggul pengepung dan merebut kota yang berkubu. Bala tentera negeri selatan tidak akan dapat bertahan, bahkan pasukan pilihannya pun tidak mempunyai kekuatan untuk bertahan,

16sehingga raja yang datang menyerangnya akan berbuat sesuka hati. Tidak ada yang dapat bertahan menghadapinya. Dia akan berdiri di Tanah Yang Mulia dan mempunyai kuasa untuk membinasakannya.

17Dia akan membulatkan hati untuk datang dengan kekuatan seluruh kerajaannya. Dia akan membawa persetujuan damai dan melaksanakannya. Dia akan menyerahkan seorang puteri kepada raja negeri selatan untuk membinasakan kerajaannya. Tetapi sang puteri tidak akan menjalankan niatnya itu dan tidak akan terus setia kepadanya.

18Setelah itu, tumpuannya dialihkan ke daerah-daerah pesisir dan banyaklah antaranya yang direbutnya. Tetapi seorang pemimpin akan menghentikan perbuatannya yang menghina itu, bahkan membalikkan cela itu kepadanya.

19Kemudian dia akan mengalihkan perhatiannya ke kubu-kubu di negerinya sendiri, tetapi dia akan tersandung, jatuh, dan tidak ditemukan lagi.

20Akan muncul menggantikan kedudukannya, seorang yang mengutus si pemungut ufti demi kemuliaan kerajaan itu. Tetapi dalam tempoh beberapa hari sahaja dia akan dibinasakan, bukan oleh kemarahan mahupun oleh peperangan.

21Akan muncul menggantikan kedudukannya, seorang yang hina, yang tidak berhak dikurniai kemuliaan kerajaan. Dia akan datang dalam masa aman dan memperoleh kerajaan itu dengan kelicikannya.

22Mana-mana bala tentera yang datang akan disapu habis dan dihancurkan dari hadapannya, termasuklah seorang raja yang mematerai perjanjian juga.

23Sejak diadakan perikatan dengannya, dia akan melakukan tipu daya dan bangkit menjadi kuat dengan rakyat yang sedikit sahaja bilangannya.

24Dalam masa aman, dia akan mendatangi tempat-tempat yang subur di wilayah itu dan melakukan apa yang tidak pernah dilakukan oleh para leluhurnya dan nenek moyangnya. Dia membahagi-bahagikan rampasan, jarahan, dan harta benda kepada para orangnya. Dia membuat rancangan untuk menyerang kubu-kubu, tetapi hanya seketika lamanya.

25Dia akan mendorongkan lantas mengerahkan kekuatan dan keberaniannya untuk melawan raja negeri selatan dengan menggunakan pasukan yang besar. Raja negeri selatan akan berperang dengan pasukan yang besar dan amat kuat, tetapi dia tidak akan dapat bertahan lantaran pelbagai rancangan pihak musuh demi menentangnya.

26Kalangan yang makan daripada santapannya akan berusaha untuk membinasakan dia. Pasukannya akan disapu habis dan ramailah orang yang akan tewas terbunuh.

27Kedua-dua raja itu berniat jahat. Mereka akan duduk semeja dan berkata dusta, tetapi itu tidak akan membawa kejayaan, kerana akhir yang sudah ditentukan itu masih lama.

28Maka raja negeri utara akan kembali ke negerinya dengan banyak harta benda dan tetaplah hatinya dengan niat untuk menentang perjanjian suci itu. Dia akan bertindak melaksanakan niatnya lalu kembali ke negerinya.

29Pada waktu yang sudah ditentukan, dia akan kembali memasuki negeri selatan, tetapi kunjungan kali itu tidak akan sama seperti usaha yang terdahulu.

30Kapal-kapal Kitim akan mendatanginya lantas melemahkan semangatnya. Dia akan berpatah pulang dengan rasa geram terhadap perjanjian suci dan akan melakukan niatnya. Setelah pulang, dia akan memberikan perhatian kepada orang yang mengabaikan perjanjian suci.

31Bala tenteranya akan muncul dan menajiskan tempat suci yang berkubu itu. Mereka akan menghentikan korban sehari-hari dan menegakkan kekejian yang mendatangkan kebinasaan.

32Dengan kata-kata licik, dia akan mencabuli orang yang berlaku fasiq terhadap perjanjian itu. Tetapi umat yang mengenal Allah mereka akan tetap kuat dan akan bertindak dengan berani.

33Orang bijaksana dalam kalangan umat itu akan mengajar ramai orang, walaupun mereka akan ditumpaskan oleh pedang dan nyala api, ditawan dan dijarah selama beberapa waktu.

34Ketika mereka tersandung, mereka akan mendapat sedikit pertolongan. Ramai orang akan berpura-pura seperti akan bergabung dengan mereka.

35Malah ada dalam kalangan bijaksana itu yang akan jatuh supaya mereka dapat dimurnikan, disucikan, dan dibersihkan bahkan sehingga masa akhir, kerana akhir masa itu sudah ditentukan.

36Lalu raja itu akan berbuat sewenang-wenangnya. Dia akan meninggikan diri dan terus membesarkan diri atas segala tuhan serta mengucapkan hal-hal yang dahsyat menentang Allah segala allah. Dia akan beroleh kejayaan sehingga genap tempoh kemurkaan itu, kerana apa yang sudah ditentukan akan terlaksana.

37Dia tidak akan mengendahkan tuhan-tuhan yang disembah oleh nenek moyangnya, malah tidak juga tuhan pujaan kaum wanita. Dia tidak akan mengendahkan tuhan mana pun, kerana dia akan mengangkat dirinya mengatasi kesemuanya.

38Tetapi sebaliknya dia akan memuliakan tuhan segala kubu dan benteng, iaitu tuhan yang tidak dikenal oleh nenek moyangnya. Dia akan memuliakannya dengan emas, perak, permata, dan barang-barang berharga.

39Dia akan bertindak terhadap benteng-benteng terkuat dengan pertolongan tuhan asing itu. Sesiapa yang mengakui tuhan itu akan diberi kehormatan besar. Dia akan menjadikan mereka penguasa atas ramai orang dan membahagi-bahagikan tanah sebagai upah mereka.

40Pada masa akhir, raja negeri selatan akan menyerangnya. Raja negeri utara itu menyerang dia seperti badai dengan segala rata, pasukan berkuda, dan kumpulan kapal yang banyak. Dia akan memasuki negeri-negeri, melanda, dan menerobosnya.

41Dia pun akan memasuki Tanah Yang Mulia. Banyak negeri akan diruntuhkannya, tetapi yang berikut ini akan terselamat daripada tangannya: Edom, Moab, dan wilayah terpenting daripada bani Amon.

42Dia akan melanjutkan lagi ruang lingkup kuasanya atas negeri-negeri lain, bahkan Tanah Mesir pun tidak akan terselamat.

43Dia akan menguasai harta emas, perak, dan segala barang berharga Mesir. Orang Libia dan orang Kush akan tunduk mengikutinya.

44Tetapi dia akan dikejutkan oleh khabar-khabar dari timur dan dari utara. Dia akan maju dengan kegusaran besar untuk memusnahkan dan menumpas ramai orang.

45Dia akan mendirikan khemah-khemah kerajaannya di antara laut dengan gunung mulia yang suci itu, tetapi ajalnya tetap akan tiba jua dan tiada sesiapa yang ada untuk menolongnya.”



 <<  Daniel 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel