Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Daniel 4 >> 

Raja Nebukadnezar memuji-muji Allah

1Daripada Raja Nebukadnezar kepada orang daripada semua suku, bangsa, dan bahasa yang berada di seluruh bumi, “Semoga kesejahteraanmu berlipat ganda!

2Aku berkenan menceritakan tanda-tanda dan pelbagai keajaiban yang telah dilakukan Allah Yang Maha Tinggi bagiku.

3Betapa besarnya tanda-tanda-Nya, betapa hebatnya segala keajaiban-Nya! Kerajaan-Nya ialah kerajaan yang kekal, kekuasaan-Nya tetap turun-temurun.

Mimpi kedua Raja Nebukadnezar

4Aku, Nebukadnezar, hidup tenang dalam rumahku dan makmur dalam istanaku.

5Aku mendapat mimpi yang membuat aku takut. Sewaktu aku berbaring di peraduan, khayalan dan penglihatan yang kudapat membuat aku resah.

6Oleh sebab itu aku mengeluarkan titah agar semua bijak pandai di Babel hendaklah dibawa menghadap aku supaya mereka memberitahukan kepadaku tafsiran mimpi itu.

7Maka datanglah para ahli ilmu ghaib, para ahli mantera, orang Kasdim, dan para jurufaal. Aku menceritakan mimpi itu kepada mereka, tetapi mereka tidak dapat memberitahukan tafsirannya kepadaku.

8Akhirnya Daniel datang menghadap aku. Dia ini dinamai Beltsazar, menurut nama tuhanku, dan roh tuhan yang suci ada padanya. Aku menceritakan kepadanya mimpi itu, demikian,

9‘Hai Beltsazar, ketua para ahli ilmu ghaib! Aku tahu bahawa roh tuhan yang suci ada padamu, dan tidak ada rahsia apa-apa pun yang sukar bagimu. Ceritakanlah kepadaku penglihatan yang kudapat dalam mimpiku dengan tafsirannya.

10Inilah penglihatan yang kudapat sewaktu aku berbaring di peraduanku: Aku melihat ada sebatang pokok yang sangat tinggi di tengah-tengah bumi.

11Pokok itu bertambah besar dan kuat, puncaknya mencapai langit dan kelihatan sampai ke hujung seluruh bumi.

12Daunnya indah, buahnya banyak, dan padanya ada makanan bagi segala makhluk. Binatang liar bernaung di bawahnya, burung-burung di udara tinggal di cabang-cabangnya, dan segala makhluk mendapat makanan daripadanya.

13Dalam penglihatan yang kudapat sewaktu aku berbaring di peraduanku itu tampaklah seorang malaikat pengawal, seorang yang suci, turun dari langit.

14Dia berseru dengan suara nyaring dan berkata demikian, “Tebanglah pokok itu dan potonglah cabang-cabangnya. Gugurkanlah daunnya dan hamburkanlah buahnya. Biarlah binatang-binatang lari dari bawah naungannya, dan burung-burung dari cabang-cabangnya.

15Namun demikian, biarkanlah tunggul dan akarnya di tanah, terikat dengan besi dan gangsa di atas rumput muda di padang. Biarlah embun dari langit membasahinya dan biarlah ia mendapat bahagian bersama-sama binatang di antara tumbuh-tumbuhan di bumi.

16Biarlah akal manusianya diubah dan akal binatang diberikan kepadanya, sampai tujuh tempoh masa berlalu baginya.

17Keputusan itu menurut ketetapan para malaikat pengawal, tuntutan itu menurut perintah para malaikat suci, supaya orang yang hidup tahu bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia meninggikan orang yang paling rendah sekalipun untuk memerintah kerajaan itu.”

18Aku, Raja Nebukadnezar, telah mendapat mimpi itu. Sekarang engkau, Beltsazar, katakanlah tafsirannya, kerana semua bijak pandai dalam kerajaanku tidak sanggup memberitahukan tafsirannya kepadaku. Tetapi engkau ini sanggup, kerana roh tuhan yang suci ada padamu.” ’

Daniel mentafsirkan mimpi Nebukadnezar

19Setelah itu, Daniel, yang juga dinamai Beltsazar, tertegun buat seketika dan segala fikirannya membuatnya resah. Kata raja, “Beltsazar, janganlah resah kerana mimpi itu dan tafsirannya.” Jawab Beltsazar, “Ya tuanku, biarlah mimpi itu terjadi ke atas orang yang membenci tuanku dan tafsirannya ke atas musuh-musuh tuanku!

20Pokok yang tuanku lihat itu – pokok yang bertambah besar dan kuat sehingga puncaknya mencapai langit dan kelihatan sampai ke seluruh bumi.

21Daunnya indah, buahnya banyak, dan padanya ada makanan bagi segala makhluk. Binatang liar tinggal di bawahnya dan burung-burung bersarang di cabang-cabangnya –

22pokok itu ialah Tuanku Raja sendiri! Tuanku semakin besar dan semakin kuat. Keagungan tuanku bertambah-tambah hingga mencapai langit dan kekuasaan tuanku sampai ke hujung bumi.

23Seterusnya fasal tuanku melihat seorang malaikat pengawal, seorang yang suci, turun dari langit dan berkata, ‘Tebanglah pokok itu dan binasakanlah dia! Namun demikian, biarkanlah tunggul dan akarnya di tanah, terikat dengan besi dan gangsa di atas rumput muda di padang. Biarlah embun dari langit membasahinya dan biarlah dia mendapat bahagian bersama dengan binatang liar sampai tujuh tempoh masa berlalu baginya.’

24Inilah tafsirannya, ya Raja, dan inilah yang dititahkan Yang Maha Tinggi terhadap Tuanku Raja:

25tuanku akan diusir daripada masyarakat manusia sehingga tuanku tinggal bersama-sama binatang liar. Tuanku akan diberi makan rumput seperti lembu dan akan dibasahi embun dari langit. Tujuh tempoh masa akan berlalu bagi tuanku sampai tuanku mengakui bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

26Sebagaimana ada perintah untuk membiarkan tunggul dan akar pokok itu, demikianlah kerajaan tuanku akan tetap pula pada tuanku apabila tuanku mengakui bahawa yang berkuasa secara mutlak ialah kerajaan syurga.

27Oleh sebab itu, ya Raja, kiranya nasihat hamba berkenan kepada tuanku: Tinggalkanlah dosa-dosa tuanku dengan melakukan apa yang benar, begitu juga, hapuskanlah segala kejahatan tuanku dengan berbelas kasihan kepada fakir miskin. Dengan demikian akan berlanjutanlah ketenteraman tuanku.”

28Segala hal itu terjadi kepada Raja Nebukadnezar.

29Pada akhir dua belas bulan, ketika dia sedang berjalan-jalan di atas istana kerajaan Babel,

30berkatalah raja, “Bukankah ini Babel yang besar itu, yang kubangunkan menjadi istana kerajaan dengan kekuatan kuasaku dan demi kemuliaan kebesaranku?”

31Sewaktu kata-kata itu diucapkan raja, terdengarlah suara dari langit mengatakan, “Bagimulah firman ini, wahai Raja Nebukadnezar: Kerajaan ini dialihkan daripadamu.

32Engkau akan diusir daripada masyarakat manusia sehingga engkau akan tinggal bersama-sama binatang liar. Engkau akan diberi makan rumput seperti lembu. Tujuh tempoh masa akan berlalu bagimu sehingga engkau mengakui bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.”

33Pada saat itu juga berlakulah firman itu atas Nebukadnezar. Dia diusir daripada masyarakat manusia dan makan rumput seperti lembu. Tubuhnya basah oleh embun dari langit sampai rambutnya tumbuh seperti bulu burung rajawali dan kukunya seperti kuku burung.

34“Pada akhir tempoh masa itu, aku, Nebukadnezar, menengadah ke langit dan fikiranku kembali kepadaku. Aku memuji Yang Maha Tinggi. Aku menyanjung dan membesarkan Dia yang hidup selama-lamanya, kerana kekuasaan-Nya sememangnya kekuasaan yang kekal, dan kerajaannya tetap turun-temurun.

35Semua penghuni bumi dianggap seperti tidak bererti. Dia bertindak menurut kehendak-Nya terhadap para penguasa langit dan penghuni bumi. Tidak ada yang dapat menahan tangan-Nya atau berkata kepada-Nya, ‘Apakah yang telah Engkau lakukan?’

36Pada waktu itu fikiranku waras kembali. Kebesaranku dan kegemilanganku dikembalikan kepadaku demi kemuliaan kerajaanku. Para menteriku dan para pembesarku menjemput aku dan aku dimantapkan kembali dalam kerajaanku, dan keagungan yang luar biasa ditambahkan kepadaku.

37Sekarang aku, Nebukadnezar, memuji, meninggikan, dan membesarkan Raja Syurga atas sebab segala perbuatan-Nya benar belaka dan jalan-jalan-Nya adil. Dia sanggup merendahkan orang yang hidup dalam keangkuhan.”



 <<  Daniel 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel