Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Daniel 5 >> 

Tulisan pada dinding

1Raja Belsyazar mengadakan jamuan besar bagi seribu orang pembesarnya dan dia meminum-minum air anggur di hadapan seribu orang itu.

2Sambil mengecap air anggur itu, Belsyazar menitahkan supaya orang membawa ke hadapannya wadah-wadah emas dan perak yang telah diangkut oleh Nebukadnezar, leluhurnya, dari Bait Suci di Yerusalem, supaya para pembesarnya, isteri-isterinya, dan gundik-gundiknya dapat minum daripada wadah itu.

3Lalu dibawalah wadah-wadah emas yang telah diangkut dari Bait Suci, yakni Rumah Allah di Yerusalem. Lalu raja, para pembesarnya, para isteri dan para gundiknya minum daripada wadah itu.

4Mereka minum air anggur dan memuji tuhan-tuhan yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu.

5Pada saat itu juga, muncullah jari-jari tangan manusia menulis pada kapur dinding istana raja, di hadapan kaki pelita. Raja melihat belakang tangan yang sedang menulis itu.

6Maka pucatlah wajah raja dan fikirannya membuat dia amat gusar. Lemah longlai sendi-sendi pinggangnya dan lututnya saling berhantukan.

7Raja berseru dengan suara nyaring supaya para ahli mantera, orang Kasdim, dan para jurufaal dibawa menghadap. Kata raja kepada orang bijak di Babel itu, “Sesiapa pun yang dapat membaca tulisan ini dan memberitahukan tafsirannya kepadaku, kepadanya akan dipakaikan pakaian ungu dan lehernya akan dikalungkan rantai emas. Dia akan menjadi pemerintah yang ketiga dalam kerajaan ini.”

8Maka datanglah semua bijak pandai bawahan raja, tetapi mereka tidak sanggup membaca tulisan itu atau memberitahukan tafsirannya kepada raja.

9Pada waktu itu Raja Belsyazar menjadi sangat resah dan wajahnya pucat. Para pembesarnya pun kebingungan.

10Mendengar perkataan raja dan para pembesarnya, datanglah permaisuri ke tempat perjamuan. Kata permaisuri, “Dirgahayu Raja! Janganlah tuanku resah oleh fikiran tuanku dan janganlah wajah tuanku pucat.

11Dalam kerajaan tuanku ada seorang yang memiliki roh tuhan yang suci. Pada zaman leluhur tuanku telah didapati bahawa orang itu mempunyai wawasan, akal budi, dan kebijaksanaan seperti kebijaksanaan tuhan. Raja Nebukadnezar, leluhur tuanku, ya, leluhur tuanku, sang raja itu, menjadikan dia ketua para ahli ilmu ghaib, para ahli mantera, orang Kasdim, dan para jurufaal.

12Memang pada orang itu didapati roh yang luar biasa, pengetahuan, dan akal budi untuk mentafsirkan mimpi, memecahkan teka-teki, dan menghuraikan persoalan yang sulit. Dialah Daniel yang diberi nama Beltsazar oleh sang raja. Sekarang, biarlah Daniel dipanggil, maka dia akan memberitahukan tafsiran tulisan itu.”

13Maka Daniel dibawa menghadap raja. Kata raja kepada Daniel, “Engkaukah Daniel, salah seorang buangan daripada bani Yehuda yang dibawa ke mari oleh sang raja, leluhurku, dari Yehuda?

14Aku mendengar tentang engkau, bahawa roh tuhan ada padamu, dan juga kamu memiliki wawasan, akal budi, serta kebijaksanaan yang luar biasa.

15Saat ini orang bijak dan para ahli mantera telah dibawa menghadap aku supaya mereka membaca tulisan ini dan memberitahukan tafsirannya kepadaku, tetapi mereka tidak sanggup memberitahukan tafsiran perkataan itu.

16Lalu aku mendengar tentang engkau, bahawa engkau sanggup memberikan tafsiran dan menghuraikan persoalan yang sulit. Sekarang, jika engkau sanggup membaca tulisan itu dan memberitahukan tafsirannya kepadaku, maka kepadamu akan dipakaikan pakaian ungu dan lehermu akan dikalungkan rantai emas. Engkau akan menjadi pemerintah yang ketiga dalam kerajaan ini.”

17Lalu Daniel berkata kepada raja, “Biarlah pemberian tuanku itu disimpan sahaja oleh tuanku. Biarlah hadiah tuanku itu dikurniakan sahaja kepada orang lain. Meskipun begitu, hamba akan membacakan tulisan itu bagi Raja dan memberitahukan tafsirannya.

18Ya Tuanku Raja, Allah Yang Maha Tinggi telah mengurniakan kerajaan, keagungan, kemuliaan, dan kebesaran kepada Nebukadnezar, ayahanda tuanku.

19Kerana keagungan yang dikurniakan kepadanya, maka umat daripada segala suku, bangsa, dan bahasa gementar dan takut kepadanya. Dia membunuh sesiapa sahaja yang dikehendakinya dan membiarkan hidup sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Dia meninggikan sesiapa yang dikehendakinya dan merendahkan sesiapa yang dikehendakinya.

20Tetapi ketika dia menjadi bongkak dan keras hati sehingga bertindak angkuh, dia diturunkan daripada takhta kerajaannya dan kemuliaannya diambil daripadanya.

21Dia dihalau daripada kalangan anak manusia. Hatinya menjadi sama dengan hati binatang dan dia tinggal bersama-sama keldai liar. Dia diberi makan rumput seperti lembu dan tubuhnya basah oleh embun dari langit sampai dia mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengangkat sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya untuk memerintah kerajaan itu.

22Namun begitu, tuanku, anaknya, Belsyazar, keturunannya, masih tidak merendahkan hati sungguhpun tuanku mengetahui semua hal itu.

23Sebaliknya, tuanku meninggikan diri terhadap Tuhan semesta langit dan menyuruh membawa wadah-wadah dari Bait-Nya kepada tuanku. Lalu tuanku, para pembesar tuanku, para isteri dan para gundik tuanku, minum air anggur daripada wadah itu. Tuanku memuji tuhan-tuhan yang dibuat daripada perak, emas, gangsa, besi, kayu, dan batu yang tidak dapat melihat, mendengar, atau mengetahui sesuatu. Tetapi Allah yang memegang nafas tuanku dan segala jalan hidup tuanku tidak tuanku besarkan.

24Kemudian Dia mengirim tapak tangan itu dari hadirat-Nya dan tertulislah suratan ini.

25Inilah suratan yang tertulis itu: Mene, Mene, Tekel, dan Parsin.

26Inilah tafsiran perkataan itu. Mene: Allah telah menghitung tempoh pemerintahan tuanku dan mengakhirinya.

27Tekel: tuanku telah ditimbang dengan neraca dan didapati kurang berat.

28Peres: kerajaan tuanku telah dibahagi-bahagikan dan diserahkan kepada orang Media dan orang Parsi.”

29Setelah itu, Belsyazar memberikan perintah supaya pakaian ungu dipakaikan kepada Daniel, rantai emas dikalungkan pada lehernya, dan dinobatkan sebagai pemerintah yang ketiga dalam kerajaan itu.

30Pada malam itu juga Belsyazar, raja orang Kasdim, dibunuh.

31Lalu Darius, orang Media, mengambil alih kerajaan itu ketika berumur kira-kira enam puluh dua tahun.



 <<  Daniel 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel