Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Daniel 6 >> 

Daniel dihumban ke dalam gua singa

1Darius berkenan melantik seratus dua puluh orang wakil raja atas kerajaan itu. Mereka ditugaskan untuk memerintah di seluruh kerajaan.

2Di atas mereka ada tiga orang penyelia dan seorang daripada mereka ialah Daniel. Kepada tiga orang penyelia itulah para wakil raja bertanggungjawab supaya raja tidak mendapat sebarang kerugian.

3Terbukti betapa Daniel lebih menonjol daripada dua orang lagi penyelia itu dan juga para wakil raja, kerana padanya ada roh yang luar biasa hinggakan raja berancangan mengangkat dia untuk memerintah seluruh kerajaannya.

4Akibatnya, para penyelia lain itu serta para wakil raja berusaha mencari alasan untuk menjatuhkan Daniel dalam hal pemerintahan. Akan tetapi, mereka tidak dapat sesuatu alasan atau kesalahan sedemikian lantaran kesetiaan Daniel, bahkan tidak didapati sesuatu kesilapan atau kesalahan padanya.

5Lantas lelaki-lelaki ini memutuskan, “Kita tidak akan menemui apa-apa alasan untuk menjatuhkan Daniel ini, kecuali dalam hal hukum Allahnya.”

6Maka dua orang penyelia dan para wakil raja itu datang bersama-sama menghadap Raja dan berkata demikian, “Semoga Raja Darius hidup selama-lamanya!

7Semua penyelia kerajaan ini, para penguasa dan para wakil raja, para menteri dan para pembesar telah bermuafakat untuk membuat suatu ketetapan kerajaan dan mengukuhkan suatu titah larangan: siapa pun yang memohonkan sesuatu dalam tiga puluh hari ini kepada tuhan atau manusia mana pun selain Tuanku Raja, hendaklah dia dihumban ke dalam gua singa.

8Sekarang, ya Raja, tetapkanlah titah larangan itu dan tandatanganilah surat itu supaya tidak dapat diubah lagi, selaras dengan hukum yang berkuat kuasa atas orang Media dan orang Parsi yang tidak dapat dibatalkan.”

9Oleh sebab itu Raja Darius menandatangani surat dan titah larangan itu.

10Apabila Daniel mengetahui bahawa surat itu telah ditandatangani, masuklah dia ke rumahnya. Dalam bilik atasnya terdapat jendela-jendela yang terbuka menghadap Yerusalem. Tiga kali sehari dia bertelut, berdoa, dan mengucap syukur kepada Allahnya, seperti yang biasa dilakukannya selama ini.

11Kemudian lelaki-lelaki itu datang bersama-sama dan mendapati Daniel sedang memanjatkan doa dan permohonan kepada Allahnya.

12Setelah itu, mereka menghadap raja dan berbicara kepadanya mengenai titah larangan raja, “Bukankah tuanku telah menandatangani titah larangan supaya setiap orang yang memohonkan sesuatu dalam tiga puluh hari ini kepada tuhan atau manusia mana-mana pun selain Tuanku Raja harus dihumban ke dalam gua singa?” Jawab raja, “Hal itu benar selaras dengan hukum yang berkuat kuasa atas orang Media dan orang Parsi yang tidak dapat dibatalkan.”

13Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah seorang buangan daripada bani Yehuda, tidak mengendahkan Tuanku Raja atau titah larangan yang telah ditandatangani tuanku. Tiga kali sehari ia memanjatkan doa.”

14Apabila raja mendengar hal itu, dia berasa sangat susah. Dia membulatkan hati untuk melepaskan Daniel. Sampai matahari terbenam dia masih berupaya untuk menyelamatkannya.

15Kemudian lelaki-lelaki itu datang lagi bersama-sama kepada raja. Mereka berkata kepada raja, “Ingatlah, ya Raja, bahawa menurut hukum orang Media dan orang Parsi setiap titah larangan atau ketetapan yang dibuat raja tidak dapat diubah lagi.”

16Maka raja memberikan perintah supaya Daniel dibawa dan dihumban ke dalam gua singa. Raja berkata kepada Daniel, “Semoga tuhan kamu yang selalu kamu sembah kelak melepaskan engkau!”

17Lalu sebuah batu dibawa dan diletakkan di mulut gua itu. Raja memateraikan batu itu dengan cincin materainya dan dengan cincin para pembesarnya, supaya tidak ada yang dapat mengubah keputusan dalam hal Daniel itu.

18Setelah itu, raja pulang ke istananya dan ia berpuasa pada malam itu. Para penghibur tidak dibawa masuk kepadanya dan ia tidak dapat tidur.

Allah menyelamatkan Daniel daripada singa

19Kemudian raja bangun pada waktu fajar menyingsing dan pergi dengan segera ke gua singa.

20Setelah sampai dekat gua itu, berserulah dia kepada Daniel dengan suara yang penuh kesayuan. Kata raja kepada Daniel, “Daniel, hamba kepada Allah yang hidup, apakah Allahmu yang selalu kausembah itu sanggup melepaskan engkau daripada singa-singa itu?”

21Pada waktu itu Daniel berbicara kepada raja, “Semoga Raja hidup selama-lamanya!

22Allah yang hamba sembah telah mengutus malaikat-Nya untuk mengatupkan mulut singa-singa ini sehingga tidak dapat menghancurkan hamba, kerana hamba didapati tidak bersalah di hadapan-Nya. Di hadapan Tuanku Raja juga hamba tidak melakukan kejahatan.”

23Maka raja menjadi sangat gembira dan memberikan perintah supaya Daniel ditarik keluar dari gua itu. Lalu Daniel ditarik keluar dari gua, dan sesuatu luka pun tidak didapati padanya, kerana dia beriman kepada Allahnya.

24Kemudian raja memberikan perintah supaya lelaki-lelaki yang melontarkan tuduhan terhadap Daniel itu dicampakkan ke dalam gua singa berserta anak-anak dan isteri mereka. Sebelum mereka sampai ke dasar gua, singa-singa sudah menerkam dan meremukkan segala tulang mereka.

25Setelah itu, Raja Darius mengirim surat kepada semua orang daripada segala suku, bangsa, dan bahasa yang tinggal di seluruh bumi, “Semoga kesejahteraanmu berlipat ganda!

26Aku mengeluarkan titah supaya di seluruh wilayah kekuasaan kerajaanku orang harus gentar dan takut kepada Allah yang disembah Daniel, kerana Dialah Allah yang hidup dan yang tetap selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan binasa dan kekuasaan-Nya sampai selamanya.

27Dia melepaskan dan menyelamatkan, Dia mengadakan tanda-tanda dan pelbagai keajaiban baik di langit mahupun di bumi. Dialah yang melepaskan Daniel daripada cengkaman singa-singa itu.”

28Daniel ini berkedudukan tinggi pada masa pemerintahan Darius dan pada masa pemerintahan Kores, orang Parsi.



 <<  Daniel 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel