Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ester 2 >> 

Ester terpilih menjadi ratu

1Sesudah pelbagai peristiwa itu, setelah surut kemurkaan Raja Ahasyweros, baginda teringat kepada Wasti, dan apa yang telah dilakukannya dan yang telah diputuskan atasnya.

2Maka berkatalah orang suruhan yang melayani baginda, “Biarlah dicari para anak dara yang menarik paras rupa bagi Raja

3eloklah Raja melantik para petugas di seluruh wilayah kerajaannya untuk mengumpulkan anak dara yang menarik paras rupa mereka di dalam puri Susan di balai perempuan, di bawah pengawasan Hegai, sida Raja yang bertugas menjaga para perempuan; dan mereka hendaklah diberi segala alat solekan yang dikehendaki mereka.

4Nanti, biarlah gadis yang terbaik di mata Raja menjadi ratu untuk menggantikan Wasti.” Usul itu dipandang baik oleh raja dan baginda pun berbuat demikian.

5Pada waktu itu di puri Susan ada seorang Yahudi bernama Mordekhai anak Yair anak Simei anak Kish, seorang Benyamin

6yang dibawa ke dalam pembuangan dari Yerusalem berserta kalangan yang dibuang bersama-sama Yekhonya, raja Yehuda, oleh Nebukadnezar, raja Babel.

7Mordekhai bertindak sebagai penjaga yang membesarkan Hadasa, iaitu Ester, anak perempuan bapa saudaranya, memandangkan anak itu tidak lagi mempunyai ibu atau ayah. Gadis itu menarik lagi cantik paras rupanya. Setelah kematian ibu dan ayahnya, dia menjadi anak angkat Mordekhai.

8Setelah tersiarnya titah perintah raja itu, ramai gadis yang dikumpulkan di dalam puri Susan, di bawah pengawasan Hegai. Ester juga dibawa masuk ke dalam istana raja dan ditempatkan di bawah pengawasan Hegai, yang bertugas menjaga para perempuan.

9Gadis itu menyenangi Hegai dan memenangi hatinya. Hegai segera menyediakan segala alat persolekan dan peruntukan makanannya. Dia turut memberinya tujuh orang dayang pilihan dari istana raja dan memindahkan gadis itu bersama-sama dayang-dayangnya ke tempat yang terbaik di balai perempuan.

10Ester tidak mendedahkan asal usulnya atau suku bangsanya kerana Mordekhai melarangnya berbuat demikian.

11Maka setiap hari Mordekhai berjalan-jalan di depan laman balai perempuan untuk mengetahui keadaan Ester dan apa yang akan terjadi kepadanya.

12Setelah dirawat dua belas bulan lamanya, selaras dengan peraturan bagi para perempuan, iaitu tempoh perawatan yang harus dilalui: enam bulan dengan minyak damar wangi dan enam bulan dengan pelbagai salap serta wangi-wangian, maka setiap gadis mendapat giliran untuk masuk menghadap Raja Ahasyweros.

13Ketika tiba giliran seorang gadis masuk menghadap raja, beginilah aturannya: Apa-apa sahaja yang dimintanya haruslah diberikan kepadanya untuk dibawa dari balai perempuan ke dalam istana raja.

14Pada waktu petang, dia akan masuk, lalu pada pagi esoknya dia akan kembali ke balai perempuan kedua di bawah pengawasan Saasgas, sida raja yang bertugas menjaga para gundik baginda. Selanjutnya gadis itu tidak akan masuk menghadap raja lagi kecuali jika raja suka kepadanya dan dia dipanggil dengan disebutkan namanya.

15Ketika tiba giliran Ester anak Abihail, iaitu bapa saudara Mordekhai yang mengambil Ester sebagai anak angkatnya untuk masuk menghadap raja, dia tidak meminta apa-apa selain yang dianjurkan oleh Hegai, sida raja yang bertugas menjaga para perempuan. Maka Ester menimbulkan rasa sayang di mata semua orang yang melihat dia.

16Kemudian Ester dibawa menghadap Raja Ahasyweros di istana kerajaannya pada bulan kesepuluh, iaitu bulan Tebet, pada tahun ketujuh pemerintahan baginda.

17Raja mencintai Ester melebihi semua perempuan yang lain dan baginda raja berkenan serta menyayanginya melebihi semua anak dara yang lain, lantas baginda mengenakan mahkota diraja di atas kepalanya dan melantik dia sebagai ratu untuk menggantikan Wasti.

18Setelah itu, raja mengadakan jamuan besar bagi semua pembesar dan pegawainya, iaitu jamuan meraikan Ester. Baginda juga melepaskan wilayah-wilayah dalam kerajaannya daripada membayar cukai dan mengurniakan pelbagai pemberian selaras dengan kemurahan hati raja.

Mordekhai mendengar tentang satu komplot

19Pada masa pengumpulan anak dara yang kali keduanya, Mordekhai duduk di pintu gerbang istana raja.

20Seperti yang dipesankan Mordekhai kepadanya, Ester belum lagi memberitahu fasal asal usulnya dan suku bangsanya. Ester memang tetap patuh terhadap pesanan Mordekhai sebagaimana ketika dia masih diasuh dan dididik bapa angkatnya.

21Pada masa itu, ketika Mordekhai duduk di pintu gerbang istana raja, dua orang sida raja, iaitu Bigtan dan Teres, yang menjaga pintu masuk kediaman diraja, berkomplot untuk membunuh Raja Ahasyweros kerana sakit hati.

22Hal itu diketahui oleh Mordekhai dan ia pun memberitahukannya kepada Ratu Ester. Selanjutnya Ester memberitahukan hal itu kepada raja atas nama Mordekhai.

23Ketika hal itu disiasat dan didapati benar, kedua-dua orang itu pun digantung di atas pokok. Lalu peristiwa ini dituliskan dalam kitab sejarah di hadapan raja.



 <<  Ester 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel