Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ezra 7 >> 

Ketibaan Ezra

1Setelah peristiwa-peristiwa itu, pada masa pemerintahan Artahsasta, raja Parsi, tampillah Ezra anak Seraya, anak Azarya, anak Hilkia,

2anak Salum, anak Zadok, anak Ahitub

3anak Amarya, anak Azarya, anak Merayot,

4anak Zerahya, anak Uzi, anak Buki,

5anak Abisua, anak Pinehas, anak Eleazar, anak Harun, ketua imam itu.

6Ezra berangkat pulang dari Babel. Dia seorang ahli Kitab Suci, mahir dalam Kitab Suci Taurat yang diberikan TUHAN, Allah Israel, melalui Musa. Segala permintaannya diluluskan oleh raja kerana tangan TUHAN, Allahnya, menaunginya.

7Pada tahun ketujuh zaman pemerintahan Raja Artahsasta, serombongan orang daripada orang Israel, imam dan bani Lewi, penyanyi, penjaga pintu gerbang, serta hamba Bait Allah juga berangkat pulang menuju Yerusalem.

8Ezra tiba di Yerusalem pada bulan kelima dalam tahun ketujuh zaman pemerintahan raja itu.

9Pada hari pertama bulan pertama itu dia memulakan perjalanannya dari Babel, dan pada hari pertama pada bulan kelima sampailah dia di Yerusalem, kerana tangan Allahnya yang baik menaunginya.

10Ezra memang telah menetapkan hatinya untuk mengkaji hukum TUHAN, mengamalkannya, dan mengajarkan ketetapan serta peraturan kepada orang Israel.

11Inilah salinan surat yang diberikan Raja Artahsasta kepada Imam Ezra, ahli Kitab Suci Taurat, ahli dalam hal ehwal perintah dan ketetapan TUHAN bagi orang Israel.

12“Artahsasta, raja segala raja. Kepada Imam Ezra, ahli Taurat Allah semesta langit.

13Aku memberikan perintah bahawa sesiapa daripada orang Israel di seluruh jajahan pemerintahanku, termasuk para imamnya atau bani Lewi, dan yang ingin pergi ke Yerusalem, bolehlah pergi bersama-samamu.

14Engkau diutus oleh raja dan ketujuh-tujuh orang penasihatnya untuk menyelidiki Yehuda dan Yerusalem menurut hukum Allahmu yang ada padamu.

15Bawalah perak dan emas yang diberikan oleh raja dan para penasihatnya sebagai persembahan sukarela kepada Allah Israel, Allah yang bersemayam di Yerusalem.

16Bawa juga segala perak dan emas yang akan kauperoleh di seluruh wilayah Babel, bersama dengan persembahan sukarela yang akan diberikan rakyat dan para imam untuk Bait Allah mereka yang ada di Yerusalem.

17Pergunakanlah wang itu dengan saksama untuk membeli lembu-lembu jantan yang muda, domba-domba jantan, serta anak-anak domba dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya. Persembahkanlah semua itu di atas mazbah dalam bait Allahmu di Yerusalem.

18Dalam hal perak dan emas yang selebihnya, lakukanlah apa yang baik menurut nurani engkau dan para saudaramu, selaras dengan kehendak Allahmu.

19Sampaikanlah ke hadirat Allah di Yerusalem segala kelengkapan yang diserahkan kepadamu untuk ibadat di bait Allahmu.

20Jika ada hal lain yang diperlukan untuk bait Allahmu dan yang pembayarannya menjadi tanggunganmu, bayarkanlah daripada perbendaharaan kerajaan.

21Aku, Raja Artahsasta, memberikan perintah kepada semua bendahara di daerah seberang Sungai Efrat: Hendaklah disediakan dengan saksama apa-apa pun yang diminta daripada kamu oleh Imam Ezra, ahli Taurat Allah semesta langit itu

22sehingga jumlah sebanyak 100 talenta perak, 100 kor gandum, 100 bat anggur, 100 bat minyak, dan garam yang tidak terhad banyaknya.

23Apa-apa sahaja yang difirmankan oleh Allah semesta langit, laksanakanlah dengan tepat demi Bait Allah semesta langit, supaya jangan sampai kemurkaan-Nya menimpa pemerintahan raja dan anak-anaknya.

24Tambahan pula, dengan ini kami memberitahumu bahawa tidak boleh dikenakan cukai, ufti atau bea kepada sesiapa sahaja daripada para imam, bani Lewi, penyanyi, penjaga pintu gerbang, pelayan Bait Suci, dan pekerja Rumah Allah itu.

25Dan kau, wahai Ezra, menurut hikmah Allahmu yang ada padamu, hendaklah kamu melantik para hakim dan para ahli hukum yang akan menghakimi seluruh rakyat di daerah seberang Sungai Efrat, iaitu semua orang yang mengetahui hukum Allahmu. Hendaklah kamu mengajar kesemua umat yang tidak mengetahuinya.

26Sesiapa pun yang enggan mematuhi hukum Allahmu dan undang-undang raja hendaklah dijatuhi hukuman dengan segera, iaitu hukuman mati, buang negeri, penyitaan harta, atau pemenjaraan.”

27Segala puji bagi TUHAN, Allah nenek moyang kita, yang telah meletakkan hal seperti ini dalam hati raja sehingga dia mahu mengembalikan keindahan Bait TUHAN di Yerusalem,

28dan yang telah memanjangkan ihsan kepadaku di hadapan raja, para penasihatnya, dan semua pembesar raja yang berkuasa! Maka aku pun menguatkan hati, lantaran tangan TUHAN, Allahku, menaungi aku. Lalu kukumpulkan beberapa orang pemimpin daripada kalangan orang Israel untuk berangkat pulang bersama-samaku.



 <<  Ezra 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel