Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Galatia 1 >> 

1Daripada Paulus, seorang rasul – bukan daripada manusia atau melalui manusia, tetapi melalui Yesus Kristus dan Allah Bapa, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian –

2dan daripada semua saudara yang bersamaku, Kepada semua jemaah di Galatia:

3Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Allah Bapa dan daripada Tuhan Yesus Kristus

4yang telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa kita agar Dia melepaskan kita daripada zaman durjana ini, menurut kehendak Bapa kita Allah.

5Bagi-Nyalah kemuliaan selama-lamanya. Amin.

Hanya satu Injil

6Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam kasih kurnia Kristus, kepada suatu injil lain –

7yang bukannya Injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil Kristus.

8Tetapi jika kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang itu!

9Sebagaimana aku sudah berkata dahulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan Injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu!

10Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba Kristus.

Bagaimana Paulus menjadi rasul

11Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kusampaikan bukanlah menurut manusia.

12Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Yesus Kristus.

13Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dahulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya.

14Aku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku dalam kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku.

15Tetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui kasih kurnia-Nya

16berkenan untuk menyatakan Anak-Nya dalamku agar aku mengkhabarkan tentang Dia dalam kalangan bangsa lain. Pada waktu itu, aku sama sekali tidak bermesyuarat dengan sesama manusia.

17Aku tidak juga pergi ke Yerusalem untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke Tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik.

18Tiga tahun kemudian, aku ke Yerusalem bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari.

19Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain – kecuali Yakobus, saudara Tuhan Yesus.

20Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong.

21Selepas itu, aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia.

22Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah Kristus di Yudea.

23Mereka hanya mendengar: “Orang yang dahulu menganiaya kita sekarang mengkhabarkan iman yang hendak dibinasakannya dahulu.”

24Lalu mereka memuji Allah keranaku.



 <<  Galatia 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel