Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ibrani 13 >> 

Nasihat akhir

1Pastikan kasih persaudaraan berpanjangan.

2Jangan lupa meraikan orang asing, kerana dengan berbuat demikian ada orang yang telah meraikan para malaikat tanpa mengetahuinya.

3Ingatlah kepada orang yang terpenjara seolah-olah kamu terantai bersama mereka; kenanglah orang yang dianiaya seolah-olah kamu juga dianiaya, kerana kamu dan mereka adalah satu.

4Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya.

5Jagalah hidupmu supaya jangan menjadi pencinta wang; kamu harus berasa cukup dengan apa yang ada padamu. Dia sendiri telah berjanji: “Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.”

6Oleh itu, kita boleh berkata dengan bersemangat: “Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut. Apa yang dapat dilakukan manusia kepadaku?”

7Ingatlah mereka yang menjadi ketuamu yang telah menyampaikan firman Allah kepadamu. Teladani iman mereka, perhatikan hasil jalan hidup mereka.

8Yesus Kristus tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya.

9Jangan terikut-ikut pelbagai ajaran yang berlainan daripada ajaran yang benar. Tetapkan hati dengan kasih kurnia Allah, bukan dengan makanan yang tidak menguntungkan mereka yang asyik dengannya.

10Kita mempunyai mazbah di mana orang yang menjalankan ibadat khemah tidak berhak makan sesuatu daripadanya.

11Bangkai semua binatang, yang darahnya dibawa masuk ke tempat suci oleh Imam Besar untuk menebus dosa, dibakar di luar perkhemahan.

12Oleh itu, Yesus juga, untuk menyucikan umat manusia dengan darah-Nya sendiri, menderita di luar pintu gerbang.

13Dengan demikian marilah kita pergi mendapatkan-Nya, di luar perkhemahan, dan menanggung celaan yang dideritai-Nya.

14Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang.

Korban yang diredai Allah

15Oleh itu, melalui-Nya marilah kita terus-menerus mempersembahkan korban iaitu pujian kepada Allah, sebagai buah-buahan hasil bibir kita, sambil bersyukur kepada nama-Nya.

16Tetapi jangan lupa berbuat baik dan berkongsi, kerana korban demikianlah yang diredai Allah.

17Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu.

18Doakanlah kami; kerana kami yakin hati nurani kami bersih, ingin hidup bermaruah dalam segala hal.

19Tetapi aku terutamanya mendesakmu berbuat demikian, supaya aku dikembalikan kepadamu lebih awal.

Doa berkat

20Semoga Allah kesejahteraan yang telah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian, Gembala domba yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal,

21melengkapkan kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin.

22Aku merayu kepadamu, saudara-saudara, dengarlah nasihatku ini dengan sabar, kerana aku menulis ringkas sahaja kepadamu.

23Ketahuilah bahawa saudara kita Timotius telah dibebaskan. Aku akan menemui kamu bersamanya jika dia datang segera.

24Sampaikan salamku kepada semua ketuamu dan semua umat yang salih. Saudara-saudara dari Itali berkirim salam kepadamu.

25Semoga kasih kurnia menyertai kamu semua. Amin.



 <<  Ibrani 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran