Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Imamat 1 >> 

Korban bakaran

1TUHAN memanggil Musa lalu berfirman sedemikian kepadanya dari dalam Khemah Pertemuan:

2“Berbicaralah kepada orang Israel dan katakanlah kepada mereka, ‘Apabila seseorang dalam kalangan kamu membawa sesuatu persembahan kepada TUHAN, maka persembahkanlah daripada hasil ternakan, baik daripada kawanan lembu mahupun daripada kawanan domba.

3Jika persembahannya berupa korban bakaran daripada lembu, maka hendaklah dipersembahkan seekor lembu jantan yang tiada cacat celanya. Hendaklah dia mempersembahkannya di pintu Khemah Pertemuan supaya TUHAN berkenan menerimanya.

4Kemudian, hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban bakaran itu, maka persembahan itu akan diterima demi pendamaian dirinya.

5Selanjutnya, hendaklah dia menyembelih lembu jantan muda itu di hadapan TUHAN, kemudian anak-anak Harun, iaitu para imam, hendaklah memercikkan darah lembu itu ke sekeliling mazbah yang terletak di hadapan pintu Khemah Pertemuan itu.

6Hendaklah dia juga menguliti korban bakaran itu dan memotongnya untuk menjadi beberapa potongan,

7sementara anak-anak Imam Harun hendaklah menyalakan api di atas mazbah dan menyusun kayu di atas api itu.

8Lalu anak-anak Imam Harun itu, hendaklah menyusun potongan-potongan korban berserta kepala dan lemaknya di atas kayu yang dibakar api di atas mazbah itu.

9Isi perut dan kaki korban itu hendaklah dibasuh dengan air, lalu semua itu hendaklah para imam itu menyalainya atas api di mazbah sebagai korban bakaran, suatu korban persembahan yang keharumannya diredai TUHAN.

10Jika persembahannya berupa korban bakaran sama ada daripada kawanan kambing atau kawanan domba, maka kambing atau domba itu hendaklah seekor jantan yang tiada cacat cela.

11Hendaklah dia menyembelihnya di hadapan TUHAN, di sebelah utara mazbah, dan anak-anak Harun, iaitu para imam, hendaklah memercikkan darah haiwan itu ke sekeliling mazbah.

12Kemudian hendaklah dia memotongnya menjadi beberapa potongan. Bersama dengan kepala serta lemaknya, semua potongan itu hendaklah disusun oleh imam di atas kayu yang dibakar api pada mazbah.

13Isi perut dan kakinya harus dibasuhnya dengan air, lalu imam harus mempersembahkan semua itu dan membakarnya di atas mazbah. Itulah korban bakaran, suatu korban persembahan yang keharumannya diredai TUHAN.

14Jika korban yang dipersembahkannya kepada TUHAN berupa korban bakaran daripada burung, maka burung yang dipersembahkan itu hendaklah burung tekukur atau anak burung merpati.

15Imam hendaklah membawa burung itu ke mazbah, lalu memulas kepalanya dan membakarnya di atas mazbah itu. Darahnya hendaklah disalirkan keluar di tepi mazbah.

16Tembolok serta bulunya hendaklah dibuang ke sebelah timur mazbah, iaitu di tempat abu.

17Hendaklah dia mengoyakkan burung itu pada pangkal sayapnya, tetapi janganlah sampai terpisah. Kemudian imam hendaklah membakarnya pada mazbah, di atas kayu yang dibakar api. Maka itulah korban bakaran, suatu korban persembahan yang keharumannya diredai TUHAN.



 <<  Imamat 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel