Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Imamat 3 >> 

Korban kedamaian

1Jika persembahan seseorang berupa korban kedamaian daripada kawanan lembu, baik yang jantan mahupun betina, maka hendaklah dia mempersembahkan haiwan yang tidak bercacat cela di hadapan TUHAN.

2Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban persembahan itu, lalu menyembelihnya di depan pintu Khemah Pertemuan. Kemudian, hendaklah anak-anak Harun, para imam itu, memercikkan darah korban itu ke sekeliling mazbah itu.

3Hendaklah dipersembahkan korban kedamaian itu berupa korban bakaran untuk TUHAN, iaitu yang terdiri daripada lemak yang membungkus isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu,

4kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian daging batang pinang, serta umbai hati yang harus dipisahkan dengan buah pinggang itu.

5Hendaklah anak-anak Harun membakar kesemuanya di atas korban bakaran pada kayu yang sedang dibakar api pada mazbah, iaitu sebagai persembahan yang keharumannya diredai TUHAN.

6Jika persembahan yang dipersembahkannya kepada TUHAN berupa korban kedamaian daripada kawanan domba, sama ada haiwan jantan atau betina, maka hendaklah dia mempersembahkan haiwan yang tidak bercacat cela.

7Jika dia mempersembahkan korban berupa seekor domba, maka hendaklah dia membawanya ke hadirat TUHAN,

8dan meletakkan tangannya di atas kepala korban persembahannya itu, lalu menyembelihnya di depan Khemah Pertemuan. Kemudian anak-anak Harun hendaklah memercikkan darah korban itu ke sekeliling mazbah.

9Hendaklah dia mempersembahkan korban kedamaian berupa korban bakaran untuk TUHAN, iaitu seluruh ekornya yang berlemak, yang harus dipotong di kawasan tulang pinggul, serta lemak yang membungkus isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu,

10dan kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian batang pinang, serta umbai hati yang harus dipisahkan daripada buah pinggang itu.

11Hendaklah imam membakarnya di atas mazbah sebagai korban bakaran untuk TUHAN.

12Jika persembahannya seekor kambing, maka hendaklah dia mempersembahkannya di hadapan TUHAN.

13Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di depan Khemah Pertemuan, dan hendaklah anak-anak Harun memercikkan darah korban ke sekeliling mazbah.

14Hendaklah dia mempersembahkan korbannya berupa korban bakaran untuk TUHAN, iaitu lemak yang membungkus isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu,

15kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian batang pinang, serta umbai hati yang harus dipisahkannya daripada buah pinggang itu.

16Kemudian semua itu harus dibakar oleh imam di atas mazbah sebagai korban bakaran yang keharumannya meredakan. Kesemua lemak dikhususkan untuk TUHAN.

17Inilah satu ketetapan yang kekal selama-lamanya turun-temurun di seluruh tempat tinggalmu: bahawa hendaklah kamu jangan makan baik lemak mahupun darah.’ ”



 <<  Imamat 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel