Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Imamat 8 >> 

Pentahbisan para imam

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2“Bawalah Harun berserta anak-anaknya, juga pakaian-pakaian imam, minyak tahbis, lembu jantan bagi korban penghapus dosa, dua ekor domba jantan, dan bakul berisi roti tidak beragi,

3lalu suruhlah semua umat berhimpun di hadapan pintu Khemah Pertemuan.”

4Musa melakukan seperti yang diperintahkan TUHAN kepadanya, lalu berhimpunlah seluruh umat di hadapan pintu Khemah Pertemuan.

5Kata Musa kepada umat itu, “Inilah yang diperintahkan TUHAN untuk dilakukan.”

6Musa membawa Harun dan anak-anaknya ke hadapan lalu dibasuhnya mereka dengan air.

7Dia memakaikan tunik, mengikatkan ikat pinggang, dan mengenakan jubah pada Harun, kemudian mengenakan baju efod serta mengikatkan tali pinggang yang siap dengan hiasannya pada baju efod itu lantas baju efod itu terikat pada tubuhnya.

8Dia pun memasangkan penutup dada Harun serta meletakkan Urim dan Tumim di sebelah dalam penutup dada itu.

9Dikenakannya pula serban di kepala Harun, dan di sebelah depan serban itu disematnya perhiasan emas, iaitu mahkota yang suci, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

10Seterusnya Musa mengambil minyak tahbis lalu mengurapi Khemah Suci serta segala sesuatu yang ada di dalamnya, dan menyucikan semuanya.

11Dia memercikkan sebahagian daripada minyak itu tujuh kali ke atas mazbah lalu mengurapi mazbah itu berserta segala peralatannya, juga bejana pembasuhan dengan kekakinya, untuk menyucikan semuanya.

12Dia mencurahkan sebahagian minyak tahbis itu ke atas kepala Harun lalu mengurapinya demi menyucikannya.

13Setelah itu, Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan lalu mengenakan tunik, mengikatkan ikat pinggang, dan melilitkan ikat kepala pada mereka, seperti yang diperintahkan TUHAN kepadanya.

14Lembu jantan bagi persembahan korban penghapus dosa dibawanya ke hadapan lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu jantan korban penghapus dosa itu.

15Selepas lembu itu disembelih, Musa mengambil darah lembu itu dan membubuhnya pada tanduk-tanduk di sekeliling mazbah dengan jarinya lantas menyucikan mazbah itu. Baki darah itu dicurahkannya ke kekaki mazbah, sehingga mazbah itu ditahbiskan dengan upacara pendamaian yang diadakan itu.

16Musa mengambil semua lemak yang melekat pada isi perut lembu itu, umbai hatinya, dan kedua-dua buah pinggang dengan lemaknya, lalu dibakarnya semua itu di atas mazbah.

17Tetapi lembu jantan itu serta kulit, daging, dan kotorannya dibawa keluar dari perkhemahan lalu dibakar habis, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

18Kemudian Musa membawa domba jantan korban bakaran lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu.

19Sesudah domba itu disembelih, Musa memercikkan darahnya ke sekeliling mazbah.

20Apabila domba jantan itu sudah dipotong kepada beberapa potongan, Musa pun membakar kepala domba itu, potongan-potongannya, dan lemaknya.

21Isi perut dan kakinya dibasuh dengan air, lalu Musa membakar seluruh domba jantan itu di atas mazbah sebagai korban bakaran yang keharumannya meredakan serta dipersembahkan kepada TUHAN, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

22Kemudian Musa membawa domba jantan yang kedua, iaitu domba jantan korban pentahbisan, lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu.

23Sesudah domba itu disembelih, Musa mengambil sebahagian daripada darahnya dan membubuhnya pada cuping telinga kanan Harun, pada ibu jari tangan kanannya, serta pada ibu jari kaki kanannya.

24Kemudian anak-anak Harun dibawa ke hadapan lalu Musa membubuh sebahagian daripada darah itu pada cuping telinga kanan mereka, pada ibu jari tangan kanan mereka, dan pada ibu jari kaki kanan mereka. Setelah itu, Musa memercikkan baki darah itu ke sekeliling mazbah.

25Musa mengambil lemaknya, ekornya yang gemuk, semua lemak yang melekat pada isi perutnya, umbai hatinya, kedua-dua buah pinggang dengan lemaknya, dan paha kanannya.

26Daripada bakul berisi roti tidak beragi di hadapan TUHAN itu, Musa mengambil sebuku roti tidak beragi, sebuku roti yang dicampurkan minyak, dan sepotong kuih tipis, lalu meletakkan kesemuanya di atas lemak serta paha kanan domba tadi.

27Maka semua itu diletakkannya di telapak tangan Harun serta anak-anaknya, lalu diunjukkan sebagai persembahan unjukan untuk TUHAN.

28Kemudian Musa mengambilnya daripada telapak tangan mereka, lalu membakarnya sebagai korban bakaran di atas mazbah. Itulah korban pentahbisan dan keharumannya meredakan, yakni suatu korban yang dibakar bagi TUHAN.

29Lalu Musa mengambil dada domba itu dan mengunjukkannya sebagai persembahan unjukan untuk TUHAN dan itulah bahagian Musa daripada domba jantan korban pentahbisan, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.

30Musa juga mengambil sebahagian daripada minyak tahbis dan sebahagian daripada darah yang ada di atas mazbah, lalu memercikkannya pada Harun serta pada pakaiannya, juga pada anak-anaknya serta pada pakaian mereka. Demikianlah dia mentahbiskan Harun dan menyucikan pakaiannya, begitu juga anak-anaknya dan pakaian mereka.

31Kata Musa kepada Harun serta anak-anaknya, “Rebuslah daging ini di depan pintu Khemah Pertemuan, lalu makanlah di situ bersama-sama roti yang ada dalam bakul persembahan pentahbisan, seperti yang aku perintahkan dengan berkata, ‘Harun dan anak-anaknya berhak memakannya.’

32Apa-apa yang tersisa daripada daging dan roti itu harus kamu bakar habis.

33Jangan kamu beranjak dari depan pintu Khemah Pertemuan selama tujuh hari sampai genap hari pentahbisan kamu, kerana TUHAN akan mentahbiskan kamu selama tujuh hari.

34TUHAN telah memerintahkan agar kamu melakukan apa yang telah dilakukan pada hari ini, demi pendamaian bagi dirimu.

35Hendaklah kamu kekal berada di hadapan pintu Khemah Pertemuan siang dan malam selama tujuh hari dan memegang teguh kewajipanmu terhadap TUHAN supaya jangan kamu mati. Kerana demikianlah yang diperintahkan kepadaku.”

36Maka Harun dan anak-anaknya melakukan segala hal yang diperintahkan TUHAN dengan perantaraan Musa itu.



 <<  Imamat 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran