Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 15 >> 

Nyanyian kemenangan Musa dan orang Israel

1Maka Musa dan orang Israel memanjatkan nyanyian ini bagi TUHAN. Demikianlah bunyinya, “Akan kupanjatkan nyanyian kepada TUHAN kerana Dia amat termulia, kuda dan penunggangnya dicampakkan-Nya ke dalam laut.

2TUHAN itu kekuatanku dan puji-pujianku, Dia menjadi penyelamatanku. Dialah Allahku, aku bernyanyi memuji Dia, Dia Allah ayahku, aku akan meninggikan Dia.

3TUHAN itu pejuang, TUHAN, itulah nama-Nya.

4Rata Firaun dan pasukannya dibuang-Nya ke dalam laut. Para ketua tentera pilihannya pun dibenamkan ke dalam Laut Merah.

5Samudera meliputi mereka, seperti batu, mereka tenggelam ke dasar air.

6Tangan kanan-Mu, ya TUHAN, mulia dalam kekuatan, tangan kanan-Mu, ya TUHAN, menghancurleburkan musuh.

7Dengan keagungan-Mu yang cemerlang Engkau menjatuhkan orang yang bangkit melawan Engkau. Engkau melepaskan murka-Mu yang menyala-nyala, yang memakan habis mereka seperti tunggul jerami.

8Dengan hembusan nafas-Mu sendiri, bertimbun-timbunlah air. Membumbunglah air berdiri tegak bagaikan longgokan, sedangkan air di dasarnya membeku di pusat laut.

9Kata musuh, ‘Aku mahu mengejar, aku mahu menyusul, aku mahu membahagi-bahagikan hasil jarahan. Aku akan memuaskan nafsuku terhadap mereka dan aku mahu menghunus pedangku. Tanganku akan membinasakan mereka!

10Engkau meniup dengan angin-Mu, dan laut pun meliputi mereka. Mereka tenggelam seperti perum dalam kehebatan kuasa air itu.

11Siapakah seperti Engkau di antara tuhan, ya TUHAN Siapakah seperti Engkau, mulia dalam kesucian, mengerikan dalam puji-pujian, wahai Engkau pembuat keajaiban?

12Engkau menghulurkan tangan-Mu, maka bumi pun menelan mereka.

13Dengan kasih abadi-Mu Engkau memimpin umat yang telah Kautebus. Dengan kekuatan-Mu Engkau membimbing mereka ke tempat kediaman-Mu yang suci.

14Bangsa-bangsa mendengarnya dan gementar, tusukan perasaan mencekam penduduk Tanah Filistin.

15Pada waktu itu para ketua kaum Edom tergoncang, kegentaran mencekam orang yang berkuasa di Moab, seluruh penduduk Kanaan cemas.

16Kengerian dan ketakutan melanda mereka. Kerana kebesaran kuasa-Mu, mereka membisu seperti batu, sampai umat-Mu menyeberang, ya TUHAN, sampai selesai penyeberangan umat yang Kauperoleh itu.

17Engkau akan membawa mereka masuk dan meletakkan mereka di gunung warisan pusaka-Mu, di tempat yang Kaujadikan tempat tinggal-Mu, ya TUHAN, di tempat suci yang telah didirikan oleh tangan-Mu, ya TUHAN.

18TUHAN bertakhta untuk seterusnya dan selama-lamanya.”

19Ketika kuda-kuda Firaun, segala ratanya, dan pasukan berkudanya telah masuk ke laut, TUHAN membalikkan air laut ke atas mereka sedangkan orang Israel berjalan di tanah yang kering di tengah laut itu.

20Kemudian Miryam, seorang nabiah yang juga saudara Harun, mengambil rebana, lalu semua perempuan keluar mengikutinya sambil memukul rebana dan menari-nari.

21Miryam menyanyi berbalas-balasan dengan mereka, “Akan kupanjatkan nyanyian kepada TUHAN kerana Dia amat termulia, kuda dan penunggangnya dicampakkan-Nya ke dalam laut.”

Air yang pahit dijadikan manis

22Setelah itu, Musa memimpin orang Israel mara dari Laut Merah, lalu mereka memasuki Gurun Syur. Selama tiga hari mereka berjalan di gurun itu tanpa mendapat air.

23Kemudian sampailah mereka di Mara, tetapi air di Mara tidak dapat diminum mereka kerana rasanya pahit. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Mara.

24Maka bersungut-sungutlah umat itu kepada Musa. Kata mereka, “Apakah yang akan kami minum?”

25Musa berseru kepada TUHAN, lalu TUHAN menunjukkan kepadanya sebatang pokok kayu. Musa melemparkan kayu itu ke dalam air, lalu air itu menjadi manis. Di sanalah TUHAN memberikan ketetapan dan peraturan kepada mereka dan di sanalah Dia menguji mereka.

26Firman-Nya, “Jika kamu sungguh-sungguh mendengar suara TUHAN, Allahmu, melakukan apa yang benar di mata-Nya, memasang telinga kepada segala perintah-Nya, dan berpegang teguh pada segala ketetapan-Nya, maka Aku tidak akan mendatangkan atasmu penyakit yang telah Kubebankan ke atas warga Mesir, kerana Akulah TUHAN, yang menyembuhkan kamu.”

27Maka sampailah mereka di Elim. Di sana ada dua belas buah mata air dan tujuh puluh batang pokok kurma. Mereka pun berkhemah di sana, berdekatan dengan air itu.



 <<  Keluaran 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel