Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 22 >> 

Peraturan tentang harta benda

1Jika seseorang mencuri seekor lembu atau seekor domba dan menyembelihnya atau menjualnya, maka hendaklah dia membayar ganti rugi, lima ekor lembu mengganti lembu itu dan empat ekor domba untuk mengganti domba itu.

2Jika pencuri itu didapati sedang memecah masuk lalu dia dipukul orang sampai mati, maka tiada hutang darah yang ditanggungkan kepada si pemukul.

3Tetapi jika pembunuhan itu berlaku sesudah terbit matahari, maka si pemukul berhutang darah. Seorang pencuri harus membayar ganti rugi penuh. Jika dia tidak memiliki apa-apa, maka hendaklah dia dijual sebagai mengganti barang curiannya itu.

4Jika binatang curian itu, baik lembu, keldai, mahupun domba, didapati masih hidup di tangannya, maka hendaklah dia membayar ganti rugi dua kali ganda.

5Jika seseorang menggembala ternakan di ladang atau di kebun anggur, dan ternakannya itu dibiarkan lepas sehingga memakan hasil di ladang orang lain, maka dia hendaklah memberikan hasil terbaik daripada ladangnya dan hasil terbaik daripada kebun anggurnya sendiri sebagai bayaran ganti rugi.

6Jika berlaku kebakaran di ladang lalu merebak dan menyambar semak duri, sehingga timbunan gandum atau rumpun gandum yang belum dituai bahkan seluruh ladang dimakan api, maka orang yang menyalakan api itu harus membayar ganti rugi penuh.

7Jika seseorang mengamanahkan wang atau barangnya untuk disimpan oleh jirannya lalu wang atau barang itu dicuri dari rumah kawan itu, maka jika si pencuri itu ditemukan, hendaklah dia membayar ganti rugi dua kali ganda.

8Jika si pencuri tidak ditemui, maka tuan rumah berkenaan hendaklah dihadapkan kepada Allah untuk diperiksa sama ada dia ada memanjangkan tangannya untuk mengambil barang milik jirannya.

9Dalam segala bentuk kecerobohan, sama ada berkaitan dengan lembu, keldai, domba, pakaian, atau barang apa-apa pun yang hilang, jika yang seorang berkata, “Ini milikku,” maka perkara kedua-dua orang itu harus dibawa ke hadirat Allah. Sesiapa yang dipersalahkan oleh Allah harus membayar ganti rugi dua kali ganda kepada jirannya.

10Jika seseorang mengamanahkan jirannya untuk menjaga seekor keldai, lembu, domba, atau binatang lainnya lalu binatang itu mati, luka, atau diambil orang tanpa ada yang melihatnya,

11maka haruslah diangkat sumpah demi TUHAN antara kedua-dua orang itu untuk menentukan sama ada dia memanjangkan tangannya untuk mengambil harta milik jirannya. Sumpah itu harus diterima oleh si pemilik, dan jirannya itu tidak perlu membayar ganti rugi.

12Tetapi jika binatang itu benar-benar dicuri daripadanya, maka dia harus membayar ganti rugi kepada si pemilik.

13Jika binatang itu benar-benar dikoyak-koyakkan oleh binatang buas, maka dia harus membawanya sebagai bukti, dan dia tidak perlu membayar ganti rugi bagi binatang yang dikoyak-koyakkan itu.

14Jika seseorang meminjam seekor binatang daripada jirannya lalu binatang itu luka atau mati ketika pemiliknya tidak ada di situ, maka dia harus membayar ganti rugi penuh.

15Jika pemiliknya ada di situ, maka dia tidak perlu membayar ganti rugi. Jika binatang itu disewa, maka kerugian itu sudah termasuk dalam sewanya.

Peraturan tentang dosa yang keji

16Jika seseorang memujuk seorang anak dara yang belum bertunangan lalu menidurinya, maka dia hendaklah membayar mas kahwin untuk memperisteri perempuan itu.

17Jika ayah perempuan itu sama sekali menolak untuk memberikan anaknya kepadanya, maka orang itu masih perlu membayar wang senilai mas kahwin lazim bagi anak dara.

18Jangan kamu biarkan hidup seorang perempuan yang menjadi ahli sihir.

19Sesiapa bersetubuh dengan seekor binatang, dia wajib dihukum mati.

20Sesiapa yang mempersembahkan korban kepada mana-mana tuhan, dan bukan kepada TUHAN semata-mata, dia hendaklah dimusnahkan.

21Jangan menindas seorang pendatang atau menganiayainya, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir.

22Jangan menindas mana-mana balu atau seseorang anak yatim.

23Jika engkau menindas mereka lalu mereka berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengar seruan mereka.

24Murka-Ku akan menyala-nyala dan Aku akan membunuh kamu dengan pedang lalu para isterimu menjadi balu dan anak-anakmu menjadi yatim.

25Jika kamu meminjamkan wang kepada seorang daripada umat-Ku yang miskin dalam kalangan kamu, jangan menjadi seorang penagih hutang terhadap dia dan jangan kaubebankan faedah hutang itu atasnya.

26Jika kamu mengambil pakaian kawanmu sebagai gadaian, kembalikanlah pakaian itu kepadanya sebelum matahari terbenam,

27kerana hanya itulah penutup dan pakaian pada tubuhnya; dengan apakah dia akan tidur? Jadi, jika dia berseru kepada-Ku, Aku akan mendengarkannya, kerana Aku ini maha pengasih.

Beberapa peraturan lain

28Jangan menghina Allah dan jangan mengutuk seorang pemimpin bangsamu.

29Jangan lalai mempersembahkan hasil tuaianmu dan hasil pemerahan anggurmu. Yang sulung daripada anak-anak lelakimu harus kamu khususkan bagi-Ku.

30Demikian jugalah harus kamu lakukan dengan kawanan lembu dan kawanan dombamu. Tujuh hari lamanya anak-anak binatang itu harus tinggal dengan induknya, tetapi pada hari kelapan engkau harus mempersembahkannya kepada-Ku.

31Jadilah orang yang suci bagi-Ku. Jangan kamu makan daging yang dikoyak-koyakkan oleh binatang liar. Campakkanlah daging itu kepada anjing.



 <<  Keluaran 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel