Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 40 >> 

Terdirilah Khemah Suci

1TUHAN berfirman kepada Musa,

2“Pada hari pertama pada bulan pertama hendaklah kamu dirikan Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan.

3Hendaklah kamu letakkan tabut loh hukum di dalamnya dan pagarlah tabut itu dengan tabir di depannya.

4Hendaklah kamu bawa meja ke dalam ruangan itu dan letaklah segala kelengkapannya mengikut aturannya. Hendaklah kamu bawa juga kaki pelita ke dalamnya, lalu nyala pelita-pelitanya.

5Hendaklah kamu letakkan mazbah pendupaan yang daripada emas itu di depan tabut loh hukum, dan gantungkanlah tabir bagi pintu Khemah Suci.

6Hendaklah kamu letakkan mazbah korban bakaran di hadapan pintu Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan.

7Setelah itu, hendaklah kamu letakkan bejana pembasuhan di antara Khemah Pertemuan dengan mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan tuangkanlah air ke dalamnya.

8Buatlah laman luar di sekelilingnya dan gantungkanlah tirai pintu masuk laman dalam.

9Hendaklah kamu ambil minyak tahbis, lalu urapilah Khemah Suci serta segala yang ada di dalamnya. Hendaklah kamu sucikan khemah itu dengan segala kelengkapannya, maka khemah itu akan menjadi suci.

10Hendaklah kamu urapi mazbah korban bakaran dengan segala kelengkapannya, dan sucikanlah mazbah itu, maka mazbah itu akan menjadi teramat suci.

11Hendaklah kamu urapi bejana pembasuhan itu dengan kekakinya, dan sucikannya.

12Hendaklah kamu bawa Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah Pertemuan, lalu basuhlah mereka dengan air.

13Hendaklah kamu kenakan kepada Harun pakaian yang suci dan kamu hendaklah mengurapi dan menyucikannya untuk menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku.

14Kemudian, hendaklah kamu bawa anak-anaknya, lalu kenakanlah tunik pada mereka.

15Hendaklah kamu urapi mereka seperti kamu mengurapi ayah mereka, supaya mereka juga dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku. Maka upacara pentakdisan dengan minyak itu akan membuat mereka secara rasmi untuk memegang jawatan imam, dan hal itu terus dijalankan sedemikian selama turun-temurun.”

16Maka Musa pun melaksanakan semuanya, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.

17Maka pada tahun kedua, iaitu pada hari pertama bulan pertama itu, terdirilah Khemah Suci.

18Musa mendirikan Khemah Suci itu, meletakkan segala lesung pasaknya, dan menegakkan semua rangka papannya serta memasangkan kayu-kayu palangnya dan mendirikan tiang-tiangnya.

19Dia membentangkan khemah untuk menutupi Khemah Suci, lalu dipasangnya penutup khemah di atasnya, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.

20Selanjutnya, dia mengambil loh hukum dan meletakkannya di dalam tabut. Lalu dipasangnya kayu pengusung pada tabut itu dan diletakkannya penutup pendamaian di atas tabut itu.

21Kemudian dia membawa tabut itu ke dalam Khemah Suci, lalu digantungkannya tabir penyekat untuk menutupi tabut loh hukum, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.

22Musa menempatkan meja di dalam Khemah Pertemuan, iaitu di sebelah luar tabir, pada sisi sebelah utara Khemah Suci.

23Lalu dia menyusun roti di atasnya di hadapan TUHAN, menurut aturan seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.

24Kaki pelita diletakkannya berhadapan dengan meja itu di dalam Khemah Pertemuan, iaitu pada sisi sebelah selatan Khemah Suci.

25Dia seterusnya memasang pelita-pelita di hadapan TUHAN, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.

26Dan dia menempatkan mazbah daripada emas itu di dalam Khemah Pertemuan, iaitu di depan tabirnya

27lalu dibakarnya dupa daripada rempah-ratus harum di atas mazbah itu sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN.

28Lalu Musa menggantungkan tabir pintu Khemah Suci itu.

29Dia menempatkan mazbah korban bakaran di muka pintu Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan, lalu di atasnya dipersembahkannya korban bakaran dan persembahan bahan makanan, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepadanya.

30Ditempatkannya pula bejana pembasuhan antara Khemah Pertemuan dengan mazbah itu, lalu dia menuangkan air ke dalamnya untuk pembasuhan.

31Kemudian Musa, Harun, dan anak-anak Harun membasuh tangan serta kaki masing-masing di situ.

32Bila-bila sahaja mereka masuk ke dalam Khemah Pertemuan dan menghampiri mazbah, mereka perlu membasuh tangan dan kaki, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

33Setelah itu, Musa mendirikan pagar laman dalam di sekeliling Khemah Suci dan mazbah, lalu dia menggantungkan tabir pintu masuk laman dalam itu. Demikianlah Musa menyelesaikan pekerjaan itu.

Kemuliaan TUHAN

34Kemudian awan menutupi Khemah Pertemuan dan kemuliaan TUHAN memenuhi Khemah Suci itu.

35Musa tidak dapat masuk ke dalam Khemah Pertemuan, kerana awan itu menetap di atas khemah itu serta kemuliaan TUHAN memenuhi Khemah Suci.

36Maka apabila sahaja awan itu naik dari atas Khemah Suci, orang Israel akan berangkat melanjutkan perjalanan mereka

37tetapi jika awan itu tidak terangkat, mereka juga tidak berangkat sampai saatnya awan itu naik.

38Maka awan TUHAN itu ada di atas Khemah Suci pada siang hari, dan pada malam hari ada api di dalam awan itu, di hadapan mata seluruh keturunan kaum Israel dalam setiap tahap perjalanan mereka.



 <<  Keluaran 40 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel