Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 11 >> 

Petrus menjelaskan tindakannya

1Para rasul dan saudara-saudara di seluruh Yudea mendengar khabar bahawa bangsa-bangsa asing juga telah menerima firman Allah.

2Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya.

3Mereka berkata, “Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!”

4Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu:

5“Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku.

6Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung di langit.

7Aku mendengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’

8Aku berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’

9Suara dari syurga berkata pula kepadaku, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’

10Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.

11Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang.

12Roh Kudus menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah orang itu.

13Kemudian orang itu bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, ‘Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.

14Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.’

15Apabila aku mula bercakap, Roh Kudus memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu.

16Ketika itu aku teringat kata-kata Tuhan: ‘Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus.’

17Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?”

18Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, “Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada bangsa-bangsa asing juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.”

Jemaah di Antiokhia

19Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Fenisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi;

20tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu mengkhabarkan berita baik tentang Tuhan Yesus kepada orang Yunani.

21Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.

22Jemaah di Yerusalem mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia.

23Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati.

24Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan.

25Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul;

26setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para murid mula-mula disebut orang Kristian.

27Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Yerusalem ke Antiokhia.

28Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Kudus bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius.

29Para murid Yesus membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea.

30Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.



 <<  Kisah Para Rasul 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran