Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 20 >> 

Kekuasaan Yesus dipersoalkan

1Pada suatu hari ketika Yesus mengajar orang ramai di dalam Bait Suci dan menyampaikan Injil, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para tua-tua datang kepada Yesus.

2Mereka berkata kepada-Nya, “Katakanlah kepada kami dengan kuasa siapakah Kamu melakukan perkara-perkara ini. Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa itu?”

3Yesus menjawab, “Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku,

4baptisan Yohanes daripada syurga atau daripada manusia?”

5Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga,’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’

6Sebaliknya, kalau kita berkata, ‘Daripada manusia,’ orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yohanes itu seorang nabi.”

7Mereka pun menjawab kepada Yesus bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya baptisan Yohanes itu.

8Oleh itu, Yesus pun berkata kepada mereka, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”

Ibarat tentang penyewa ladang

9Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: “Seorang menanam ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa penyewa lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ.

10Apabila tiba musim memetik, dia menyuruh seorang hamba pergi kepada para penyewa itu supaya mereka memberikan sebahagian daripada hasil ladang anggur kepadanya. Tetapi para penyewa itu memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong.

11Dia menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi para penyewa itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya pergi dengan tangan kosong juga.

12Tuan itu menyuruh hamba yang ketiga pula. Tetapi para penyewa itu mencederakannya lalu mengusirnya.

13Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh anakku yang kukasihi. Tentu para penyewa itu akan menghormatinya.’

14Tetapi apabila para penyewa itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, ‘Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.’

15Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.” Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu terhadap para penyewa tersebut?

16Sudah tentu dia akan datang dan membunuh para penyewa itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.” Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, “Semoga tidak begitu!”

17Tetapi Yesus memandang mereka dan bertanya, “Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini: ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru’?

18Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.”

Pertanyaan tentang pembayaran cukai

19Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam cuba menangkap Yesus ketika itu juga kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.

20Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Yesus dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Yesus ke dalam kekuasaan dan bidang kuasa pemerintah.

21Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, kami tahu apa yang Engkau katakan dan ajarkan itu betul. Guru, kami juga tahu bahawa Engkau tidak pilih kasih tetapi dengan ikhlas mengajar cara Allah berdasarkan yang benar.

22Wajarkah kami membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?”

23Yesus mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata,

24“Tunjukkanlah Aku sekeping wang dinar. Gambar dan nama siapakah ini?” Mereka menjawab, “Gambar dan nama Kaisar.”

25Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.”

26Mereka tidak dapat memerangkap Yesus mengenai apa yang Dia katakan di hadapan orang ramai itu. Maka mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.

Pertanyaan tentang kebangkitan daripada maut

27Beberapa orang Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Yesus lalu bertanya,

28“Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya.

29Ada tujuh orang adik-beradik lelaki. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak.

30Yang kedua berkahwin dengan balunya,

31kemudian yang ketiga dan seterusnya sampai kepada ketujuh saudara itu. Semuanya meninggal dunia tanpa anak.

32Akhirnya, wanita itu pun meninggal dunia.

33Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu kerana ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya?”

34Yesus menjawab, “Orang dunia zaman ini berkahwin dan dikahwinkan

35tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin dan tidak dikahwinkan.

36Mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan.

37Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Tuhan disebut Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.

38Dia bukan Allah orang mati tetapi Allah orang hidup kerana semua hidup pada Allah.”

39Beberapa orang ahli Taurat berkata, “Guru, betul jawapan-Mu.”

40Mereka tidak berani menyoal-Nya apa-apa lagi.

Pertanyaan tentang Kristus

41Yesus berkata kepada mereka, “Bagaimana dikatakan bahawa Kristus itu anak Daud

42sedangkan Daud sendiri berkata dalam kitab Mazmur: ‘Tuhan berfirman kepada Tuanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku

43sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’

44Daud menyebut Dia ‘Tuan’ bagaimana mungkin Dia anaknya pula?”

45Di hadapan orang ramai itu Yesus berkata kepada murid-murid-Nya,

46“Berhati-hatilah dengan ahli-ahli Taurat yang suka ke sana sini berjubah labuh, suka diberi salam hormat di pasar, suka duduk di kerusi khas di saumaah dan tempat terhormat di majlis jamuan.

47Mereka merampas rumah balu tetapi kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang lebih berat.”



 <<  Lukas 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel