Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Matius 11 >> 

Yesus dan Yohanes Pembaptis

1Setelah Yesus memberikan petunjuk kepada dua belas orang murid-Nya itu, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar berhampiran.

2Yohanes yang meringkuk di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Kristus. Yohanes pun menyuruh beberapa orang muridnya untuk bertanya kepada Yesus.

3Mereka bertanya, “Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?”

4Yesus menjawab mereka, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan lihat:

5Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin.

6Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku!”

7Ketika murid-murid Yohanes beredar dari situ, Yesus mula berkata kepada orang ramai tentang Yohanes: “Apabila kamu mendapatkan Yohanes di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin?

8Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana.

9Oleh itu, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, malah Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi.

10Tentang orang itulah telah tersurat dalam Kitab Suci: ‘Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.’

11Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang pun yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Namun begitu, orang yang terkecil dalam kerajaan syurga lebih besar daripadanya.

12Sejak kedatangan Yohanes Pembaptis hinggalah ke hari ini, kerajaan syurga telah diserang oleh orang yang ingin menguasainya melalui kekerasan dan keganasan, dan orang yang ganas berusaha menguasainya dengan kekerasan.

13Kerana semua nabi termasuk Musa dengan Taurat bernubuat hingga datangnya Yohanes.

14Sekiranya kamu mahu percaya akan perkhabaran mereka, Yohanes itulah Elia yang telah dinubuatkan kedatangannya.

15Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!

16Dengan apakah dapat Kubandingkan manusia zaman ini? Mereka umpama anak-anak yang duduk di pasar, satu kumpulan berseru kepada yang lain:

17‘Kami memainkan seruling untukmu, tetapi kamu enggan menari; kami menyanyi lagu ratap, tetapi kamu enggan menangis.’

18Ketika Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu semua orang berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis!’

19Ketika Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, ‘Lihatlah Dia ini: pelahap, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa!’ Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar dengan perbuatannya.”

Penduduk yang enggan bertaubat

20Yesus mengecam bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduknya enggan bertaubat.

21“Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Betsaida! Sekiranya mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu dilakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat, dengan memakai baju kabung dan membubuh abu di kepala.

22Akan tetapi, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Tirus dan Sidon lebih ringan daripada atas kamu!

23Kamu juga, hai Kapernaum! Akankah dirimu ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dihumbankan ke neraka! Kalaulah mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu itu dilakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada hingga kini!

24Aku berkata kepadamu, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom lebih ringan daripada atas kamu!”

Jemputan Yesus

25Selepas itu Yesus berucap, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil.

26Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan.”

27“Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Anak kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Anak serta orang yang terpilih Anak untuk menyatakan Bapa.

28Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan.

29Ambillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang.

30Sebab kuk-Ku serba mudah, dan beban-Ku pun ringan. ”



 <<  Matius 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran