Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 2 >> 

Yesus menyembuhkan seorang lumpuh

1Beberapa hari kemudian, Yesus pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu.

2Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Yesus pun menyampaikan firman kepada mereka.

3Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh.

4Mereka tidak dapat membawanya kepada Yesus kerana orang ramai itu. Oleh itu, mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Yesus berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar.

5Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.”

6Ahli-ahli Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati,

7“Lancangnya orang ini mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!”

8Tetapi Yesus segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu?

9Manakah yang lebih mudah dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau, ‘Bangun, angkat tikarmu dan berjalan’?

10Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang lumpuh itu,

11“Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.”

12Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu pun bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ tercengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat kejadian begini!”

Panggilan Lewi

13Yesus pergi lagi ke pinggir laut. Ramai orang datang kepada-Nya lalu Dia mengajar mereka.

14Ketika Yesus berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku,” lalu Lewi bangun mengikut-Nya.

15Selepas itu, Yesus makan di rumah Lewi. Ramai pemungut cukai dan orang berdosa mengikut Yesus dan ramai antara mereka turut makan bersama Yesus serta murid-murid-Nya.

16Ahli Taurat daripada golongan Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada para murid Yesus, “Mengapa Dia makan bersama pemungut cukai dan ‘orang berdosa’?”

17Yesus terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa.”

Berpuasa

18Pada suatu masa ketika para murid Yohanes Pembaptis dan murid orang Farisi berpuasa, beberapa orang datang kepada Yesus lalu bertanya, “Murid Yohanes Pembaptis dan murid orang Farisi sedang berpuasa, mengapa murid-murid-Mu tidak?”

19Yesus menjawab, “Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan berpuasa semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Selagi pengantin lelaki ada bersama mereka, tidaklah mereka berpuasa.

20Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.

21Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan baru itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian lama.

22Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru akan memecahkan kirbat, dan kedua-duanya terbuang. Air anggur baru mesti dituangkan ke dalam kirbat yang baru.”

Yesus dan hari Sabat

23Pada suatu hari Sabat, Yesus dan murid-murid-Nya berjalan melalui ladang gandum. Para murid-Nya mula memetik bulir gandum.

24Kemudian orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, mereka melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!”

25Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan mereka yang berada bersamanya kekurangan dan kelaparan?

26Dia masuk ke Rumah Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai imam besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.”

27Yesus menambah, “Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat.

28Jadi Anak Manusia jugalah Tuhan atas hari Sabat.”



 <<  Markus 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel