Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 9 >> 

1Yesus berkata lagi, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.”

Penjelmaan

2Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi. Di situ Yesus berubah rupa di hadapan mata mereka.

3Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu.

4Elia dan Musa muncul pula di hadapan mereka lalu bercakap dengan Yesus.

5Lalu Petrus berkata kepada Yesus, “Rabbi, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah – satu untuk Engkau, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.”

6(Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana mereka amat ketakutan.)

7Segumpal awan meliputi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!”

8Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Yesus.

9Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah dilihat mereka, sehingga Anak Manusia bangkit daripada kematian.

10Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud “bangkit daripada kematian.”

11Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapa ahli Taurat berkata Elia mesti datang dahulu?”

12Yesus menjawab, “Benar, Elia akan datang dahulu dan memulihkan segala sesuatu. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Anak Manusia, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan?

13Aku berkata kepadamu, Elia sudah pun datang dan orang berbuat sesuka hati kepadanya, seperti yang tersurat tentang dirinya.”

Yesus menyembuhkan seorang anak lelaki yang bisu

14Apabila mereka pulang mendapatkan para murid yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para murid Yesus.

15Sebaik-baik orang ramai itu melihat Yesus, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya.

16Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?”

17Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anakku kepada murid-murid-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu.

18Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon murid-murid-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”

19Yesus berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.”

20Mereka pun membawa anak itu kepada Yesus. Sebaik-baik roh itu melihat Yesus, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih.

21Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi.

22Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.”

23Yesus berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.”

24Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah aku yang kurang percaya ini!”

25Ketika Yesus melihat orang ramai datang berkerumun, Dia membentak roh jahat itu, “Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.”

26Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, “Dia sudah mati.”

27Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.

28Selepas itu, Yesus masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?”

29Yesus menjawab, “Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apa-apa pun, kecuali dengan doa.”

30Setelah itu, Yesus dan murid-murid-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana

31kerana Dia sedang mengajar murid-murid-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.”

32Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Yesus.

Siapa yang terbesar?

33Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?”

34Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.

35Yesus duduk lalu memanggil murid-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, “Kalau sesiapa ingin menjadi yang terdahulu, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.”

36Selepas itu, Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka,

37“Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku bukanlah menyambut-Ku tetapi menyambut Dia yang mengutus-Ku.”

Menghalau roh iblis

38Yohanes berkata kepada Yesus, “Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.”

39Tetapi Yesus berkata, “Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu.

40Orang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita.

41Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut Kristus, pasti akan mendapat ganjarannya.”

Menyebabkan orang lain berdosa

42“Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut.

43Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke dalam neraka, ke dalam api yang tidak terpadam. [

44Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.]

45Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke dalam neraka. [

46Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.]

47“Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam neraka.

48Di sana ‘cacingnya tidak akan mati, dan apinya tidak akan padam.’ ”

49Setiap orang akan disaluti api.

50“Garam itu baik, tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam dapat dimasinkan semula? Adakanlah garam pengukuh dalam dirimu, dan hiduplah rukun damai sesamamu.”



 <<  Markus 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran