Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Nehemia 4 >> 

Penentangan terhadap pembinaan semula

1Begitu terganggu dan teramat marahlah Sanbalat apabila didengarnya bahawa kami sedang membina semula tembok itu lalu dia mengolok-olokkan orang Yahudi.

2Maka di hadapan saudara-saudaranya dan tentera Samaria dia berkata, “Apalah sangat yang terdaya dilakukan orang Yahudi yang lemah ini? Adakah mereka akan membina semula apa-apa sahaja yang dikehendaki mereka? Adakah mereka mahu mempersembahkan korban? Adakah mereka akan selesai pada hari ini? Adakah mereka akan menghidupkan kembali batu-batu daripada timbunan puing yang telah terbakar itu?”

3Tobia, bani Amon yang ada berdekatan dengannya, berkata, “Meskipun mereka membinanya semula, tembok batu mereka itu akan roboh walaupun hanya seekor rubah yang memanjatnya.”

4Ya Allah kami, dengarlah bagaimana kami menjadi hinaan. Balikkanlah celaan mereka kepada diri mereka sendiri dan serahkanlah mereka sebagai rampasan di negeri tempat tawanan.

5Janganlah tutup kesalahan mereka dan janganlah hapuskan dosa mereka dari hadapan-Mu, kerana mereka telah membangkitkan murka-Mu di depan pembina yang sedang menjalankan kerja pembinaan itu.

6Kami terus membina semula tembok sehingga seluruh tembok itu siap setakat separuh ketinggiannya, berkat usaha umat yang sememangnya bekerja dengan penuh tekad.

7Namun begitu, apabila Sanbalat, Tobia, orang Arab, bani Amon, dan orang Asdod mendengar perihal kemajuan pesat kerja-kerja pembaikan tembok Yerusalem dan betapa lubang-lubangnya mulai tertutup, maka sangat marahlah mereka.

8Mereka semua bermuafakat bersama untuk datang memerangi Yerusalem dan mengadakan huru-hara di sana.

9Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan atas sebab sikap mereka itu, kami menjalankan pengawalan siang dan malam.

10Sementara itu orang Yehuda berkata, “Kekuatan kalangan yang memikul barang buangan sudah merosot walhal masih ada begitu banyak puing hinggakan kami tidak dapat meneruskan pembinaan semula tembok itu.”

11Maka para seteru kami pun berkata, “Kita akan datang ke tengah-tengah mereka, membunuh mereka, dan menghentikan pekerjaan itu tanpa mereka ketahui atau sempat melihat kita sebelumnya.”

12Orang Yahudi yang tinggal dekat mereka datang dan memberitahu kami sampai sepuluh kali, “Ke mana-mana pun kamu berpaling, mereka akan menyerang kita.”

13Oleh sebab itu kutempatkan umat di bahagian-bahagian terendah di belakang tembok, di tempat-tempat yang terbuka. Aku menempatkan mereka menurut kaum keluarga mereka dengan pedang, tombak, dan panah mereka.

14Setelah kuamati, segeralah aku berkata kepada para bangsawan, para pemimpin, dan umat selebihnya, “Jangan takut kepada mereka. Ingatlah kepada Tuhan yang besar dan teramat hebat, dan berperanglah demi para saudaramu, anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan, isterimu, dan rumahmu.”

15Ketika musuh kami mendengar bahawa kami sudah mengetahui hal itu dan bahawa Allah telah menggagalkan rancangan mereka, maka kami semua dapat kembali ke tembok dan ke bahagian pekerjaan kami masing-masing.

16Sejak hari itu sebahagian daripada anak buahku bekerja dan sebahagian yang lain memegang tombak, perisai, busur panah, serta berbaju zirah, sedangkan para pemimpin menempatkan diri di belakang seluruh keturunan kaum Yehuda

17yang membina semula tembok. Orang yang memikul serta mengangkut beban melakukan pekerjaannya dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan yang lain memegang senjata.

18Dan setiap pembina yang melaksanakan pembinaan semula menyandang pedang di pinggang masing-masing sambil bekerja, sementara orang yang meniup nafiri ada di sisiku.

19Kataku kepada para bangsawan, para pemimpin, dan umat yang selebihnya, “Pekerjaan ini besar dan luas, dan kita terpencar di atas tembok, berjauhan antara satu sama lain.

20Kalau kamu mendengar bunyi nafiri di suatu tempat, berkumpullah di sana mendapatkan kami. Allah kita akan berperang bagi kita.”

21Demikianlah kami melaksanakan pekerjaan itu dengan sebahagian daripada orang memegang tombak, dari waktu fajar menyingsing sampai waktu bintang-bintang muncul.

22Juga pada waktu itu aku berkata kepada rakyat, “Setiap orang dengan anak buahnya harus bermalam di Yerusalem, supaya mereka dapat menjadi penjaga kami pada malam hari dan bekerja pada siang hari.”

23Tidak ada daripada kami, baik aku, para saudaraku, anak buahku, mahupun para pengawalku yang sempat menanggalkan pakaian. Setiap orang membawa senjatanya sekalipun sewaktu mengambil air minuman.



 <<  Nehemia 4 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel