Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ratapan 3 >> 

Betapa besarnya kesetiaan-Mu

1Akulah orang yang merasai penderitaan akibat terkena rotan kemurkaan-Nya;

2Dia telah memacu aku dan membawa aku ke dalam kegelapan yang tidak ada cahayanya.

3Sungguh, berulang kali aku dipukul-Nya sepanjang hari.

4Dia menyusutkan dagingku dan kulitku; Dia mematahkan tulang-tulangku.

5Dia membina tembok dan mengepung aku dengan kepahitan dan kesengsaraan.

6Dia menempatkan aku dalam kegelapan, seperti orang yang sudah lama mati.

7Dia memagari aku sehingga aku tidak dapat keluar, Dia membuat rantai belengguku amat berat.

8Bahkan ketika aku berseru dan berteriak minta tolong, Dia tidak mendengar doaku.

9Dia menyekat jalanku dengan tembok batu pahat, dan membengkokkan jalanku.

10Bagiku Dia bak beruang yang akan menyerang hendap, seperti singa di tempat-tempat persembunyian.

11Dia menyimpangkan aku daripada jalanku, mencabik-cabik aku, dan membuat aku pilu dalam kesepian.

12Dia melenturkan busur-Nya dan menjadikan aku sasaran anak panah-Nya.

13Anak-anak panah daripada tabung panah-Nya menembus ginjalku.

14Aku menjadi bahan ketawa seluruh bangsaku, menjadi lagu ejekan mereka sepanjang hari.

15Dia mengenyangkan aku dengan kepahitan, dan memuaskan dahagaku dengan pahit getir.

16Dia menghancurkan gigiku dengan batu kerikil, dan membuat aku meringkuk di dalam debu.

17Jiwaku ketandusan rasa damai, sehingga aku terlupa erti kebahagiaan.

18Kataku, “Hilanglah ketahanan aku, dan apa yang kuharapkan daripada TUHAN!”

19Ingatlah kesengsaraanku dan pengembaraanku, pahit getir dan racun itu.

20Aku terus mengingatinya dan jiwaku tertekan dalam diriku.

21Tetapi inilah yang kuperhatikan, lantas kuperoleh harapan:

22Kerana kasih setia TUHAN tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tidak akan pudar.

23Semuanya baru setiap pagi. Besarnya kesetiaan-Mu!

24“TUHAN ialah Pusakaku,” kata jiwaku, “sebab itu aku berharap kepada-Nya.”

25TUHAN itu baik bagi orang yang menanti-nantikan Dia, bagi jiwa yang mencari hadirat-Nya.

26Baik jika seseorang menanti dengan tenang akan penyelamatan daripada TUHAN.

27Baik jika seorang lelaki menanggung beban kuknya pada masa mudanya.

28Biarlah dia duduk sendirian dan berdiam diri kalau Tuhan membebankan kuk itu ke atasnya.

29Biarlah mulutnya membaham debu, mungkin masih lagi ada harapan.

30Biarlah dia menyerahkan pipi kepada orang yang menamparnya, dan biarlah dia sarat dengan celaan.

31Tuhan tidak mencampakkan sesiapa pun untuk selama-lamanya.

32Sekalipun Dia mendatangkan dukacita, belas ihsan-Nya setimpal dengan kelimpahan kasih-Nya yang abadi.

33Dia tidak rela menindas atau mendukakan anak manusia.

34Kalau semua banduan di bumi dipijak-pijak hingga hancur,

35kalau seseorang dinafikan keadilan di hadapan Yang Maha Tinggi,

36kalau orang dicurangi dalam hal guamannya – Tuhan tidak berkenan pada semua itu.

37Siapakah yang dapat mengatakan sesuatu lalu membuat hal itu terjadi kalau Tuhan tidak menetapkannya?

38Bukankah daripada titah Yang Maha Tinggi terbit apa yang buruk dan apa yang baik?

39Mengapakah orang hidup harus bersungut-sungut, ketika dia dihukum atas dosa-dosanya?

40Marilah kita memeriksa dan meneliti cara hidup kita, lalu kembali kepada TUHAN.

41Marilah kita mengangkat hati dan tangan kita kepada Allah di syurga:

42Kami melakukan pelanggaran dan menderhaka, dan Engkau tidak mengampuni kami.

43Engkau menyelubungi diri-Mu dengan kemurkaan lalu mengejar kami, Kaucabut nyawa kami tanpa rasa belas kasihan.

44Engkau menyelubungi diri-Mu dengan awan, sehingga doa kami tidak dapat menembusinya.

45Kaujadikan kami hampas dan sampah sarap dalam kalangan bangsa.

46Semua musuh kami mengangakan mulut terhadap kami.

47Kami didatangi kengerian dan kesulitan yang tidak diduga, juga kerosakan dan kehancuran.

48Air mataku mengalir seperti sungai, kerana kehancuran puteri bangsaku.

49Air mataku tercurah tanpa henti, tidak putus-putusnya,

50sampai TUHAN menilik dan memandang dari syurga.

51Mataku menyusahkan hatiku kerana melihat nasib semua anak perempuan kotaku.

52Orang yang memusuhi aku tanpa alasan dengan gigih memburu aku seperti burung.

53Mereka menghumban aku ke dalam kancah dan melempari aku dengan batu.

54Air meluap melampaui kepalaku, aku berkata, “Habislah aku!”

55Aku menyeru nama-Mu, ya TUHAN, dari dasar kancah yang terdalam.

56Engkau mendengar suaraku! Janganlah kiranya Kaututup pendengaran-Mu terhadap desakanku dan teriakanku meminta pertolongan.

57Pada waktu aku berseru kepada-Mu, Engkau datang mendekat. Firman-Mu, “Jangan takut!”

58Ya Tuhan, Engkau telah membela perkaraku, Engkau telah menebus hidupku.

59Ya TUHAN, Engkau telah melihat kecurangan terhadap aku. Hakimilah hakku!

60Segala balas dendam mereka telah Engkau lihat, dan segala rancangan jahat mereka terhadapku.

61Engkau telah mendengar ejekan mereka, ya TUHAN, segala rancangan jahat mereka terhadapku,

62iaitu perkataan kalangan yang melawan aku dan fikiran mereka terhadap aku sepanjang hari.

63Pandanglah! Entah mereka duduk, entah berdiri, aku menjadi lagu ejekan mereka.

64Balaslah mereka, ya TUHAN, selaras dengan perbuatan tangan mereka.

65Keraskanlah hati mereka, biarlah laknat-Mu menimpa mereka!

66Burulah mereka dalam kemurkaan-Mu, dan punahkan mereka daripada kolong langit TUHAN!



 <<  Ratapan 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel