Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Roma 1 >> 

1Daripada Paulus, hamba Kristus Yesus yang dipanggil untuk menjadi rasul, dan dipilih khas untuk menyebarkan Injil daripada Allah.

2Injil ini telah dijanjikan-Nya dahulu melalui nabi-nabi-Nya, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci,

3iaitu tentang Anak-Nya. Sebagai manusia Dia telah dilahirkan daripada keturunan Daud,

4namun dengan Roh Kudus, Dia telah diisytiharkan melalui kuasa yang besar sebagai Anak Allah, iaitu dengan kebangkitan-Nya daripada kematian. Dialah Yesus Kristus, Tuhan kita.

5Melalui Yesus Kristus dan demi nama-Nya, kami diberi kasih kurnia dan jawatan rasul untuk menyeru manusia daripada segala suku bangsa supaya taat dalam iman kepada-Nya.

6Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi milik Yesus Kristus.

7Aku menulis kepada kamu sekalian di Roma , yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus memberimu kasih kurnia dan damai sejahtera.

Paulus ingin pergi ke Roma

8Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allahku melalui Yesus Kristus kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu.

9Allah, yang kusembah sepenuh hati dalam penyebaran Injil Anak-Nya, menjadi saksiku bahawa aku sentiasa mengingatimu

10dalam doaku, dan memohon semoga dengan izin Allah aku dapat mengunjungimu.

11Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu;

12maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku.

13Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, aku telah merancang berkali-kali untuk mengunjungimu, namun hingga kini ada sahaja aral melintang. Aku ingin agar pelayananku dalam kalanganmu membuahkan hasil, seperti dalam kalangan bangsa asing yang lain.

14Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.

15Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyampaikan Injil dalam kalanganmu yang di Roma juga.

16Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada orang Yunani.

17Kerana di dalamnya perbenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: “Orang benar akan hidup dengan iman.”

Murka Allah terhadap manusia

18Kemurkaan Allah ternyata dari syurga terhadap segala kefasiqan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia, yang menyembunyikan kebenaran dengan kedurjanaan,

19kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka.

20Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, semuanya jelas ternyata serta difahami melalui segala ciptaan-Nya. Oleh itu, mereka tidak dapat berdalih lagi.

21Walaupun mereka telah mengenal Allah, mereka tidak memuliakan-Nya sebagai Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan yang sia-sia dan hati mereka yang tolol diliputi kegelapan.

22Mereka mengaku diri bijaksana, tetapi sebenarnya mereka tolol.

23Mereka berpaling daripada kemuliaan Allah yang kekal abadi lalu menyembah patung-patung yang diperbuat seperti bentuk manusia yang fana, burung, haiwan berkaki empat dan binatang yang menjalar.

24Oleh itu, Allah membiarkan mereka menurut keinginan hati mereka melakukan pelbagai noda, maka mereka mencemari tubuh sesama sendiri.

25Mereka merangkul yang palsu dan berpaling daripada kebenaran Allah serta memuja dan menyembah makhluk ciptaan dan bukan Pencipta yang patut dipuji selama-lamanya. Amin.

26Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka didorong hawa nafsu yang keji. Kaum wanita mereka pun berpaling daripada yang tabii kepada yang di luar tabii.

27Demikian juga kaum lelaki. Mereka berpaling daripada hubungan tabii dengan wanita dan dibakar nafsu keberahian terhadap sama sejenis. Lelaki dengan lelaki melakukan perkara yang aib, lalu menerima dalam diri mereka hukuman yang setimpal.

28Oleh sebab mereka enggan mengenal Allah, maka Allah membiarkan mereka dikuasai fikiran yang hina, sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang tidak wajar.

29Mereka dipenuhi segala kemungkaran, kedurjanaan, ketamakan dan kecabulan. Mereka diselubungi hasad dengki, pembunuhan, persengketaan, penipuan dan niat durjana. Mereka pengumpat, penyebar fitnah,

30pembenci Allah, biadab, angkuh, bercakap besar, pereka perkara durjana, ingkar kepada ibu bapa,

31tidak tahu membezakan buruk dan baik, tidak boleh dipercayai, tidak mengasihi, tidak berhati perut, tidak mempunyai belas kasihan.

32Mereka mengetahui hukum Allah yang adil, iaitu sesiapa yang melakukan perkara demikian wajar dihukum mati. Namun demikian, mereka bukan sahaja melakukannya malah juga menyokong orang lain yang mengamalkannya.



 <<  Roma 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel