Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Roma 14 >> 

Yang lemah dan yang kuat

1Terimalah orang yang lemah imannya, tanpa menghakimi hal-hal yang boleh dipertikaikan.

2Ada orang yang yakin dia boleh makan semua jenis makanan, tetapi ada juga orang yang lemah imannya dan hanya makan sayur-sayuran.

3Namun demikian, orang yang makan semua jenis makanan janganlah menghina orang yang tidak makan sesuatu; dan orang yang tidak makan sesuatu janganlah menghakimi orang yang makan semua jenis makanan, kerana Allah telah menerima dia.

4Siapakah kamu maka berani menghakimi hamba orang lain? Sama ada dia tetap berdiri atau jatuh, terpulanglah kepada tuannya. Malah dia akan tetap berdiri kerana Tuhan berkuasa membuatnya tetap berdiri.

5Ada orang yang mengutamakan hari tertentu daripada yang lain, dan ada pula yang menganggap semua hari sama baiknya. Setiap orang harus membuat keputusan bagi dirinya sendiri, selaras dengan keyakinannya.

6Mereka yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Mereka yang makan semua jenis makanan melakukannya untuk menghormati Tuhan, kerana mereka mengucap syukur kepada Allah; manakala mereka yang tidak makan beberapa jenis makanan juga melakukannya untuk menghormati Tuhan, dan mengucap syukur kepada Allah.

7Tiada seorang pun dalam kalangan kita yang hidup bagi diri sendiri, dan tiada seorang pun dalam kalangan kita yang mati bagi diri sendiri.

8Jika kita hidup, kita hidup bagi Tuhan; dan jika kita mati, kita mati bagi Tuhan. Oleh itu, baik kita hidup mahupun mati, kita ialah milik Tuhan.

9Kristus mati dan bangkit lalu hidup semula untuk menjadi Tuhan kepada yang mati dan yang hidup.

10Mengapakah kamu menghakimi saudaramu? Dan mengapa kamu menghina saudaramu? Kita semua akan berdiri di hadapan takhta penghakiman Allah.

11Kerana telah tersurat: “Demi Aku yang hidup.” Tuhan berfirman, “Setiap orang akan bertekuk lutut di hadapan-Ku; dan setiap lidah akan mengaku kepada Allah.”

12Nyatalah bahawa setiap orang daripada kita akan dipertanggungjawabkan memberi pernyataan tentang dirinya kepada Allah.

13Oleh itu, janganlah lagi kita menghakimi sesama sendiri. Sebaliknya bertekadlah tidak akan membuat saudaramu tersandung atau terjatuh.

14Dalam Tuhan Yesus, aku tahu dan percaya bahawa tiada sesuatu pun yang najis. Namun demikian, sesuatu menjadi najis bagi seseorang yang menganggapnya najis.

15Sekiranya saudaramu bersedih kerana sesuatu yang kamu makan, maka kamu tidaklah lagi hidup berasaskan kasih. Jangan mudaratkan sesiapa disebabkan makananmu, kerana Kristus telah berkorban nyawa untuk dia juga.

16Jangan sampai sesuatu yang kamu anggap baik disebut sebagai kejahatan.

17Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi soal perbenaran dan kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Kudus.

18Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara ini akan diredai Allah dan disukai manusia.

19Oleh itu, marilah kita mengejar hal-hal yang membawa kesejahteraan dan yang membina kebaikan sesama sendiri.

20Jangan rosakkan rancangan Allah semata-mata kerana makanan! Semua makanan adalah suci, tetapi seseorang dianggap bersalah sekiranya sesuatu yang dimakannya menyebabkan orang lain tersandung.

21Sebaik-baiknya jauhilah makan daging atau minum air anggur atau apa sahaja yang dapat melemahkan saudaramu.

22Apa yang kamu percayai, percayailah sendirian di hadapan Allah. Diberkatilah orang yang tidak perlu mengadili dirinya tentang sesuatu yang dipercayainya benar.

23Sebaliknya, seseorang yang makan sesuatu dengan perasaan waswas adalah bersalah kerana perbuatannya itu tidak berasaskan iman. Segala yang tidak berasaskan iman itu adalah dosa.



 <<  Roma 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel