Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 12 >> 

Yesus diurapi

1Enam hari sebelum Perayaan Paskah, Yesus pergi ke Betania, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.

2Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain duduk bertelekan di meja bersama Yesus.

3Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Yesus, lalu menyapu kaki Yesus dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.

4Yudas Iskariot, salah seorang murid Yesus yang mengkhianati-Nya kelak berkata,

5“Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang dinar, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?”

6Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.

7Yesus berkata, “Biarkan dia begitu. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari pengebumian-Ku.

8Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.”

9Apabila orang Yahudi mendengar Yesus ada di Betania, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.

10Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga.

11Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Yesus.

Yesus memasuki Yerusalem

12Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut Perayaan Paskah mendengar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem.

13Mereka mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Yesus sambil berseru, “Hosana!” “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan, Raja Israel!”

14Yesus mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya, seperti yang tersurat:

15“Janganlah takut. Wahai puteri Sion; lihatlah Rajamu datang menunggang seekor keldai muda!”

16Sewaktu itu para murid Yesus tidak memahami erti segala ini. Setelah Yesus dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka menyedari bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat dalam Kitab Suci.

17Orang yang mendengar Yesus memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberikan kesaksian tentang kejadian itu.

18Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa dengan Yesus kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu.

19Orang Farisi berkata sesama sendiri, “Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.”

Yesus memberitahu tentang kematian-Nya

20Di antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani.

21Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, “Tuan, kami ingin bertemu dengan Yesus.”

22Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Yesus.

23Yesus berkata kepada mereka, “Sudah sampai masanya Anak Manusia dimuliakan.

24Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.

25Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.

26Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.”

27“Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini?’ Namun demikian, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini.

28Bapa, tunjukkanlah kemuliaan nama-Mu!” Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.”

29Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, “Guruh.” Tetapi ada pula yang berkata, “Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.”

30Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu.

31Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan.

32Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.”

33Kata-kata Yesus ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.

34Orang ramai berkata kepada Yesus, “Dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa Kristus yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Anak Manusia akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?”

35Yesus menjawab, “Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.

36Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.” Setelah berkata-kata demikian, Yesus meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.

37Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya.

38Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?”

39Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yesaya lagi:

40“Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.”

41Yesaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya.

42Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Yesus. Namun demikian, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah .

43Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.

44Yesus berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku.

45Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku.

46Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.

47Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya.

48Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir.

49Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya.

50Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu, apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.”



 <<  Yohanes 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran