Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 12 >> 

Kurnia rohani

1Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani:

2Kamu tahu bahawa dulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terpedaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu.

3Oleh itu aku menyatakan kepadamu, tiada siapapun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: ‘Isa terkutuk’; dan tiada siapapun dapat mengakui, ‘Isa adalah Junjungan Yang Esa,’ kecuali di bawah bimbingan Roh Suci.

4Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh.

5Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan.

6Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah Yang Esa mengerjakan semuanya.

7Tetapi Roh Suci memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua.

8Ada yang diberi kurnia oleh Roh Suci untuk berbicara dengan penuh hikmat, dan ada pula yang dikurniakan Roh Suci untuk berbicara tentang pengetahuan.

9Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama.

10Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan di antara roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu.

11Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Sucilah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya.

Banyak anggota tetapi satu tubuh

12Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga al-Masih.

13Oleh satu Roh kita semua telah diimadkan ke dalam satu tubuh

14Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota.

15Kalaulah kaki berkata, ‘Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,’ maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh?

16Dan kalaulah telinga berkata, ‘Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,’ maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh?

17Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan?

18Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya.

19Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh?

20Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh.

21Mata tidak boleh berkata kepada tangan, ‘Aku tidak memerlukanmu,’; kepala tidak boleh berkata kepada kaki, ‘Aku tidak memerlukanmu.’

22Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan.

23Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan.

24Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya,

25supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain.

26Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita.

27Kamu adalah tubuh al-Masih, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu.

28Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberikan pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah.

29Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat?

30Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu?

31Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.



 <<  1 Korintus 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel