Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 11 >> 

Petrus menjelaskan tindakannya

1Para rasul dan saudara-saudara di seluruh Yudea mendengar khabar bahawa orang bukan bani Israel juga telah menerima firman Allah.

2Apabila Petrus pergi ke Baitulmaqdis, orang Yahudi yang percaya kepada Isa dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya.

3Mereka berkata, ‘Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!’

4Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu:

5‘Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku.

6Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung.

7Aku mendengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.”

8‘Aku berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.”

9‘Suara itu berkata pula kepadaku, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kau haramkan.”

10Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.

11‘Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang.

12Roh Suci menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman di Yope menyertaiku ke Kaisaria lalu kami masuk ke rumah Kornelius.

13Kornelius bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, “Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.

14Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.”

15‘Apabila aku mula bercakap, Roh Suci memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu.

16Ketika itu aku teringat kata-kata Junjungan: “Yahya mengimadkan dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci.”

17Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Junjungan Isa al-Masih. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?’

18Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, ‘Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada orang bukan bani Israel juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.’

Jemaah di Antiokhia

19Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Finisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi;

20tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu menyampaikan berita baik tentang Junjungan Isa kepada orang bukan bani Israel.

21Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.

22Jemaah di Baitulmaqdis mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia.

23Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan.

24Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Suci dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan.

25Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul;

26setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para pengikut mula-mula disebut Masihi.

27Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Baitulmaqdis ke Antiokhia.

28Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Suci bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius.

29Para pengikut Isa membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea.

30Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.



 <<  Kisah Para Rasul 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran