Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 9 >> 

Saul bertaubat

1Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh pengikut-pengikut Junjungan Isa, pergi mendapatkan imam besar

2dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Isa, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Baitulmaqdis.

3Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba cahaya dari langit bersinar sekelilingnya.

4Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, ‘Saul, Saul, mengapa kauaniaya Aku?’

5Saul bertanya, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Suara itu menjawab, ‘Akulah Isa yang kauaniaya.

6Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.’

7Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapapun.

8Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh demikian mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik.

9Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum.

10Ada seorang pengikut Isa yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Junjungan berkata, ‘Ananias!’ ‘Ya, Junjungan,’ sahut Ananias.

11Junjungan berkata kepadanya, ‘Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,

12dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.’

13Ananias menjawab, ‘Ya Junjunganku, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Baitulmaqdis.

14Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.’

15Namun, Junjungan berkata, ‘Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel.

16Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana-Ku.’

17Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, ‘Saudaraku Saul, Junjungan telah mengutusku. Isa yang menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Suci.’

18Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu diimadkan.

19Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih.

Saul di Damsyik dan Baitulmaqdis

Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para pengikut Isa.

20Dia terus mengkhabarkan di saumaah-saumaah tentang Isa, bahawa Dia Putera Allah.

21Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, ‘Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama itu di Baitulmaqdis? Malah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam.’

22Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberi Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Isa itu al-Masih.

23Selepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul

24tetapi dia mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam;

25tetapi pengikut-pengikut Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang.

26Apabila Saul sampai di Baitulmaqdis, dia cuba menghubungi para pengikut Isa tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar pengikut Isa.

27Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul dan menceritakan bagaimana dia telah melihat Junjungan ketika dalam perjalanan, kata-kata Junjungan kepadanya dan keberanian Saul menyebarkan nama Isa di Damsyik.

28Selepas itu Saul keluar masuk di Baitulmaqdis bersama para rasul

29serta menyebarkan nama Junjungan dengan berani. Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya.

30Apabila para pengikut Isa yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.

31Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh tanah Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup bertakwa kepada Allah. Dengan pertolongan Roh Suci bilangan mereka semakin besar.

Petrus di Lida dan Yope

32Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida.

33Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur.

34Petrus berkata kepadanya, ‘Eneas, Isa al-Masih menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.’ Pada saat itu juga Eneas bangun.

35Semua penduduk Lida dan Saron melihatnya lalu beriman kepada Tuhan.

36Di Yope ada seorang perempuan pengikut Isa bernama Tabita (dalam bahasa Yahudi disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah.

37Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas.

38Oleh sebab Lida berdekatan dengan Yope, para pengikut Isa di Yope mendapat tahu Petrus ada di Lida lalu menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin.

39Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya.

40Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, ‘Hai Tabita, bangunlah.’ Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk.

41Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua pengikut Isa termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu.

42Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan.

43Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.



 <<  Kisah Para Rasul 9 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel