Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 20 >> 

Kekuasaan Isa dipersoalkan

1Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang ramai di dalam rumah ibadat dan memberitakan perkhabaran yang baik, ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan para tua-tua datang kepada Isa.

2Mereka berkata kepada-Nya, ‘Katakanlah kepada kami atas kuasa siapakah Engkau laksanakan segala perkara ini. Siapakah yang memberikan kuasa ini kepada-Mu?’

3Isa menjawab, ‘Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku

4pengimadan Yahya itu datang daripada siapa, syurga atau manusia?’

5Mereka berbincang sesama sendiri, ‘Jikalau kita katakan, “Daripada syurga,” Dia akan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?”

6Sebaliknya, jikalau kita katakan, “Daripada manusia,” orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yahya itu seorang nabi.’

7Mereka pun menjawab kepada Isa bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya pengimadan Yahya itu.

8Oleh itu, Isa pun berkata kepada mereka, ‘Aku juga tidak akan memberitahu kamu atas kuasa siapa Aku melakukan segala perkara ini.’

Ibarat tentang penyewa ladang

9Kemudian Isa menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: ‘Seorang menanami ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang petani lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ.

10Pada musim buah-buahan dia menyuruh seorang hamba pergi kepada petani-petani itu untuk menerima hasil buah-buahan bahagiannya daripada mereka tetapi petani-petani itu memukul hamba tersebut lalu mengusirnya balik dengan tangan kosong.

11Pemilik ladang itu menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi petani-petani itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya dengan tangan kosong juga.

12Pemilik ladang itu menyuruh hamba yang ketiga. Tetapi petani-petani itu mencederakannya lalu mengusirnya.

13‘Pemilik ladang itu berkata, “Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh puteraku yang kukasihi. Tentu petani-petani itu akan menghormatinya.”

14‘Tetapi apabila petani-petani itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, “Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.”

15Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.’ Isa bertanya, ‘Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang terhadap petani-petani tersebut?

16Sudah tentu dia akan datang dan membunuh petani-petani itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.’ Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, ‘Semoga tidak begitu!’

17Tetapi Isa memandang mereka dan bertanya, ‘Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini: ‘“Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru?”

18‘Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.’

Pertanyaan tentang pembayaran cukai

19Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mencari jalan hendak menangkap Isa ketika itu juga kerana mereka mengetahui Isa telah menujukan ibarat itu terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.

20Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Isa dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Isa ke dalam kawalan dan bidang penghakiman gabenor.

21Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami mengetahui apa yang Tuan Guru katakan dan ajarkan itu betul. Kami juga mengetahui Tuan Guru tidak pilih kasih kepada seseorang tetapi dengan ikhlas mengajarkan jalan Allah.

22Beritahulah kami, mengikut Taurat patutkah kami membayar cukai kepada Kaisar?’

23Isa mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata,

24‘Tunjukkanlah Aku sekeping mata wang. Gambar dan nama siapakah ini?’

25Mereka menjawab, ‘Gambar dan nama Kaisar.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.’

26Oleh yang demikian, mereka tidak dapat memerangkap Isa di hadapan orang ramai itu. Mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.

Pertanyaan tentang kebangkitan daripada maut

27Beberapa orang Saduki, iaitu orang yang menafikan hal kebangkitan orang mati, datang bertanya kepada Isa,

28‘Tuan Guru, Musa telah memberi kita hukum berikut. Jikalau seseorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, adik lelakinya harus beristerikan balu itu untuk mendapatkan anak bagi si abang yang telah meninggal itu.

29Ada tujuh orang adik-beradik lelaki. Yang pertama mati tanpa mempunyai anak.

30Yang kedua beristerikan balunya,

31kemudian yang ketiga dan seterusnya kepada semua yang lain

32Akhirnya, perempuan itu pun meninggal.

33Pada hari kebangkitan orang mati kelak, perempuan itu menjadi isteri siapa kerana ketujuh-tujuh adik-beradik itu telah beristerikannya.’

34Isa menjawab, ‘Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin

35tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin.

36Mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan daripada kematian.

37Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Allah disebut sebagai Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak dan Yakub.

38Allah bukannya Tuhan bagi orang mati tetapi bagi orang yang hidup. Mereka itu semua hidup pada Allah.’

39Beberapa orang ahli Taurat berkata, ‘Tuan Guru, betul jawapan-Mu.’

40Mereka tidak berani bertanya kepada Isa apa-apa lagi.

Pertanyaan tentang al-Masih

41Isa berkata kepada mereka, ‘Bagaimana dikatakan bahawa al-Masih itu anak Daud

42sedangkan Daud sendiri berkata dalam kitab Zabur: ‘“Tuhan berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku

43sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’”

44‘Jikalau Daud menyebut Dia “Junjungan,” bagaimanakah pula Dia anak Daud?’

45Di hadapan orang ramai itu Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,

46‘Berhati-hatilah dengan guru-guru Taurat yang suka berjalan-jalan berjubah labuh, suka dihormati di tempat orang ramai, suka mendapatkan tempat terbaik di saumaah dan terhormat di majlis makan.

47Mereka memperdaya balu dan merampas harta mereka tetapi kemudian berpura-pura berdoa dengan panjangnya! Mereka akan menerima hukuman yang paling berat.’



 <<  Lukas 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel