Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Lukas 23 >> 

Isa di hadapan Pilatus

1Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Isa menghadap Pilatus.

2Mereka mula menuduh Dia, ‘Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya al-Masih, seorang raja!’

3Pilatus bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’

4Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, ‘Aku tidak mendapati-Nya bersalah.’

5Tetapi mereka semakin mendesak, ‘Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini.’

Isa di hadapan Herodes

6Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Isa seorang Galilea.

7Ketika Pilatus mengetahui Isa berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Isa dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Baitulmaqdis.

8Apabila Isa dibawa kepada Herodes, dia sangat sukacita. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Isa kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Isa. Lagi pun, dia berharap dapat menyaksikan Isa melakukan mukjizat.

9Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Isa tetapi Isa tidak menjawab sepatah kata pun.

10Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Isa.

11Herodes dan askar-askarnya menghina Isa dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus.

12Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.

Isa dijatuhi hukuman mati

13Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai

14lalu berkata kepada mereka, ‘Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu.

15Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati.

16Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.’

17Pada setiap perayaan Paska Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka.

18Tetapi semua orang berteriak, ‘Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.’

19(Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)

20Pilatus hendak membebaskan Isa. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi.

21Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’

22Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: ‘Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.’

23Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Isa disalib. Akhirnya, mereka berjaya.

24Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan.

25Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Isa diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.

Isa disalib

26Ketika askar-askar membawa Isa ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Isa dan berjalan di belakang-Nya.

27Ramai orang mengikut Isa; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya.

28Isa berpaling kepada mereka lalu berkata, ‘Kaum perempuan Baitulmaqdis, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri.

29Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, “Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!”

30Pada masa itulah ‘“mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbusi kami!’”

31‘Jikalau perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?’

32Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Isa.

33Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, ‘Tengkorak,’ mereka pun menyalib Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.

34Isa berkata, ‘Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.’ Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.

35Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-ngejek-Nya, ‘Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya al-Masih yang dipilih oleh Allah.’

36Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya

37lalu berkata, ‘Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu.’

38Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: ‘Inilah Raja Orang Yahudi.’

39Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula menghina Isa. Dia berkata, ‘Bukankah Engkau al-Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!’

40Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, ‘Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.

41Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.’

42Dia berkata kepada Isa, ‘Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.’

43Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.’

Kewafatan Isa

44Ketika itu kira-kira pukul dua belas tengah hari, kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pukul tiga petang kerana matahari gerhana.

45Tirai yang tergantung di dalam rumah ibadat pun koyak terbelah dua.

46Isa berseru dengan suara yang kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Isa berkata demikian, Dia pun wafat.

47Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, ‘Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.’

48Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.

49Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

Isa dimakamkan

50Terdapat seorang yang bernama Yusuf. Dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan berakhlak tinggi. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah.

51Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu.

52Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Isa.

53Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengkafankannya lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan.

54Hari itu ialah hari Jumaat, dan hari Sabat hampir bermula.

55Perempuan-perempuan yang telah mengikut Isa dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Isa diletakkan di dalamnya.

56Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Isa. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.



 <<  Lukas 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel