Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Wahyu 22 >> 

Sungai air hidup

1Dia menunjukkan kepadaku sebatang sungai air hidup, jernih seperti hablur, mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba

2di tengah-tengah kota itu. Di kiri kanan sungai itu terdapat pohon hidup, yang berbuah dua belas jenis setiap bulan; daun-daunnya menyembuhkan umat manusia.

3Segala yang terlaknat tiada lagi. Takhta Allah dan Anak Domba ada di dalam kota itu, dan hamba-hamba-Nya berbuat ibadat kepada-Nya.

4Mereka melihat wajah-Nya, dan nama-Nya tersurat pada dahi mereka.

5Malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Tuhan, yaitu Allah sendiri, akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya.

6Katanya kepadaku, ‘Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Allah, Tuhan segala roh nabi-nabi, telah menyuruh malaikat-malaikat-Nya menunjukkan dengan segera kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi.’

7‘Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat di dalam kitab ini.’

8Aku, Yahya, telah mendengar dan melihat segala hal itu. Apabila aku mendengar dan melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku.

9Tetapi dia berkata kepadaku, ‘Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu dan saudara-saudaramu, iaitu nabi-nabi dan sekalian yang memeliharakan kata-kata di dalam kitab ini. Hanya Allah yang harus kamu sembah.’

Berita yang terakhir

10Katanya lagi kepadaku, ‘Janganlah kamu materaikan nubuat di dalam kitab ini, kerana masanya sudah hampir tiba.

11‘Orang yang berbuat jahat, biarlah dia terus berbuat jahat. Orang yang cemar, biarlah dia terus cemar. Orang yang benar, biarlah dia terus benar. Orang yang suci, biarlah dia terus suci.’

12‘Ingatlah, aku akan datang dengan segera, dan ganjaran-Ku bersama-Ku, supaya setiap orang mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya.

13Akulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir.

14‘Diberkatilah sekalian yang menyucikan pakaiannya, kerana mereka akan dapat menghampiri pohon hidup dan masuk ke dalam kota itu melalui pintu gerbangnya.

15Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya.

16‘Aku, Isa, telah menyuruh malaikat-Ku memperlihatkan segala hal ini kepadamu untuk semua jemaah. Akulah zuriat dan keturunan Daud, dan bintang fajar yang bersinar.’

17Roh dan pengantin perempuan itu berkata, ‘Marilah’. Orang yang mendengar haruslah berkata, ‘Marilah.’ Orang yang dahaga haruslah datang. Sesiapa yang suka boleh mengambil air hidup itu dengan percuma.

18Aku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat di dalam kitab ini.

19Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pohon hidup dan kota suci seperti yang tersurat di dalam kitab ini.

20Yang bersaksi atas segala perkara ini berfirman, ‘Ya, Aku akan datang segera.’ Sesungguhnya, marilah Engkau, Ya Junjungan Isa.

21Semoga kasih kurnia Junjungan Isa menyertai sekalian orang salih. Amin.



 <<  Wahyu 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel