Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 10 >> 

Amaran tentang Berhala

1Saudara-saudaraku, ingatlah akan peristiwa yang berlaku kepada nenek moyang kita yang mengikut Musa. Mereka semua dilindungi oleh tiang awan, dan mereka menyeberangi Laut Merah dengan selamat.

2Untuk menjadi pengikut Musa, mereka dibaptis di dalam awan dan di dalam laut itu.

3Mereka semua makan makanan rohani yang sama,

4dan minum minuman rohani yang sama. Mereka semua minum dari batu rohani yang menyertai mereka; batu itu Kristus sendiri.

5Meskipun demikian, Allah tidak berkenan kepada kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mayat mereka berselerakan di padang gurun.

6Semua perkara itu menjadi contoh bagi kita untuk mengingatkan kita supaya tidak menginginkan perkara yang jahat, seperti yang dilakukan oleh mereka dahulu;

7juga supaya kita tidak menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Di dalam Alkitab tertulis, "Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala."

8Janganlah kita lakukan hal-hal cabul seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Dalam sehari dua puluh tiga ribu orang mati akibat perbuatan itu.

9Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular berbisa.

10Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut.

11Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman.

12Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh.

13Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.

14Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala.

15Aku berkata-kata kepada kamu seperti kepada orang yang bijaksana. Pertimbangkanlah sendiri kata-kataku ini.

16Semasa Perjamuan Tuhan, kita minum wain dengan mengucap syukur kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dengan Kristus dalam kematian-Nya. Semasa roti dibahagi-bahagikan untuk dimakan bersama-sama, hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dalam tubuh Kristus.

17Kita yang banyak ini satu tubuh, kerana hanya ada satu roti dan kita semua makan daripada roti yang satu itu juga.

18Perhatikanlah orang Yahudi: Mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah, sama-sama beribadat kepada Allah.

19Adakah aku memaksudkan bahawa berhala ataupun makanan yang dipersembahkan kepada berhala itu tidak mempunyai erti sama sekali?

20Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala, tidak dipersembahkan kepada Allah melainkan kepada roh-roh jahat. Aku tidak mahu kamu menjadi satu dengan roh-roh jahat.

21Kamu tidak boleh minum daripada cawan Tuhan, lalu minum pula daripada cawan roh jahat. Kamu tidak boleh makan di meja Tuhan, kemudian makan pula di meja roh jahat.

22Jika kita cuba melakukannya maka kita akan menyebabkan Tuhan cemburu, dan kita tahu bahawa Dia lebih kuat daripada kita.

23Orang berkata, "Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu." Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah. "Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu" -- tetapi tidak semua perkara yang kita lakukan membina kehidupan kita.

24Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain.

25Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu.

26Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, "Bumi ini dan segala isinya milik Tuhan."

27Jika kamu dijemput makan oleh seorang yang bukan Kristian, dan kamu menerima jemputan itu, maka makanlah makanan yang dihidangkan. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu.

28Tetapi jika seseorang berkata kepada kamu, "Makanan ini sudah dipersembahkan kepada berhala," janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu dan demi hati nurani.

29(Maksudku bukan hati nurani kamu, tetapi hati nurani orang itu.) Mungkin orang bertanya, "Mengapa kebebasanku harus dibatasi oleh hati nurani orang lain?

30Jika aku bersyukur kepada Allah bagi makananku, mengapa orang harus mencela aku, padahal aku sudah bersyukur kepada Allah bagi makanan itu?"

31Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Allah.

32Jagalah tingkah laku kamu agar kamu tidak menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, ataupun jemaah Allah.

33Ikutlah teladanku. Aku berusaha menyenangkan hati semua orang dalam segala sesuatu yang aku lakukan. Aku tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri, tetapi kepentingan orang lain, supaya mereka boleh diselamatkan.



Download Audio MP3 (1 Korintus 10):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  1 Korintus 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel