Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 12 >> 

Kurnia Roh Allah

1Sekarang aku hendak membincangkan kurnia-kurnia yang diberikan oleh Roh Allah. Aku mahu kamu mengetahui yang sebenarnya tentang hal itu.

2Pada waktu kamu belum mengenal Tuhan, kamu disesatkan untuk menyembah berhala yang tidak bernyawa.

3Kamu harus tahu bahawa orang yang dipimpin oleh Roh Allah tidak dapat berkata, "Terkutuklah Yesus!" Begitu juga tidak seorang pun dapat mengatakan, "Yesuslah Tuhan!" kecuali orang itu dipimpin oleh Roh Allah.

4Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama.

5Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama.

6Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing.

7Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang.

8Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama.

9Kepada yang lain, Roh yang sama mengurniakan kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus, sedangkan kepada yang lain pula Roh Allah mengurniakan kuasa untuk menyembuhkan orang sakit.

10Kepada yang lain, Roh Allah mengurniakan kuasa untuk melakukan mukjizat, dan kepada yang lain pula, Roh itu memberikan kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Kepada yang lain pula, Roh Allah mengurniakan kebolehan untuk membeza-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah. Ada pula yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, dan ada juga yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu.

11Tetapi semuanya dilakukan oleh Roh yang sama juga. Dia memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri.

Banyak Anggota tetapi Satu Tubuh

12Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota.

13Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita.

14Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya.

15Kaki masih sebahagian daripada tubuh, walaupun kaki mungkin berkata, "Kerana aku bukan tangan, aku bukan bahagian daripada tubuh."

16Telinga masih sebahagian daripada tubuh, walaupun telinga mungkin berkata, "Kerana aku bukan mata, aku bukan bahagian daripada tubuh."

17Bagaimanakah tubuh boleh mendengar, jika seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja? Bagaimanakah tubuh boleh menghidu, jika seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja?

18Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya.

19Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota.

20Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh.

21Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, "Aku tidak memerlukan kamu!" Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, "Aku tidak memerlukan kamu!"

22Sebaliknya kita amat memerlukan anggota-anggota tubuh yang dianggap lemah.

23Anggota tubuh yang kita anggap tidak begitu dihargai, kita berikan lebih banyak penghargaan. Anggota tubuh yang tidak selayaknya dipercakapkan, kita perlakukan dengan penuh kesopanan.

24Anggota-anggota tubuh yang sudah kelihatan cantik tidak memerlukan perhatian. Allah sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga anggota tubuh yang kita anggap kurang dihargai mendapat lebih banyak penghargaan.

25Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan.

26Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita.

27Kamu semua tubuh Kristus, dan setiap orang sebahagian daripada tubuh itu.

28Di kalangan jemaah, Allah sudah memberi semua orang kedudukan masing-masing. Pertama rasul-rasul, kedua nabi-nabi, dan ketiga guru-guru, kemudian mereka yang melakukan mukjizat, lalu mereka yang diberikan kurnia untuk menyembuhkan orang sakit, atau untuk menolong orang lain, atau untuk menjadi pemimpin, ataupun untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib.

29Mereka bukan semuanya rasul, atau nabi, ataupun guru. Bukan semuanya mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat,

30atau untuk menyembuhkan orang, atau untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, ataupun untuk menerangkan erti apa yang dikatakan dalam bahasa-bahasa itu.

31Oleh itu, hendaklah kamu berhasrat untuk memperoleh kurnia-kurnia yang lebih utama. Tetapi aku akan menunjukkan kamu jalan yang terbaik.



Download Audio MP3 (1 Korintus 12):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  1 Korintus 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel