Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 12 >> 

Pemberontakan Suku-Suku di Utara

1Rehabeam pergi ke Sikhem, kerana semua suku di bahagian utara telah berkumpul di sana untuk melantik dia menjadi raja.

2Apabila Yerobeam anak Nebat mendengar berita itu, dia berangkat dari Mesir. Dahulu Yerobeam telah pergi ke Mesir kerana dia melarikan diri daripada Raja Salomo.

3Suku-suku di utara memanggil Yerobeam, lalu dia bersama dengan mereka menghadap Raja Rehabeam dan berkata kepada baginda,

4"Ayahanda tuanku, Raja Salomo, telah memperlakukan hamba semua dengan kasar dan memberikan beban yang berat. Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba semua dan memperlakukan hamba sekalian dengan baik, hamba semua akan menjadi rakyat yang setia kepada tuanku."

5Raja Rehabeam menjawab, "Datanglah lagi selepas tiga hari; beta akan memberikan jawapan kelak." Oleh itu mereka pun pergi.

6Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua yang telah berkhidmat sebagai penasihat kepada ayahandanya. "Bagaimanakah beta harus jawab orang itu?" tanya Raja Rehabeam. "Apakah nasihat kamu?"

7Para orang tua itu menjawab, "Jika tuanku hendak berbakti kepada rakyat, kabulkanlah permintaan mereka, maka mereka pun akan berbakti dengan setia kepada tuanku."

8Tetapi Raja Rehabeam tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya, baginda bertanya pula kepada orang muda yang sebaya dengan baginda, dan yang kini menjadi penasihat baginda.

9Raja bertitah, "Apakah nasihat kamu? Apakah yang harus beta katakan kepada semua orang itu, yang meminta beta meringankan beban mereka?"

10Mereka menjawab, "Katakanlah kepada mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta!’

11Katakan kepada mereka, ‘Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!’"

12Tiga hari kemudian, Yerobeam dan rakyat datang lagi menghadap Raja Rehabeam, menurut titahnya.

13Raja tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya, baginda menurut nasihat orang muda lalu bertitah kepada rakyat dengan kasar, "Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!"

14(12:13)

15TUHAN hendak menepati firman-Nya yang disampaikan kepada Yerobeam anak Nebat melalui Nabi Ahia dari Silo. Itulah sebabnya raja tidak menghiraukan permintaan rakyat.

16Apabila rakyat sedar bahawa raja tidak mahu mengabulkan permintaan mereka, mereka berseru, "Peduli apa dengan Raja Daud dan keluarganya? Mereka tidak pernah melakukan apa-apa untuk kita! Hai umat Israel, marilah kita pulang! Biarlah Raja Rehabeam menjaga dirinya sendiri!" Oleh itu umat Israel memberontak,

17dan Rehabeam menjadi raja hanya bagi penduduk wilayah Yehuda.

18Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoniram, pengawas buruh paksa, pergi kepada orang Israel, tetapi mereka merejam dia sehingga mati. Oleh itu Raja Rehabeam tergesa-gesa melarikan diri ke Yerusalem dengan menaiki kereta kudanya.

19Sejak itu, penduduk di bahagian utara kerajaan Israel sentiasa memberontak terhadap raja-raja keturunan Raja Daud.

20Apabila umat Israel mendengar bahawa Yerobeam telah pulang dari Mesir, mereka menjemput dia ke satu perjumpaan rakyat, lalu melantik dia menjadi raja Israel. Hanya suku Yehuda yang tetap setia kepada keturunan Raja Daud.

Nubuat Semaya

21Apabila Raja Rehabeam tiba di Yerusalem, baginda mengumpulkan 180,000 orang askar yang terbaik daripada suku Yehuda dan Benyamin. Raja Rehabeam hendak berperang untuk memulihkan kekuasaannya atas suku-suku Israel yang di utara.

22Tetapi Allah menyuruh Nabi Semaya

23menyampaikan firman-Nya kepada Raja Rehabeam dan segenap suku Yehuda dan Benyamin,

24"Demikianlah firman TUHAN, ‘Jangan serang orang Israel, saudara kamu sendiri. Pulanglah kamu semua! Apa yang telah berlaku adalah kehendak-Ku.’" Mereka semua taat kepada perintah TUHAN lalu pulang ke rumah.

Raja Yerobeam Meninggalkan TUHAN

25Raja Yerobeam, raja Israel, membina semula kota Sikhem di perbukitan Efraim dan tinggal di sana untuk sementara. Kemudian baginda meninggalkan tempat itu, dan membina pula kota Penuel.

26Baginda berfikir, "Dalam keadaan sekarang ini, jika rakyat beta pergi ke Yerusalem untuk mempersembahkan korban kepada TUHAN di Rumah TUHAN, kesetiaan mereka akan beralih kepada Raja Rehabeam di Yehuda, lalu mereka akan membunuh beta."

27(12:26)

28Setelah lama berfikir, Raja Yerobeam membuat dua patung lembu jantan daripada emas lalu bertitah kepada rakyatnya, "Telah cukup lama kamu beribadat di Yerusalem. Sekarang, hai Israel, inilah tuhan-tuhan kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir!"

29Raja Yerobeam menempatkan satu patung lembu emas di Betel dan satu lagi di Dan.

30Demikianlah rakyat berdosa kerana mereka bersembahyang di Betel dan di Dan.

31Yerobeam juga membina tempat-tempat sembahyang di atas bukit-bukit, dan memilih imam-imam yang bukan daripada suku Lewi.

TUHAN Mengutuk Ibadat di Betel

32Raja Yerobeam juga memulakan satu perayaan agama pada hari kelima belas bulan kelapan, seperti perayaan di Yehuda. Di atas mazbah di Betel, baginda mempersembahkan korban kepada patung-patung lembu emas yang telah dibuatnya. Raja Yerobeam menempatkan imam-imam di Betel, iaitu para imam yang bertugas di tempat-tempat sembahyang yang telah dibinanya.

33Pada hari kelima belas bulan kelapan, hari yang ditentukannya sendiri, baginda pergi ke Betel untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, bagi merayakan perayaan yang telah ditentukannya bagi umat Israel.



 <<  1 Raja-raja 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran