Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Raja-raja 5 >> 

Persiapan untuk Membina Rumah TUHAN

1Raja Hiram dari Tirus sentiasa bersahabat dengan Raja Daud. Oleh itu apabila Raja Hiram mendengar bahawa Raja Salomo telah memerintah menggantikan Raja Daud ayahandanya, baginda mengutus seorang duta kepada Raja Salomo.

2Kemudian Raja Salomo mengirimkan pesan ini kepada Raja Hiram,

3"Tuanku tahu bahawa Raja Daud, ayahanda beta sentiasa terpaksa berperang menentang musuh dari negeri-negeri di sekelilingnya. Sebelum TUHAN memberikan kemenangan kepadanya atas semua musuhnya itu, baginda tidak dapat membina Rumah tempat menyembah TUHAN, Allah baginda.

4Tetapi sekarang TUHAN, Allah beta telah memberikan ketenteraman di sepanjang sempadan negeri beta. Beta tidak mempunyai musuh, dan tidak ada lagi bahaya ancaman dari mana-mana pun.

5TUHAN telah berjanji kepada Raja Daud, ayahanda beta. Firman-Nya, ‘Puteramu yang akan Kulantik menjadi raja untuk menggantikan engkau akan membina Rumah untuk-Ku.’ Oleh itu beta telah membuat keputusan untuk membina Rumah tempat menyembah TUHAN, Allah beta.

6Sudilah menyuruh rakyat tuanku ke Lebanon untuk menebang pokok sedar bagi beta. Rakyat beta akan bekerjasama dengan rakyat tuanku. Beta akan membayar upah rakyat tuanku, menurut kadar yang tuanku tentukan. Sebagaimana tuanku maklum, rakyat tuanku lebih pandai menebang pokok daripada rakyat beta."

7Raja Hiram sangat gembira menerima pesan Raja Salomo itu. Baginda bertitah, "Terpujilah TUHAN pada hari ini, kerana Dia telah memberikan seorang putera yang sangat bijaksana kepada Raja Daud untuk menggantikan baginda memerintah bangsa yang sedemikian besar!"

8Kemudian Raja Hiram mengirim jawapan ini kepada Raja Salomo, "Beta telah menerima pesan tuanku, dan beta bersedia memenuhi apa sahaja permintaan tuanku. Beta akan menyediakan kayu sedar Lebanon dan kayu sipres.

9Rakyat beta akan membawa balak itu turun dari Lebanon ke laut. Mereka akan mengikat balak-balak itu menjadi rakit lalu dihanyutkan menyusur pantai ke tempat pilihan tuanku. Di sana rakyat beta akan membongkar rakit-rakit itu, lalu bolehlah rakyat tuanku mengambilnya. Tanggungan tuanku adalah menyediakan makanan bagi rakyat beta."

10Oleh itu Raja Hiram memberi Raja Salomo segala kayu sedar Lebanon dan kayu sipres yang dikehendakinya.

11Raja Salomo pula memberi Raja Hiram 322,500 kilogram gandum dan 400,000 liter minyak zaitun asli setiap tahun untuk makanan rakyat Raja Hiram.

12TUHAN menepati janji-Nya. Dia memberi Raja Salomo kebijaksanaan. Perhubungan antara Raja Hiram dan Raja Salomo baik, dan baginda berdua membuat ikatan perjanjian.

13Raja Salomo mengerahkan 30,000 orang lelaki dari seluruh Israel untuk pekerjaan paksa,

14dan melantik Adoniram menjadi pengurus mereka. Raja Salomo membahagikan mereka menjadi tiga kumpulan, 10,000 orang dalam satu kumpulan. Tiap-tiap kumpulan bekerja selama satu bulan di Lebanon dan tinggal di rumah selama dua bulan.

15Raja Salomo juga mempunyai 80,000 orang lelaki di pergunungan untuk memahat batu; 70,000 orang lelaki untuk mengangkat batu-batu itu.

16Baginda menugaskan 3,300 orang untuk mengawasi pekerjaan mereka.

17Dengan perintah Raja Salomo, mereka memahat batu-batu yang besar dan indah untuk dijadikan asas Rumah TUHAN.

18Para pekerja Raja Salomo dan pekerja Raja Hiram, dan juga orang dari kota Gebal menyediakan batu dan kayu untuk membina Rumah TUHAN.



 <<  1 Raja-raja 5 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran