Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 8 >> 

Umat Israel Meminta Seorang Raja

1Apabila Samuel sudah tua, dia melantik anak-anaknya menjadi hakim di Israel.

2Anaknya yang sulung bernama Yoel dan yang kedua bernama Abia. Kedua-duanya menjadi hakim di Bersyeba.

3Tetapi mereka tidak mengikuti teladan bapa mereka. Mereka hanya mencari keuntungan diri sendiri; mereka menerima rasuah dan menghakimi rakyat dengan tidak adil.

4Kemudian semua pemimpin Israel berkumpul lalu menghadap Samuel di Rama.

5Mereka berkata kepadanya, "Dengarlah tuan, tuan sudah tua dan anak-anak tuan tidak menurut teladan tuan. Oleh itu, lebih baik tuan melantik seorang raja bagi kami, supaya kami pun mempunyai seorang raja seperti bangsa-bangsa lain."

6Samuel tidak suka dengan permintaan mereka itu, lalu dia berdoa kepada TUHAN.

7Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, "Kabulkanlah segala permintaan mereka. Bukan engkau yang ditolak oleh mereka; sebenarnya, Akulah yang ditolak oleh mereka sebagai raja.

8Sejak Aku membawa mereka keluar dari Mesir, mereka sudah membelakangi Aku dan menyembah dewa-dewa. Sekarang, apa yang dilakukan mereka terhadap engkau, sudah selalu dilakukan mereka terhadap Aku juga.

9Oleh itu kabulkanlah permintaan mereka; tetapi berikanlah amaran yang tegas kepada mereka, dan beritahukan cara raja mereka itu akan memperlakukan mereka."

10Samuel menyampaikan segala firman TUHAN itu kepada semua orang yang meminta seorang raja.

11Samuel menjelaskan, "Inilah caranya raja kamu akan memperlakukan kamu. Raja akan mengambil anak-anak lelaki kamu untuk dijadikan askar. Ada yang akan menjadi anggota pasukan berkereta kuda, ada pula yang akan menjadi anggota pasukan berkuda, ada lagi yang akan berlari di depan kereta kuda raja.

12Ada yang akan dijadikan ketua pasukan seribu orang askar, dan ada lagi ketua pasukan lima puluh orang askar. Raja itu akan memaksa anak lelaki kamu membajak ladangnya, menuai hasil tanamannya, dan membuat senjata serta perkakas bagi kereta kuda raja.

13Anak perempuan kamu akan disuruh membuat minyak wangi, dan bekerja sebagai tukang masak serta pembuat roti bagi raja.

14Raja itu akan mengambil ladang dan ladang anggur kamu, serta kebun zaitun kamu yang terbaik, lalu memberikan semuanya kepada para pegawai raja.

15Ladang dan ladang anggur kamu akan dikenakan cukai sepuluh peratus daripada hasilnya, lalu raja akan memberikannya kepada para pegawai dan pegawai tentera raja.

16Raja itu akan mengambil hamba dan ternakan kamu yang terbaik, serta keldai kamu, lalu menggunakan semuanya untuk pekerjaan raja.

17Raja kamu itu akan mengambil sepuluh peratus daripada semua ternakan kamu. Bahkan kamu sendiri akan menjadi hamba raja.

18Pada masa itu kamu akan bersungut kerana raja kamu, raja yang kamu pilih sendiri. Tetapi TUHAN tidak akan mempedulikan sungutan kamu."

19Umat Israel tidak mahu menghiraukan kata-kata Samuel, malahan mereka berkata, "Biarlah! Kami tetap mahukan seorang raja.

20Kami mahu menjadi seperti bangsa-bangsa lain. Raja kami akan memerintah kami dan memimpin kami dalam peperangan."

21Samuel mendengar segala kata-kata mereka, lalu memberitahukannya kepada TUHAN.

22TUHAN menjawab, "Kabulkanlah permintaan mereka. Lantiklah seorang raja bagi mereka." Setelah itu Samuel menyuruh semua orang Israel pulang ke rumah masing-masing.



 <<  1 Samuel 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel