Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Tawarikh 10 >> 

Kemangkatan Raja Saul

1Orang Filistin berperang melawan orang Israel di Gunung Gilboa. Banyak orang Israel terbunuh di situ, dan yang lain, termasuk Raja Saul dan putera-puteranya, melarikan diri.

2Tetapi orang Filistin mengejar mereka lalu membunuh tiga orang putera Raja Saul, iaitu Yonatan, Abinadab, dan Malkisua.

3Pertempuran sangat sengit di sekitar Raja Saul, dan baginda cedera kerana kena anak panah musuh.

4Kemudian Raja Saul bertitah kepada pemuda yang membawa senjata baginda, "Hunuslah pedangmu dan tikamlah beta, supaya beta tidak dipermainkan oleh orang Filistin yang tidak mengenal Allah." Tetapi pemuda itu terlalu takut untuk melakukannya. Oleh itu Raja Saul mengambil pedangnya sendiri lalu merebahkan diri ke atas pedang itu.

5Apabila pemuda itu nampak bahawa Raja Saul telah mangkat, dia juga merebahkan diri ke atas pedangnya lalu meninggal.

6Oleh itu, Raja Saul dan tiga orang puteranya mangkat, maka berakhirlah pemerintahan baginda; tiada seorang pun daripada keturunannya menjadi raja selepas itu.

7Apabila semua orang Israel yang tinggal di Lembah Yizreel mendengar bahawa tentera mereka telah melarikan diri, dan bahawa Raja Saul serta tiga orang puteranya telah mangkat, mereka meninggalkan kota-kota mereka lalu melarikan diri. Kemudian orang Filistin datang dan menduduki kota-kota itu.

8Sehari selepas pertempuran itu, orang Filistin merompak mayat-mayat tentera Israel. Mereka menjumpai jenazah Raja Saul dan tiga orang puteranya di Gunung Gilboa.

9Mereka menanggalkan baju zirah Raja Saul, dan memenggal kepalanya, lalu membawanya pergi. Kemudian mereka mengirim utusan ke seluruh negeri Filistin untuk menyampaikan khabar baik itu kepada bangsa dan dewa-dewa mereka.

10Mereka menyimpan baju zirah Raja Saul di dalam salah sebuah kuil mereka, dan menggantungkan kepala Raja Saul di dalam kuil Dagon, dewa mereka.

11Apabila penduduk Yabes di Gilead mendengar apa yang telah dilakukan orang Filistin terhadap Raja Saul,

12beberapa orang antara mereka yang paling berani pergi mengambil jenazah Raja Saul dan putera-puteranya. Mereka membawa jenazah-jenazah itu ke Yabes, dan mengebumikan jenazah-jenazah itu di bawah pokok besar. Kemudian mereka berpuasa selama tujuh hari.

13Raja Saul mangkat kerana baginda tidak setia kepada TUHAN, dan tidak mentaati perintah TUHAN. Raja Saul minta petunjuk daripada roh-roh orang mati,

14dan tidak minta petunjuk daripada TUHAN. Oleh itu TUHAN menghukum mati Raja Saul dan menyerahkan kerajaan baginda kepada Daud anak Isai.



 <<  1 Tawarikh 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel