Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Tawarikh 17 >> 

Natan Menyampaikan Perkhabaran TUHAN kepada Raja Daud

1Pada suatu hari, apabila Raja Daud sudah menetap di istana baginda, Raja Daud memanggil Nabi Natan dan bertitah, "Lihat, beta tinggal di istana yang dibuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian TUHAN hanya di dalam khemah!"

2Natan menjawab, "Lakukanlah apa saja kehendak tuanku kerana Allah menyertai tuanku."

3Tetapi pada malam itu Allah berfirman kepada Natan,

4"Pergi sampaikan firman-Ku ini kepada hamba-Ku Daud, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku.

5Sejak Aku membebaskan umat Israel dari Mesir sampai sekarang, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku selalu tinggal di dalam khemah dan berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

6Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang telah Aku lantik, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’

7Oleh itu beritahulah hamba-Ku Daud bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepadanya, ‘Aku telah mengambil engkau daripada pekerjaanmu sebagai gembala domba di padang, dan menjadikan engkau raja umat-Ku Israel.

8Aku telah menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan semua musuhmu ketika engkau berperang. Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terbesar di dunia.

9Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu, dan sebelum mereka mempunyai raja, mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan mengalahkan semua musuhmu, dan Aku akan memberi engkau keturunan.

10(17:9)

11Apabila tiba kematianmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, Aku akan melantik salah seorang anak lelakimu menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.

12Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang daripada keturunannya akan memerintah sebagai raja.

13Aku akan menjadi Bapanya, dan dia akan menjadi anak-Ku. Aku akan tetap berbuat baik kepadanya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku kepadanya akan tetap Kupegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja.

14Anak lelakimu yang Aku pilih itu akan Kujadikan raja umat-Ku dan atas kerajaan-Ku untuk selama-lamanya, dan anak cucunya turun-temurun akan memerintah sebagai raja.’"

15Natan memberitahu Raja Daud segala yang dinyatakan Allah kepadanya.

Doa Kesyukuran Raja Daud

16Kemudian Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Raja Daud duduk lalu berdoa, "Ya TUHAN Allah, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang Engkau tunjukkan kepadaku selama ini.

17Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu; Engkau telah membuat janji tentang keturunanku pada masa hadapan. Bahkan Engkau, ya TUHAN Allah, telah memperlakukan aku sebagai seorang pembesar.

18Apa lagi yang dapat kukatakan kepada-Mu! Engkau mengetahui segala sesuatu tentang diri hamba-Mu ini, namun Engkau memberikan penghormatan kepadaku.

19Oleh sebab kehendak-Mu dan rancangan-Mu, Engkau melakukan semua perbuatan besar ini bagiku, dan untuk menunjukkan kebesaranku pada masa akan datang, kepadaku.

20Ya TUHAN, tidak ada yang sama dengan Engkau; sejak dahulu, kami telah mengetahui bahawa Engkau satu-satunya Allah.

21Di seluruh bumi tidak ada bangsa seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, untuk menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib yang Engkau lakukan bagi mereka, menjadikan nama-Mu termasyhur di seluruh dunia. Engkau membebaskan umat-Mu dari Mesir, dan mengusir bangsa-bangsa lain ketika umat-Mu maju bertempur.

22Engkau telah menjadikan Israel, umat-Mu sendiri selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka.

23Sekarang, ya TUHAN, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang telah Engkau janjikan itu.

24Engkau akan termasyhur selama-lamanya, dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel.’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku memerintah sebagai raja sepanjang masa.

25Aku berani berdoa demikian, ya Allahku, kerana Engkau telah menyatakan semua itu kepadaku, hamba-Mu. Engkau telah memberitahu aku bahawa keturunanku akan Engkau jadikan raja-raja bangsa ini.

26Ya TUHAN, Engkaulah Allah, dan Engkau telah menjanjikan perkara yang indah ini untuk aku.

27Aku mohon, sudilah memberkati keturunanku supaya mereka tetap merasakan kasih-Mu selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, telah memberkati mereka dan Engkau akan tetap memberkati mereka sampai selama-lamanya."



 <<  1 Tawarikh 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel