Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 14 >> 

Raja Amazia, Raja Yehuda

1Pada tahun kedua pemerintahan Raja Yehoas putera Raja Yehoahas di Israel, Raja Amazia putera Raja Yoas menjadi raja di Yehuda.

2Pada masa itu Raja Amazia berusia dua puluh lima tahun. Baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Bondanya bernama Yehoadin dari Yerusalem.

3Raja Amazia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN, tetapi baginda tidak seperti nenek moyangnya, Raja Daud. Sebaliknya baginda mengikut perbuatan ayahandanya, Raja Yoas.

4Raja Amazia tidak merobohkan tempat-tempat penyembahan berhala dan rakyat tidak berhenti mempersembahkan korban serta membakar kemenyan di situ.

5Apabila pemerintahan Raja Amazia sudah kukuh, baginda membunuh para pegawai yang membunuh ayahandanya, raja yang memerintah sebelum baginda.

6Raja Amazia tidak membunuh anak-anak mereka kerana baginda menurut perintah TUHAN dalam Taurat Musa yang berbunyi demikian, "Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan anak mereka. Anak-anak tidak boleh dihukum mati kerana kesalahan ibu bapa mereka. Setiap orang hendaklah dihukum mati kerana kesalahan yang dibuatnya sendiri sahaja."

7Raja Amazia membunuh sepuluh ribu orang askar Edom di Lembah Asin, dan merebut kota Sela. Baginda menamakan kota itu Yokteel. Sampai sekarang kota itu masih bernama Yokteel.

8Kemudian Raja Amazia mengutus beberapa orang utusan kepada Raja Yehoas di Israel untuk mencabar baginda berperang.

9Tetapi Raja Yehoas menjawab cabaran itu demikian, "Pada suatu masa semak berduri di Gunung Lebanon mengirim berita kepada pokok sedar, ‘Benarkanlah anak perempuanmu berkahwin dengan anak lelakiku.’ Tetapi seekor binatang liar lalu di sana dan menginjak semak berduri itu.

10Hai Raja Amazia, setelah mengalahkan orang Edom, Raja Amazia menjadi sombong! Berpuas hatilah dengan kemenangan sekarang dan tinggallah di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana kepada diri Raja Amazia dan rakyat?"

11Tetapi Raja Amazia tidak mempedulikan nasihat itu. Maka Raja Yehoas dan tenteranya keluar menentang Raja Amazia di Bet-Semes di Yehuda.

12Tentera Raja Amazia dikalahkan, dan semua askarnya lari ke rumah masing-masing.

13Raja Yehoas menangkap Raja Amazia, lalu meneruskan serangannya ke Yerusalem. Baginda merobohkan tembok kota sepanjang 200 meter, bermula dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut.

14Raja Yehoas mengambil semua perak dan emas yang dapat ditemuinya, semua perabot Rumah TUHAN dan semua perbendaharaan istana, lalu baginda kembali ke Samaria. Baginda juga membawa beberapa orang tebusan bersama-samanya.

15Segala perbuatan Raja Yehoas, termasuk kepahlawanan baginda dalam peperangan melawan Raja Amazia dari Yehuda tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

16Raja Yehoas mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja di Samaria. Kemudian Yerobeam II, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.

Raja Amazia, Raja Yehuda Mangkat

17Raja Amazia, raja Yehuda, hidup lima belas tahun lagi selepas kemangkatan Raja Yehoas, raja Israel.

18Segala perbuatan Raja Amazia tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Yehuda.

19Beberapa orang di Yerusalem berkomplot untuk membunuh Raja Amazia. Oleh itu baginda lari ke kota Lakhis, tetapi musuh-musuhnya mengejar baginda ke sana dan membunuh baginda.

20Kemudian jenazah Raja Amazia diangkut dengan kuda ke Yerusalem, lalu dimakamkan di permakaman diraja di Kota Daud.

21Penduduk Yehuda melantik Uzia, putera Raja Amazia, yang berusia enam belas tahun, menjadi raja.

22Setelah kemangkatan ayahandanya, Raja Uzia merebut kembali kota Elat, lalu membinanya semula.

Raja Yerobeam II, Raja Israel

23Pada tahun kelima belas pemerintahan Raja Amazia putera Raja Yoas di Yehuda, Raja Yerobeam putera Raja Yehoas menjadi raja di Israel. Raja Yerobeam memerintah di Samaria selama empat puluh satu tahun.

24Raja Yerobeam berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan Raja Yerobeam anak Nebat, raja yang yang terdahulu, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.

25Raja Yerobeam merebut semula semua wilayah yang dahulu dimiliki Israel, dari Genting Hamat di utara sampai ke Laut Mati di selatan. Demikianlah yang dijanjikan dahulu oleh TUHAN, Allah Israel, melalui hamba-Nya Nabi Yunus anak Amitai dari Gat-Hefer.

26TUHAN nampak bahawa orang Israel sangat menderita, dan tiada sesiapa pun yang menolong mereka.

27TUHAN tidak bermaksud untuk membinasakan Israel selama-lamanya. Oleh itu Dia menyelamatkan mereka dengan perantaraan Raja Yerobeam II.

28Segala perbuatan Raja Yerobeam II, termasuk keperkasaan baginda dalam pertempuran dan bagaimana baginda merebut semula Damsyik dan Hamat daripada Yehuda untuk Israel, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.

29Raja Yerobeam mangkat lalu dimakamkan di permakaman diraja. Maka Zakharia, puteranya menggantikan baginda sebagai raja.



 <<  2 Raja-raja 14 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel