Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 2 >> 

Daud Dilantik Menjadi Raja Yehuda

1Selepas itu Daud bertanya kepada TUHAN, "Adakah TUHAN menghendaki aku pergi menguasai salah sebuah kota di Yehuda?" "Ya," jawab TUHAN. "Kota yang mana?" tanya Daud. "Hebron," jawab TUHAN.

2Oleh itu Daud pergi ke Hebron dan membawa kedua-dua isterinya: Ahinoam dari Yizreel, dan Abigail, balu Nabal, orang Karmel itu.

3Daud juga membawa anak buahnya dan semua keluarga mereka, lalu menetap di kota Hebron dan di sekitarnya.

4Kemudian orang Yehuda datang ke Hebron, dan dengan upacara pelumuran minyak, mereka melantik Daud menjadi raja Yehuda. Apabila Raja Daud mendengar bahawa penduduk Yabes di Gilead sudah memakamkan jenazah Raja Saul,

5Raja Daud mengirim utusan ke sana dengan pesan, "Semoga TUHAN memberkati kamu kerana menunjukkan kesetiaan terhadap raja kamu dengan memakamkan jenazah baginda.

6Oleh itu, semoga TUHAN juga menyatakan kasih dan kesetiaan-Nya kepada kamu. Beta pun akan memperlakukan kamu dengan baik kerana perbuatan kamu itu.

7Hendaklah kamu kuat dan tabah hati! Raja Saul, raja kamu sudah mangkat, tetapi orang Yehuda telah melantik beta menjadi raja mereka."

Isyboset Dilantik Menjadi Raja Israel

8Abner anak Ner, panglima tentera Raja Saul, telah melarikan diri dengan Isyboset, putera Raja Saul ke Mahanaim, di seberang Sungai Yordan.

9Di sana, Abner melantik Isyboset menjadi raja kawasan Gilead, Asyer, Yizreel, Efraim, dan Benyamin, bahkan seluruh Israel.

10Raja Isyboset berusia empat puluh tahun ketika baginda menjadi raja Israel. Baginda memerintah selama dua tahun. Tetapi suku Yehuda setia kepada Raja Daud;

11dari kota Hebron, Raja Daud memerintah Yehuda selama tujuh tahun setengah.

Perang antara Israel dan Yehuda

12Pada suatu hari Abner dan para pegawai Raja Isyboset berangkat dari Mahanaim ke kota Gibeon.

13Yoab (ibunya bernama Zeruya), bersama dengan beberapa orang pegawai Raja Daud, menuju ke kota itu juga. Kedua-dua pasukan itu berhadapan di kolam Gibeon; Abner dan pasukannya duduk di sebelah sini, sedangkan Yoab dan pasukannya di sebelah sana.

14Kemudian Abner berkata kepada Yoab, "Marilah kita suruh beberapa orang anak buah kita bertanding dengan menggunakan senjata." "Baiklah," jawab Yoab.

15Oleh itu dua belas orang yang mewakili Raja Isyboset dan suku Benyamin, berlawan dengan dua belas orang anak buah Raja Daud.

16Mereka saling mencengkam kepala dan saling menikam perut lawan, sehingga mereka semua mati. Maka tempat di Gibeon itu dinamakan "Ladang Pedang."

17Selepas itu pertempuran sengit berlaku. Abner dan pasukan Israel dikalahkan oleh pasukan anak buah Raja Daud.

18Ketiga-tiga anak lelaki Zeruya berada di sana: Yoab, Abisai, dan Asael. Asael, yang dapat berlari sepantas kijang,

19mula mengejar Abner dengan tidak berhenti-henti.

20Abner menoleh ke belakang dan bertanya, "Engkaukah itu Asael?" "Ya," jawabnya.

21"Jangan kejar aku!" kata Abner. "Kejarlah salah seorang askar lain dan ambillah senjatanya." Tetapi Asael tetap mengejar dia.

22Sekali lagi Abner berkata kepadanya, "Jangan kejar aku! Jangan paksa aku membunuh engkau! Bagaimana aku dapat berhadapan muka dengan abangmu Yoab nanti?"

23Tetapi Asael masih juga mengejar dia. Maka Abner melemparkan tombaknya ke belakang, dan perut Asael terkena sehingga tombak itu tembus ke belakangnya. Asael rebah ke tanah lalu mati di situ juga. Semua orang yang sampai ke tempat dia terlentang itu berhenti dan berdiri di situ.

24Yoab dan Abisai terus mengejar Abner. Apabila matahari terbenam mereka sampai di Bukit Ama, yang terletak di sebelah timur Giah, di jalan menuju ke kawasan gurun Gibeon.

25Di sana orang daripada suku Benyamin bergabung lagi dengan Abner, lalu mengatur barisan mereka di puncak sebuah bukit.

26Dari sana, Abner berseru kepada Yoab, "Haruskah kita bertempur selama-lamanya? Tidak sedarkah kamu bahawa pertempuran ini hanya membawa kepahitan? Kami saudara sebangsa kamu. Berapa lama lagi kamu menunggu sebelum memerintahkan anak buahmu berhenti mengejar kami?"

27Yoab menjawab, "Aku bersumpah demi Allah yang hidup, jika kamu tidak berkata demikian, tentu anak buahku akan mengejar kamu sehingga esok pagi."

28Kemudian Yoab meniup trompet sebagai tanda kepada anak buahnya untuk berhenti mengejar orang Israel, lalu pertempuran itu berhenti.

29Abner dan anak buahnya berjalan melalui Lembah Yordan sepanjang malam itu. Mereka menyeberangi Sungai Yordan, dan setelah berjalan sepanjang hari berikutnya, mereka tiba di Mahanaim.

30Apabila Yoab berhenti mengejar Abner, dia mengumpulkan semua anak buahnya. Yoab mendapati bahawa dia kehilangan sembilan belas orang daripada pasukannya, selain Asael.

31Anak buah Raja Daud telah membunuh 360 orang daripada pasukan Abner yang terdiri daripada suku Benyamin.

32Selepas itu Yoab dan anak buahnya mengambil jenazah Asael dan mengebumikannya di perkuburan keluarganya di Betlehem. Kemudian mereka berjalan sepanjang malam, dan esoknya pada waktu fajar, mereka tiba di Hebron.



 <<  2 Samuel 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel