Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 20 >> 

Pemberontakan Seba

1Di kota Gilgal ada seorang pengacau bernama Seba anak Bikri, daripada suku Benyamin. Dia meniup trompet lalu berseru, "Kita tidak ada hubungan dengan Raja Daud! Jangan ikut baginda! Hai orang Israel, marilah kita pulang!"

2Oleh itu orang Israel meninggalkan Raja Daud dan mengikut Seba. Tetapi orang Yehuda tetap setia kepada Raja Daud dan mengiringi baginda dari Sungai Yordan sampai ke Yerusalem.

3Setelah Raja Daud tiba di istana baginda di Yerusalem, sepuluh orang gundik yang ditinggalkannya untuk menunggui istana, ditempatkannya di rumah yang dijaga oleh pengawal. Raja Daud menyediakan keperluan mereka dengan secukupnya, tetapi baginda tidak pernah lagi berseketiduran dengan mereka. Mereka tinggal di tempat yang dikawal, dan hidup seperti balu seumur hidup.

4Raja memberikan perintah kepada Amasa, "Kumpulkanlah orang Yehuda dan baliklah di sini bersama dengan mereka dalam masa tiga hari."

5Amasa pergi mengumpulkan orang Yehuda tetapi dia tidak kembali pada waktu yang ditentukan oleh raja.

6Maka raja bertitah kepada Abisai, "Seba akan lebih menyusahkan kita daripada Absalom. Oleh itu bawalah anak buah beta dan kejarlah dia. Jika tidak, mungkin dia akan menduduki beberapa buah kota berkubu, lalu lari daripada kita."

7Kemudian di bawah pimpinan Abisai, anak buah Yoab dan pasukan pengawal peribadi raja, serta semua askar lain berangkat dari Yerusalem untuk mengejar Seba.

8Apabila mereka sampai ke batu besar di Gibeon, Amasa bertemu dengan mereka. Pada waktu itu Yoab berpakaian perang, dan pedangnya bersarung serta diikat pada pinggangnya. Apabila Yoab maju berjalan, pedangnya tercabut.

9Yoab berkata kepada Amasa, "Apa khabar, saudara?" Sementara itu Yoab memegang janggut Amasa dengan tangan kanannya untuk mencium dia.

10Amasa tidak nampak pedang di tangan kiri Yoab. Tiba-tiba Yoab menikamkan pedang itu ke perut Amasa sehingga isi perutnya berhamburan ke tanah. Yoab tidak perlu menikamnya lagi kerana Amasa mati dengan serta-merta. Kemudian Yoab dan adiknya Abisai terus mengejar Seba.

11Salah seorang askar Yoab berdiri dekat mayat Amasa lalu berseru, "Sesiapa yang memihak Yoab dan Raja Daud, harus mengikut Yoab!"

12Mayat Amasa yang berlumuran darah terlantar di tengah jalan. Apabila askar Yoab nampak bahawa semua orang yang lalu berhenti di situ, dia menyeret mayat itu ke padang lalu menutupinya dengan kain.

13Setelah mayat itu disingkirkan dari jalan, semua orang meneruskan perjalanan mengikut Yoab untuk mengejar Seba.

14Seba melalui seluruh kawasan suku Israel. Kemudian dia tiba di kota Abel-bet-Maakha, lalu segenap puak Bikri berkumpul dan mengikut dia masuk ke dalam kota.

15Anak buah Yoab mendengar bahawa Seba berada di sana lalu mereka mengepung kota itu. Mereka membuat tanjakan tanah di sebelah luar tembok, dan mula menggali tanah di bawah tembok untuk meruntuhkannya.

16Di kota itu ada seorang wanita yang bijak. Dari dalam kota itu dia berseru, "Dengarlah! Dengarlah! Suruh Yoab datang ke mari. Saya hendak bercakap dengan dia."

17Yoab datang, lalu wanita itu bertanya, "Tuankah Yoab?" "Ya," jawab Yoab. "Dengarkanlah kata-kata saya," kata wanita itu. "Baiklah, saya dengarkan," kata Yoab.

18Wanita itu berkata, "Dahulu orang biasanya berkata, ‘Pergilah ke kota Abel untuk minta petunjuk!’ -- dan itulah yang dilakukan mereka.

19Kota kami ini besar, salah sebuah kota yang paling aman dan setia di negeri Israel. Mengapakah tuan hendak memusnahkannya? Inginkah tuan memusnahkan milik TUHAN?"

20Yoab menjawab, "Sama sekali tidak! Saya tidak bermaksud merosakkan atau memusnahkan kota kamu ini!

21Itu bukanlah rancangan kami. Seorang yang bernama Seba anak Bikri, yang berasal dari kawasan perbukitan Efraim, telah memulakan pemberontakan terhadap Raja Daud. Serahkanlah orang itu, lalu saya akan berundur dari kota ini." "Baiklah," kata wanita itu. "Kami akan melemparkan kepalanya kepada tuan dari atas tembok ini."

22Kemudian perempuan itu berunding dengan penduduk kota itu sambil membentangkan rancangannya. Lalu mereka memancung kepala Seba dan melemparkannya kepada Yoab dari atas tembok. Selepas itu Yoab meniup trompet sebagai tanda bagi anak buahnya untuk meninggalkan kota itu. Anak buah Yoab pulang, lalu dia pun pulang ke Yerusalem untuk menghadap raja.

Para Pegawai Raja Daud

23Inilah para pegawai tinggi yang dilantik oleh Raja Daud: Panglima seluruh tentera Israel: Yoab Ketua pengawal peribadi Raja Daud: Benaya anak Yoyada

24Ketua buruh paksa: Adoram Bendahara negeri: Yosafat anak Ahilud

25Setiausaha negeri: Seya Imam: Zadok dan Abyatar

26Imam di istana: Ira dari kota Yair.



 <<  2 Samuel 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel